Cinta Bukan Untukku!

Ada orang khuatir untuk bercinta kerana bimbang akan mengecewakan orang. Ada juga sesetengah orang menganggap keturunannya suatu yang memalukan sehingga takut untuk bercinta. Terpaksa memendam rasa meskipun menyukai seseorang. Terpaksa berdiam diri walau tahu orang itu juga menyukainya. Sehingga ada orang merasakan dirinya langsung tidak layak dicintai orang lain dan dirinya juga tidak layak untuk mencintai orang lain?

Mungkin kita rasa yang mereka tidak seharusnya berfikiran seperti itu. Mereka perlu berfikiran positif. Tentu ada orang yang boleh menerima mereka, tentu ada orang yang boleh mencintai mereka. Mereka perlu berani. Mereka perlu berusaha dan percaya kepada diri sendiri.

Sebenarnya itulah yang mereka lakukan selama ini. Itulah yang mereka usahakan selama ini. Tetapi kepercayaan mereka dimusnahkan, keyakinan mereka diingkari dan cinta mereka ditolak seolah-olah mereka merupakan makhluk hina yang tidak memiliki hati dan perasaan!

Ini adalah gambaran sebenar apa yang terjadi kepada mereka sebelum mereka berfikir seperti mana yang sedang mereka fikirkan sekarang. Kes seperti ini pernah dialami oleh beberapa orang sahabat saya. Pernah seorang lelaki mencintai seorang wanita. Mereka sama-sama suka dan keduanya memiliki akhlak yang baik. Bagaimanapun kisah cinta mereka tidak lama. Setelah mengetahui tentang keturunan si gadis, lelaki itu terus menolak dan tidak mahu berjumpa dengan si gadis itu lagi.

Perbuatannya menyababkan gadis itu sentiasa menangis dan bersedih. Apakah salah dirinya? Apakah kehinaan yang ada pada dirinya? Kenapa seorang lelaki yang kelihatan baik hati dan begitu menyayanginya pun pergi meninggalkannya? Siapa lagi yang boleh menerimanya? Perlukah dia mempercayai orang lain lagi?

Apabila hal ini diceritakan kepada saya saya hanya berkata. “Bersyukurlah, Allah tunjukkan dari awal bahawa lelaki itu bukanlah lelaki yang baik! Dia tidak perlu rasa kecewa dengan diri sendiri. InsyaAllah akan ada orang yang boleh menerimanya. “. Namun komen saya dibalas begini “Cakap memanglah senang. Hati orang yang sudah kecewa, macam mana mahu diubati lagi?”

Entahlah…Kadang-kadang saya kecewa dengan sikap masyarakat yang memandang hina keturunan orang.  Jika benar keturunannya hina, yang hina itu hanya keturunan, bukan individu itu sendiri. Banyak lagi faktor lain yang menjadi sebab kenapa seseorang itu dianggap hina di mata masyarakat sedangkan perkara itu bukanlah salah mereka. Tidak hairanlah mereka akhirnya merasa bahawa mereka tidak layak untuk mencintai orang mahupun dicintai orang.

Kerana sikap masyarakat terlalu zalim terhadap kehormatan mereka. Sebagai seorang individu yang sedar akan hal ini saya ingin memberi sedikit kata-kata hikmah yang mungkin dapat memberikan mereka secebis harapan.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :

“Seorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara;

1. kerana hartanya

2. kerana keturunannya

3. kerana kecantikannya

4. kerana agamanya.

Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” -Hadith Riwayat Imam Bukhari & Muslim

Hadis ini menjelaskan bahawa seorang wanita itu dinikahi oleh seorang lelaki kerana 4 perkara iaitu kerana harta, keturunan, kecantikan dan juga kerana agamanya. Maka Rasulullah menyuruh kita mengutamakan wanita yang memiliki agama yang baik. Tidak diutamakan berapakah hartanya, siapakah keturunannya atau sejauhmana kecantikannya.

Oleh itu wahai wanita, jagalah agamamu. Peliharakanlah dirimu dari fitnah dunia dan abaikan hal-hal yang tiada kaitan dengan apa yang dianjurkan dalam Islam. Usah terlalu difikirkan tentang keturunan, harta dan kecantikan (bukan salah menjaga tetapi bukan itu yang utama)! Sedarlah kamu bahawa lelaki yang baik akan menilai dan mencarimu berdasarkan agamamu. Bukan kerana faktor-faktor lain yang hanya semantara.

Buat diriku dan kaum sejenisku iaitu para lelaki yang dihormati dan dijanjikan Allah sebagai manusia yang bergelar pemimpin, jika diri kita dari keturunan yang hina, itu bukanlah apa-apa di hadapan Allah.  Yang hina mungkin adalah keturunan, yang mulia adalah diri kita yang melakukan amalan soleh. Jika kita tidak berharta, ketahuilah bahawa harta boleh dicari. Apa yang lebih penting ialah kita perlu memiliki ilmu. Jika kita tidak memiliki rupa paras yang baik, ketahuilah bahawa ada orang lain yang jauh lebih teruk rupanya daripada kita. Bersyukurlah..

Usah bersedih dan kecewa dengan ujian. Terus berusaha, berdoa dan bertawakkal kepada Allah. Allah tidak benci kepada orang yang tidak dikurniakan kebahagiaan sebagaimana kita yang tidak dapat memiliki cinta, tetapi Allah amat murka kepada orang yang hilang kepercayaan dan pergantungan kepada-Nya.

Jika seandainya kita seorang wanita atau lelaki yang soleh tetapi tidak juga dapat memiliki cinta seorang insan bergelar kekasih samada dari seorang suami ataupun isteri, ketahuilah Allah sudah menyediakan suami dan isteri di syurga untuk menemani kita seumur hidup! InsyaAllah…

13 Comments

    • wanwma
  1. lili suhaili
  2. norfarahin
    • wanwma
      • norfarahin
    • wanwma
  3. Hati_gelisah
  4. faqir ilmi

Add Comment