SUNAT SUNAT DALM SEMBAHYANG SIRI 4

6. Sunat Ketika Baca Fatehah

Membaca surah fatehah adalah rukun sembahyang dan ketika membacanya ada beberapa perkara yang disunatkan kita lakukan.

Di antaranya disunatkan bagi imam membaca dengan suara yang kuat akan surah fatehah pada sembahyang jahar. Adapun makmum maka tidak sunat ia membaca kuat akan fatehah di belakang imam kerana ada larangan padanya.

Dan disunatkan pula imam membaca dengan suara perlahan akan fatehah pada sembahyang sir dan pada rakaat yang ketiga dan keempat pada sembahyang jahar.

Arti sembahyang jahar ialah sembahyang yang sunat dibaca kuat akan fatehah dan surah pada dua rakaat yang pertama yaitu sembahyang subuh, maghrib dan isyak.

Dan arti sembahyang sir ialah sembahyang yang dibaca perlahan akan fatehah dan surah yaitu sembahyang zuhur dan asar.

Jika imam terlupa lalu membaca fatehah dengan perlahan pada sembahyang jahar maka sembahyangnya adalah sah. Begitu juga sah sembahyang imam yang tersalah membaca kuat pada sembahyang yang di baca perlahan.

Dan sunat dibaca akan fatehah dengan tujuh ayat artinya dengan tujuh kali berhenti. Jika dibacanya dengan wasal yaitu dengan satu nafas sahaja maka sembahyangnya adalah sah tetapi afdhal dengan cara berhenti pada setiap hujung ayat kerana mengikut bacaan Rasulullah saw.

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.a. ketika menceritakan cara bacaan Rasulullah saw dengan katanya :

كَانَ يُقَطِّعُ قِرَاءَتَهُ آيَةً آيَةًً.

Artinya : ”Adalah Baginda saw memutus-mutuskan (mewaqaf) bacaannya (surah al-Fatihah) satu ayat kemudian satu ayat.” (Hadith Ahmad)

Berkata olih Imam al-Bujairimi :

”Pendapat yang muktamad ialah disunatkan waqaf pada Basmalah kerana ianya adalah satu ayat yang sempurna dan setiap ayat yang sempurna itu disunatkan waqaf padanya.”

Dan sunat tidak berhenti pada ayat ( أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ ) kerana di situ bukan tempat berhenti.

Tetapi tidak mengapa bagi seorang yang tidak panjang nafasnya berhenti pada ayat ( أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ ) dan selepas berhenti di situ hendaklah disambung pada ayat ( غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلا الضَّالِّينَ ).

Dan disunatkan membaca fatehah dengan suara yang merdu dan indah yang kita mampu.

Diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Aazib r.a. beliau telah berkata bahwasanya Rasulullah saw telah bersabda :

زَيِّنُوا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ.

Artinya : ”Hiasilah al-Qur‘an dengan (kemerduan) suara-suara kamu.” (Hadith An-Nasaai)

Wallahua’lam

bersambung

https://www.facebook.com/Ustaz.Azhar.Idrus.Original/

Add Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.