Niqab Orang Malaysia

Bismillah. Suatu masa dahulu, saya pernah taksub dengan ideologi berniqab tanpa terlebih dahulu mengkaji apa sebenarnya yang tersirat di sebalik amalan tersebut. Suatu kali, saya pernah ditegur oleh seorang adik, “Wah, pakai purdah, tapi baju colourful, ni gerenti orang Malaysia ni.”

Terpukul. Memang amat terpukul. Lalu kerana terpukul itulah saya mula mengkaji dan mencari ilmu mengenainya. Hari ini, di dalam negara saya sendiri iaitu Malaysia, saya lihat ramai perempuan yang mula berniqab. Tetapi, saya agak keliru dengan konsep yang dibawa.

Wajahnya tertutup rapi. Tetapi pakaiannya walaupun jubah, walaupun berwarna hitam, masih ada liplap-liplap, masih ada bling-bling, masih ada bunga-bunga. Bila saya fikirkan semula, tafsiran bagi pakaian yang seperti itu sebenarnya adalah, “SAYA MALU DAN MERASA MURAH SEKALI ANDAI WAJAH SAYA MENJADI TATAPAN ORANG, TETAPI SAYA TIDAK KISAH KALAU PERHIASAN DAN PAKAIAN PADA BADAN SAYA DILIHAT ORANG BAHKAN LEBIH SERONOK KALAU DIPUJI.”

Apakah betul itu sebenarnya konsep berniqab sepertimana yang dibawa oleh ummul mukminin kita?

Bagi diri saya yang tiada ilmu ini, saya memandang perbuatan memakai tudung, menutup aurat serta memakai niqab itu fungsinya bukanlah sekadar untuk ‘menutup’ sahaja. Signifikan utamanya adalah jauh lebih besar daripada itu. Ia sebenarnya adalah sebuah latihan untuk hati kita, untuk menundukkan nafsu orang-orang perempuan yang sememangnya amat suka dipandang dan dipuji. Ia mengajar kita bagaimana untuk bersederhana dan merendah diri.

Kerana itulah pentingnya pemilihan warna dan perhiasan yang terdapat pada diri seseorang perempuan itu. Saya suka memetik kata-kata ulamak ini, “Seorang perempuan itu, sebaik-baiknya apabila ia turun ke tengah-tengah orang ramai, orang tidak perasanpun akan kehadirannya di situ (lantaran sederhananya pakaian serta perhiasan pada dirinya.)”

Sebab itulah bagi saya, kalaulah di dalam hati saya masih lagi ada keinginan untuk berhias dan dipuji orang, “Lawalah maskara awak”, “Eh cantiknya manik-manik pada jubah awak ni”, ataupun “Wow, beg tangan Gucci ke tu?” itu membawa maksud, masih terlalu jauh lagi perjalanan mujahadah hati saya. Dan kerana itulah juga saya fikir, saya perlu mengambil masa berfikir sedalam-dalamnya sebelum mengambil keputusan untuk menjadi niqabis sepenuh masa.

Kerana niqab bukanlah tentang menyembunyikan wajah. Ia sebenarnya tentang menyembunyikan ‘hati’.

Adakalanya, saya lebih menghormati perempuan yang tidak berniqab tetapi pakaiannya cuma sederhana, warnanya tidak membuat orang memuji-mujinya dan perhiasannya tidak pula membuat orang terteleng-teleng memandangnya. Hatinya rendah, tidak berkehendak kepada pujian mahupun pandangan orang, baik dari lelaki mahupun perempuan. Memandang kepadanya sahajapun, hati kita turut merasa rendah dan insaf, tidak langsung menimbulkan keinginan di hati untuk kelihatan lebih cantik. Istimewa dan mahalnya perempuan seperti ini, kerana cantiknya disimpan elok-elok, hanyalah buat tatapan seorang insan yang bernama suami sahaja.

Saya tidak kisah andainya ada yang tidak bersetuju dengan pandangan saya ini. Kerana saya berbicara ini sambil membayangkan bagaimanalah sekiranya ummul mukminin masih ada bersama-sama dengan kita pada hari ini. Maafkan saya, andai saya telah mengguris hati sesiapa.

Segala yang baik itu datangnya daripada Allah. Dan yang tidak baik itu datang daripada kejahilan diri saya sendiri.

Suara hati seorang perempuan buat perempuan-perempuan lain yang dicintai Allah,
Cik Beah @CBO Studio.

Dipetik dari: Perkongsian Facebook.

6 Comments

  1. Mimi Suhana Yaacob
  2. mencari ketenangan
  3. Alina
  4. mystery

Add Comment