(Agama) Apa Itu Bidaah?

Pada bulan Mac 2009 saya pernah menulis artikel tentang cara menyebut salam dengan betul. Dari situ timbulnya satu soalan dari komentar tentang soal bidaah. Katanya ingin mengetahui soal bidaah seperti tahlil yang tidak dilakukan di zaman nabi tetapi diamalkan oleh kita pada zaman sekarang. Amalan tahlil juga tidak dinyatakan dalam Al-Quran dan As Sunnah katanya inginkan penjelasan lanjut.

Dalam usaha mencari maklumat, saya tertarik dengan penulisan seorang rakan dalam blognya tentang Bidaah. Untuk itu, saya rasa tidak perlulah saya membuat karangan baru, kerana penerangan beliau sudah cukup baik. Baca dan hayati ilmu yang beliau kongsikan dibawah:

01_muslim_prayer_2

Wirid dengan doa ramai-ramai lepas sembahyang, baca tahlil, baca Yasin malam Jumaat, sapu tangan ke muka lepas bagi salam dalam sembahyang, baca doa Qunut, lafaz niat sebelum takbiratul ihram, tambah ‘saidina’ dalam lafaz selawat nabi…macam-macam lagi la. Nabi tak buat tu. Rasulullah kata,

“ Awaslah kamu daripada mengada-adakan perkara baru kerana setiap perkara baru adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat dan setiap yang sesat balasannya adalah api neraka.”

Hadis ini kerapkali menjadi hujah terkuat golongan anti-bidaah ini. Jadi, sebenarnya apa hukum amalan-amalan seperti di atas? Seeloknya kita kembali kepada maksud bidaah terlebih dahulu supaya persoalan ini lebih jelas dapat difahami.

Istilah bidaah berasal dari kata Arab (bada’a) yang bererti mengadakan atau menciptakan sesuatu yang baru tanpa contoh terlebih dahulu. Para ulama sejak dahulu lagi membincangkan hukum bidaah dalam agama. Asas perbincangan mereka dalam menetapkan hukum bidaah adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Jabir yang tertulis dalam dialog tadi.

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud,

“ Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan agama kita ini yang bukan daripadanya, maka ia adalah tertolak”.

Asas perselisihan pendapat ialah, adakah perkataan kullu bidaah dalam hadis membawa maksud semua jenis bidaah itu sesat dan tertolak, ataupun memberi maksud sebahagian besar bidaah itu sesat? Perbezaan pendapat inilah yang membentuk dua aliran yang mana aliran pertama menolak 100% amalan yang tidak berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah dan satu aliran lagi berpendapat maksud kullu bidaah ialah sebahagian besar, bukan keseluruhan ( al-kul bi ma’na majmu’ laisa jami’). Itulah yang menjadi sumber asas pegangan Mazhab Syafie yang membahagikan bidaah kepada dua iaitu Bidaah Sayyi’ah atau Dholalah dan Bidaah Hasanah.

Merujuk pada tulisan Ustaz Hj. Ahmad Hafiz Al-Bakaniy dalam Majalah Milenia Muslim keluaran April 2008, beliau menyatakan Imam Syafie membahagikan bidaah kepada dua iaitu Bidaah Hasanah (mengadakan sesuatu perkara baru yang terpuji yang tidak bersalahan dengan Al-Quran dan As-Sunnah) dan Bidaah Dholalah (mengadakan sesuatu perkara baru yang tercela yang bersalahan dengan Al-Quran dan As-Sunnah). Kata Imam Syafie,

“Setiap perkara yang ada sandaran daripada syarak, maka bukan dari perkara bidaah, sekalipun tidak dilakukan oleh generasi Salaf”.

Antara dalil dibolehkan bidaah (Bidaah Hasanah) dalam amalan harian terutamanya ibadah yang saya boleh utarakan sepanjang pemahaman saya terhadap isu bidaah ini ialah :

1. Firman Allah S.W.T yang bermaksud,

“…dan kami jadikan dalam hati orang yang mengikutnya perasaan belas kasihan (sesama sendiri).  Dan (perbuatan mereka yang beribadah) Rabbaniyyah-merekalah yang MENGADAKANNYA rekaannya; padahal KAMI TIDAK MEWAJIBKANNYA kepada mereka; (mereka berbuat demikian) kerana mencari keredhaan Allah…” (QS 57:27).

Ini menunjukkan bahawa perkara baru yang dilakukan oleh sebahagian umat Nabi Isa (ayat di atas merujuk kepada umat Nabi Isa yang mendirikan rumah daripada tanah liat walaupun mampu untuk hidup mewah) dipuji Allah kerana mereka ingin menjauhkan diri mereka daripada keseronokan duniawi walaupun tidak terdapat dalam kitab Injil yang mengharuskan sedemikian.

2. Dalam hadis yang dikeluarkan Imam Bukhari di dalam sahihnya daripada Rifa’ah bin Rafi’ Al-Zarqiy :

“Suatu hari kami bersembahyang di belakang Rasulullah S.A.W dan ketika Rasulullah bangun dari rukuknya, Baginda menyebut ‘Sami’alllahu liman hamidah,’ dan telah berkata salah seorang di belakang Rasulullah S.A.W, ‘ Rabbana walakalhamdu hamdan kathiran thoyyiban mubarakan fih’. Selepas menunaikan solat jemaah tersebut, Rasulullah S.A.W bertanya: ‘Siapa yang membaca lafaz tadi?’ Maka sahabat tadi menjawab: ‘Saya Ya Rasulullah’. Maka Rasulullah S.A.W bersabda: Aku telah melihat lebih kurang 30 malaikat berebut untuk mencatat pahala mereka yang menyebut lafaz tersebut”.

Jelas di dalam firman Allah dan hadis di atas bahawa semua perkara baru yang tidak dilakukan Baginda dan para Nabi terdahulu bukan semuanya haram.

3. Ulama Usul mendatangkan kaedah:

“Perkara yang ditinggalkan tidak menunjukkan kepada haram”.

4. Adapun hadis yang menyebut,

“Dan seburuk-buruk perkara adalah perkara yang baru dan setiap yang bidaah itu adalah dholalah (sesat) dan sesat itu adalah ke neraka”.

Imam Nawawi menyatakan bahawa makna hadis ini adalah am makhsus (umum yang dikhususkan kepada sesat). Beliau turut menyatakan di dalam kitab Tahdzib Al-Asma’ wal Lughat m/s 22 juz 3:

“Bidaah pada syarak ialah mengadakan sesuatu yang tiada wujud di zaman Rasulullah S.A.W. Dan ia terbahagi kepada Bidaah Hasanah dan Bidaah Qabihah”.

Beliau menyambung lagi:

“Perkara baru yang diadakan dan tiada asas (dalil) dalam syarak dinamakan bidaah. Tetapi, sekiranya ADA ASAS DALAM SYARAK, MAKA IA BUKAN BIDAAH”.

Kekeliruan sesetengah pihak inilah yang akhirnya membawa perpecahan dalam umat Islam sedangkan Imam 4 Mazhab tidak pula bertekak sesama mereka malah menghormati pandangan masing-masing…Harapnya penerangan ringkas ini dapat merungkai persoalan di atas dan membuka minda kita sebagai persediaan menjadi Muslim era millennium. Wassalam…

Artikel ini dipetik dari blog: http://bondsoflove90.blogspot.com/2008/05/bidaah-ooiii-bidaah.html, ia telah diubah suai sedikit sebanyak oleh saya.

18 Comments

    • amin
    • wanwma
  1. naz
    • wanwma
    • wanwma
    • wanwma
  2. mat sabeh
  3. hamba Allah
  4. mohd amin
  5. Anuar

Add Comment