Home / Artikel Cahaya Islam / Saya Sudah Jatuh Cinta. Apa Itu Cinta?

Saya Sudah Jatuh Cinta. Apa Itu Cinta?

Mana mungkin manusia biasa seperti saya terlepas dari cinta. Cinta adalah fitrah buat manusia. Cinta juga adalah satu anugerah yang amat bernilai dari Allah yang maha esa kepada hambanya. Kerana cinta itu begitu indah dan ia sukar dilafazkan dengan kata-kata, ramai yang cuba membuat kesimpulan apakah makna sebenar cinta.

Saya kurang faham makna sebenar cinta, saya kurang jelas mengenainya. Namun saya cuba mencari jawapan, saya cuba membuat kesimpulan berdasarkan pengalaman sendiri. Sebenarnya cinta itu memiliki sifat-sifatnya yang tersendiri. Cinta tidak semestinya hanya kepada seorang insan bernama kekasih. Tetapi cinta itu merangkumi seluruh kehidupan. Dan dari pengamatan saya, cinta itu sebenarnya adalah..

Amanah Dari Allah

Ya, cinta itu adalah amanah! Bukan nafsu, bukan kehendak dan bukan juga hak yang perlu dituntut. Apabila jatuh cinta kepada seseorang, kita rasa seolah-olah kita memerlukannya. Kita mahu memilikinya, kita mahu dia mendampingi kita dan kita mahu cinta yang kita harapkan itu terbalas. Tidak salah mahu mendampingi orang yang disayangi, tidak salah mahu memiliki hati dan kasih sayang mereka. Namun bukan itu yang lebih utama, kerana orang yang kita cinta belum tentu mencintai kita, orang yang kita suka belum tentu menyukai kita. Jadi dengan rasa cinta yang diamanahkan oleh Allah kepada kita ini, kita hulurkanlah apa saja yang terbaik buat mereka. Jika dapat memikat hatinya, Alhamdulillah. Tetapi jika tidak, usahlah mengungkit dan berdendam.

Cinta itu adalah amanah dan tanggungjawab! Apabila disebutkan sebagai tanggungjawab, ia bermakna kita perlu memberi, namun tidak semestinya menerima. Lindungi mereka, sayangi mereka, kasihi dan berikan yang terbaik kepada mereka,  sentiasa hadir ketika mereka memerlukan tanpa mengharapkan sebarang balasan melainkan redha dari pemberi amanah (Allah) semata-mata.

Keikhlasan Yang Menipu

Ada pepatah menyatakan “Cinta itu adalah dua jiwa menjadi satu!”. Lalu sesetengah orang yang cintanya tidak terbalas mula mempersoalkan qada dan qadar yang telah ditetapkan oleh Allah kepadanya seperti:

Kenapa cinta aku tidak terbalas?

Apa salah aku?

Apa kekurangan aku?

Kenapa dia tidak menerima cinta aku?

Aku sangat ikhlas mencintainya, kenapa dia buat aku begini?

Ramai orang yang bercinta sentiasa mengaku bahawa dirinya ikhlas mencintai seseorang. Namun pada hakikatnya mereka sedang menipu diri sendiri! Apakah sebenarnya maksud ikhlas? Jika sekadar rasa cinta yang jujur kepada seseorang, itu bukan ikhlas.

Ikhlas ialah melakukan sesuatu kerana Allah, tanpa mengharapkan balasan daripada manusia. Tidak nampak keikhlasan seseorang sehinggalah dia disakiti dan apabila dia tidak dapat apa yang diinginkannya.  Mereka berkata bahawa mereka ikhlas dalam bercinta, tetapi apabila ditinggalkan mereka mula mengungkit, mula bercerita satu dunia bahawa keihklasan mereka dikhianati.

Aku ikhlas mencintaimu, namun apakah yang telah kau lakukan kepadaku?

Ayat-ayat seperti ini mula diukirkan dalam hati mereka. Disebut-sebut dan diulang-ulang supaya ramai orang bersimpati dengan mereka. Supaya ramai orang merasakan dirinya benar dan orang yang menolak cintanya itu telah melampau.

Cinta itu adalah amanah. Selain dari amanah untuk menyayangi, merindui dan mengasihi, ia juga merupakan amanah untuk kita sentiasa meredhai apa yang ditentukan oleh Allah yang esa! Tidak kira samada baik ataupun buruk. Tidak kira samada bersatu ataupun berpisah. Tanggungjawab kita ialah mencintai atau menunaikan amanah yang telah dikurniakan oleh Allah semata-mata. Samada orang yang kita cintai itu menerimanya atau tidak itu bergantung kepada qada dan qadar Allah semata-mata.

Kaitan Cinta Dengan Amanah

Mari kita susuli kenapa cinta yang dianugerahkan oleh Allah itu sebenar-sebenarnya adalah amanah:

  1. Kita diwajibkan atau diamanahkan mencintai Allah melebihi segala-galanya dalam dunia ini. Selepas itu kita perlu mencintai Rasulullah melebihi cinta kita kepada diri sendiri. Samada kita suka atau tidak, kita akur ataupun ingkar, itulah amanah/cinta pertama yang perlu kita lakukan.
  2. Mencintai, menyayangi dan mengasihi ibu bapa juga adalah amanah dari Allah. Kita perlu berbuat baik kepada mereka, mentaati mereka, sentiasa berdoa dan menghormati mereka.
  3. Apabila Allah temukan kita dengan seseorang yang kita cintai, kita bertanggungjawab untuk tidak mengkhianatinya, jaga kehormatannya, khabarkan kepadanya tentang cinta Allah dan tidak mengharapkan sebarang balasan melainkan kehendak untuk bersama (kahwin) demi menunju cinta Allah. Jika tidak dapat bersama kita tidak akan melukakan hatinya dan tidak akan memutuskan tali persahabatan dengannya. Inilah cinta, inilah amanah!
  4. Apabila mencintai wanita/lelaki yang belum halal, kita tidak boleh keluar berdua-duaan dengannya, tidak boleh bermanja-manja, berkasihan seperti pasangan yang telah berkahwin, tidak boleh bersentuhan dan tidak boleh melihat aurat masing-masing. Pergilah melamar dan satukan dengan ikatan perkahwinan, jika tidak dapat bersama, redhalah dengan ketentuan-Nya. Kita telah melakukan tanggungjawab kita, selebihnya bergantung kepada qada dan qadar dari Allah. Ini adalah amanah, ini adalah cinta yang benar!
  5. Mencintai alam semesta. Allah berfirman di dalam Al-Quran “Manusia akan menghancurkan dunia ini dengan tangan-tangan mereka sendiri.” Sebagai manusia kita perlu mencintai alam ciptaan Allah, bukan menghancurkannya. Tetapi sikap rakus manusia yang tidak amanah dalam menjaga alam kurniaan Allah ini telah menghancurkan dunia ini sedikit demi sedikit.

Mungkin terdapat banyak lagi contoh yang boleh dinyatakan. Namun saya rasa cukuplah sekadar itu sahaja untuk kali ini. Mari sama-sama kita menghayati makna sebenar cinta. Sesungguhnya cinta yang ditolak bukanlah suatu penyiksaan dari manusia tetapi ujian dari Allah. Kita perlu amanah dalam mencintai diri sendiri, usah biarlah diri hancur dimusnahkan dengan cinta manusia yang bersifat sementara. InsyaAllah..

About wanwma

Check Also

“bestnya dia, takde masalah ke dia?”

Manusia Sering Lupa Bila merenung diri, sekeliling dan masyarakat, kita tertanya-tanya “bestnya dia, takde masalah …

No comments

  1. Nak tambah feeling lagi baca buku HATIKU MILIKMU – Fatimah Syarha Mohd Nordin

  2. cinta itu buta… huhuhu

  3. cinta agung hanya untuk ALLAH & rasulNYA…

  4. jgn diharap cinta manusia kerana cinta manusia hny sementara..
    cari lah cinta Ilahi nan Abadi… ^_^*

  5. minta share ye…terima kasih…

  6. Saya sudah Jatuh Cinta..Apa itu Cinta??

    Cinta itu perasaan kasih syg yg terukir dlm hati seseorang pasangan yg sedang dilamun perasaan indah tp apakan daya kerana cinta ada saja yg sanggup mengambil kesempatan dan peluang utk mempermainkan perasaan org yg benar2 mencintainya.
    Kadang kala org menganggap cinta itu buta tp sebenarnya individu itu sendiri yg buta kerana tidak pandai menilai dan memelihara cinta itu sendiri.Jangalah menyalahkan cinta.

  7. trima ksih ats prkongsian…btol,,cinta itu adalah suatu amanah…bukn suatu yg menyakitkan…=)

  8. Apa yg trjdi dn trtls d atas…trjd pd sya..tp sya dah memahami tentang apa yg trjd pd sya..adalh slh dn trburukn jodoh..jd apa patt aq lakukn…?

  9. gadis yang ingin thu..

    adakah berdosa merindui seseorang yang bukan muhrim??

  10. ap btol kta x bolehy mnyimpan gmbr seowng lelaki tnpa ad ikatan???

  11. saya suka cita cinta mcm industan

  12. Subhannallah terimaksih atsa artikelnya sungguh menyejukkan hati 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *