(Soalan Pembaca) Kalau Allah Baik, Kenapa Allah Cipta Kejahatan?

Ini adalah antara soalan yang sudah lama ditanya tetapi saya agak khuatir untuk menjawabnya. Bukan kerana tidak mahu menjawab tetapi ia seolah-olah hanyalah sebuah soalan yang mahu mempersendakan ketetapan Allah. Ketahuilah bahawa akan rosaklah iman seseorang apabila mereka mempertikaikan apa jua yang Allah tentukan. Namun kita perlu bersangka baik. Mungkin dia benar-benar ingin mengetahui tentang persoalan tersebut. 

Jawapan yang ingin saya kemukakan di sini bukanlah berdasarkan pandangan saya, tetapi saya petik dari firman Allah dalam Al-Quran. Maka usahlah menyalahkan saya seandainya tidak dapat memberikan jawapan yang tepat. Saya berkongsi sekadar apa yang saya pelajari.

Pada pengamatan saya, soalan ini ditanya kerana adanya artikel yang bertajuk ‘Kalau Allah baik, kenapa Allah cipta neraka?’. Artikel itu saya masukkan dalam blog ini pada bulan Nov 2009. Dalam artikel itu ada menjelaskan bahawa jika Allah tidak cipta neraka maka kita semua akan lakukan kejahatan. Rogol, bunuh, mencuri dan lakukan apa sahaja yang kita mahu kerana tiada neraka. Orang baik atau jahat semua masuk syurga. Disebabkan itu si pembaca mula terfikir…’Oh, kalau begitu kenapa Allah cipta kejahatan?’ lalu bertanya kepada saya.

Sebenarnya jawapan kepada soalan ini ringkas saja.  Jawapan saya ialah:

Jika Allah tidak cipta kejahatan, bagaimana kita tahu adanya kebaikan?

Ringkas saja jawapan ini, kan. Tapi cuba kita fikir dan amati betul-betul. Renung sejenak dan berikan jawapan. Apa itu kebaikan? Wujudkah kebaikan tanpa kejahatan? Kenapa kita boleh berfikir tentang kebaikan sedangkan tiada kejahatan dalam dunia ini? Kenapa perkara yang baik itu dianggap baik? Siapa yang meletakkan ia sebagai baik? Dan akhirnya kita akan temui pelbagai soalan yang lebih banyak sehinggalah kita kembali berfikir..

Kenapa Allah cipta aku? Kenapa Allah cipta manusia dan kenapa Allah cipta alam ini?

Maka Allah menjawab dengan sejelas-jelasnya di dalam Al-Quran surah al-Dzariyat : ayat 56:

“Dan Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Ku (Allah)”

Kita ini adalah hamba yang diciptakan untuk menyembah Allah. Dan Allah berikan akal dan fikiran supaya kita berfikir tentang kebesaran-Nya. Tetapi apa yang kita lakukan adalah mempersoalkan pelbagai perkara yang Allah ciptakan. Ketahuilah bahawa sebelum kita bertanya, malaikat terlebih dahulu sudah bertanya kepada Allah tatkala Nabi Adam ingin diciptakan. Soal malaikat, bukankah manusia ini akan merosakkan dunia dengan kejahatan seperti penghuni dunia sebelum ini (jin)? Lalu Allah berfirman:

“Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya” (Surah Al Baqarah 2:30).

Cukuplah ayat ini sebagai sandaran untuk kita percaya bahawa Allah lebih tahu akan apa yang diciptakan-Nya. Ada perkara kita perlu tanya dan  mendapatkan penerangan yang jelas. Seperti cara-cara melakukan amal ibadat dan sebagainya. Namun ada perkara yang kita tidak perlu banyak soal. Cukuplah sekadar menerima apa saja yang diciptakan oleh Allah. Usahlah kita lupa bahawa syaitan dijanjikan neraka kerana mempersoalkan tentang kejadian manusia dan tidak mahu menerima ketentuan Allah. Sebaliknya malaikat terus patuh dengan ketetapan Allah meskipun Allah hanya berfirman seperti ayat di atas.

Dan Allah juga berfirman supaya apabila kita mendengar tentang ayat-ayat Allah, maka katakanlah “Kami dengar dan kami taat!”

Firman Allah: “Sesungguhnya ucapan orang-orang yang beriman apabila diajak untuk kembali kepada Allah dan Rasul-Nya agar Rasul itu memberikan keputusan hukum di antara mereka hanyalah dengan mengatakan, “Kami mendengar dan kami taat”. Dan hanya merekalah orang-orang yang berbahagia.” (QS. An Nuur [24]: 51)

Jadi usah biarkan diri kita diperbodohkan syaitan. Pelbagai soalan boleh ditanya, pelbagai andaian boleh dibuat tetapi ia hanyalah tipu daya syaitan untuk memesongkan akidah kita. Saya senaraikan soalan-soalan yang pernah ditanya orang dalam internet dan ketahuilah semuanya hanyalah tentang perkara yang sama sebagaimana yang saya telah jelaskan.

  1. Kalau Allah itu hebat, kenapa Allah tidak menciptakan Tuhan yang lebih hebat dariNYA?
  2. Kenapa Allah cipta malaikat?
  3. Kenapa Allah cipta jin?
  4. Kenapa Allah cipta babi? Walhal ia haram dimakan.
  5. Kenapa Allah cipta monyet?
  6. Kenapa Allah cipta manusia?
  7. Kenapa Allah cipta malam dan siang? Matahari dan bulan?
  8. Kalau Allah hebat kenapa tak cipta sebuah batu besar yang Allah sendiri tak boleh angkat?

Soalan seumpama ini sebenarnya hanyalah mainan syaitan untuk memperbodohkan kita. Ia bukan bermaksud ingin bertanya dan mendapatkan jawapan, tetapi untuk mempersoalkan tentang kekuasaan Allah. Saya rasa cukuplah sekadar itu penjelasan saya tentang persoalan di atas. Semoga ia dapat menyelesaikan masalah yang difikirkan oleh pihak yang bertanya.

7 Comments

  1. Faris Bakhtiar
    • ana
      • wanwma
  2. Sab

Add Comment