Home / Artikel Cahaya Islam / (Agama) Apa Itu Bidaah?

(Agama) Apa Itu Bidaah?

Pada bulan Mac 2009 saya pernah menulis artikel tentang cara menyebut salam dengan betul. Dari situ timbulnya satu soalan dari komentar tentang soal bidaah. Katanya ingin mengetahui soal bidaah seperti tahlil yang tidak dilakukan di zaman nabi tetapi diamalkan oleh kita pada zaman sekarang. Amalan tahlil juga tidak dinyatakan dalam Al-Quran dan As Sunnah katanya inginkan penjelasan lanjut.

Dalam usaha mencari maklumat, saya tertarik dengan penulisan seorang rakan dalam blognya tentang Bidaah. Untuk itu, saya rasa tidak perlulah saya membuat karangan baru, kerana penerangan beliau sudah cukup baik. Baca dan hayati ilmu yang beliau kongsikan dibawah:

01_muslim_prayer_2

Wirid dengan doa ramai-ramai lepas sembahyang, baca tahlil, baca Yasin malam Jumaat, sapu tangan ke muka lepas bagi salam dalam sembahyang, baca doa Qunut, lafaz niat sebelum takbiratul ihram, tambah ‘saidina’ dalam lafaz selawat nabi…macam-macam lagi la. Nabi tak buat tu. Rasulullah kata,

“ Awaslah kamu daripada mengada-adakan perkara baru kerana setiap perkara baru adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat dan setiap yang sesat balasannya adalah api neraka.”

Hadis ini kerapkali menjadi hujah terkuat golongan anti-bidaah ini. Jadi, sebenarnya apa hukum amalan-amalan seperti di atas? Seeloknya kita kembali kepada maksud bidaah terlebih dahulu supaya persoalan ini lebih jelas dapat difahami.

Istilah bidaah berasal dari kata Arab (bada’a) yang bererti mengadakan atau menciptakan sesuatu yang baru tanpa contoh terlebih dahulu. Para ulama sejak dahulu lagi membincangkan hukum bidaah dalam agama. Asas perbincangan mereka dalam menetapkan hukum bidaah adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Jabir yang tertulis dalam dialog tadi.

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud,

“ Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan agama kita ini yang bukan daripadanya, maka ia adalah tertolak”.

Asas perselisihan pendapat ialah, adakah perkataan kullu bidaah dalam hadis membawa maksud semua jenis bidaah itu sesat dan tertolak, ataupun memberi maksud sebahagian besar bidaah itu sesat? Perbezaan pendapat inilah yang membentuk dua aliran yang mana aliran pertama menolak 100% amalan yang tidak berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah dan satu aliran lagi berpendapat maksud kullu bidaah ialah sebahagian besar, bukan keseluruhan ( al-kul bi ma’na majmu’ laisa jami’). Itulah yang menjadi sumber asas pegangan Mazhab Syafie yang membahagikan bidaah kepada dua iaitu Bidaah Sayyi’ah atau Dholalah dan Bidaah Hasanah.

Merujuk pada tulisan Ustaz Hj. Ahmad Hafiz Al-Bakaniy dalam Majalah Milenia Muslim keluaran April 2008, beliau menyatakan Imam Syafie membahagikan bidaah kepada dua iaitu Bidaah Hasanah (mengadakan sesuatu perkara baru yang terpuji yang tidak bersalahan dengan Al-Quran dan As-Sunnah) dan Bidaah Dholalah (mengadakan sesuatu perkara baru yang tercela yang bersalahan dengan Al-Quran dan As-Sunnah). Kata Imam Syafie,

“Setiap perkara yang ada sandaran daripada syarak, maka bukan dari perkara bidaah, sekalipun tidak dilakukan oleh generasi Salaf”.

Antara dalil dibolehkan bidaah (Bidaah Hasanah) dalam amalan harian terutamanya ibadah yang saya boleh utarakan sepanjang pemahaman saya terhadap isu bidaah ini ialah :

1. Firman Allah S.W.T yang bermaksud,

“…dan kami jadikan dalam hati orang yang mengikutnya perasaan belas kasihan (sesama sendiri).  Dan (perbuatan mereka yang beribadah) Rabbaniyyah-merekalah yang MENGADAKANNYA rekaannya; padahal KAMI TIDAK MEWAJIBKANNYA kepada mereka; (mereka berbuat demikian) kerana mencari keredhaan Allah…” (QS 57:27).

Ini menunjukkan bahawa perkara baru yang dilakukan oleh sebahagian umat Nabi Isa (ayat di atas merujuk kepada umat Nabi Isa yang mendirikan rumah daripada tanah liat walaupun mampu untuk hidup mewah) dipuji Allah kerana mereka ingin menjauhkan diri mereka daripada keseronokan duniawi walaupun tidak terdapat dalam kitab Injil yang mengharuskan sedemikian.

2. Dalam hadis yang dikeluarkan Imam Bukhari di dalam sahihnya daripada Rifa’ah bin Rafi’ Al-Zarqiy :

“Suatu hari kami bersembahyang di belakang Rasulullah S.A.W dan ketika Rasulullah bangun dari rukuknya, Baginda menyebut ‘Sami’alllahu liman hamidah,’ dan telah berkata salah seorang di belakang Rasulullah S.A.W, ‘ Rabbana walakalhamdu hamdan kathiran thoyyiban mubarakan fih’. Selepas menunaikan solat jemaah tersebut, Rasulullah S.A.W bertanya: ‘Siapa yang membaca lafaz tadi?’ Maka sahabat tadi menjawab: ‘Saya Ya Rasulullah’. Maka Rasulullah S.A.W bersabda: Aku telah melihat lebih kurang 30 malaikat berebut untuk mencatat pahala mereka yang menyebut lafaz tersebut”.

Jelas di dalam firman Allah dan hadis di atas bahawa semua perkara baru yang tidak dilakukan Baginda dan para Nabi terdahulu bukan semuanya haram.

3. Ulama Usul mendatangkan kaedah:

“Perkara yang ditinggalkan tidak menunjukkan kepada haram”.

4. Adapun hadis yang menyebut,

“Dan seburuk-buruk perkara adalah perkara yang baru dan setiap yang bidaah itu adalah dholalah (sesat) dan sesat itu adalah ke neraka”.

Imam Nawawi menyatakan bahawa makna hadis ini adalah am makhsus (umum yang dikhususkan kepada sesat). Beliau turut menyatakan di dalam kitab Tahdzib Al-Asma’ wal Lughat m/s 22 juz 3:

“Bidaah pada syarak ialah mengadakan sesuatu yang tiada wujud di zaman Rasulullah S.A.W. Dan ia terbahagi kepada Bidaah Hasanah dan Bidaah Qabihah”.

Beliau menyambung lagi:

“Perkara baru yang diadakan dan tiada asas (dalil) dalam syarak dinamakan bidaah. Tetapi, sekiranya ADA ASAS DALAM SYARAK, MAKA IA BUKAN BIDAAH”.

Kekeliruan sesetengah pihak inilah yang akhirnya membawa perpecahan dalam umat Islam sedangkan Imam 4 Mazhab tidak pula bertekak sesama mereka malah menghormati pandangan masing-masing…Harapnya penerangan ringkas ini dapat merungkai persoalan di atas dan membuka minda kita sebagai persediaan menjadi Muslim era millennium. Wassalam…

Artikel ini dipetik dari blog: http://bondsoflove90.blogspot.com/2008/05/bidaah-ooiii-bidaah.html, ia telah diubah suai sedikit sebanyak oleh saya.

About wanwma

Check Also

Halal, Haram dan Syubhah

Halal Haram dan Syubhat   عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا …

No comments

  1. Oh…begitu rupanya. Jadi Amalah membaca Yasin setiap malam jumaat tu kiranya bidaah hasanah, yang mana kita lakukan untuk tingkatkan amalan kita. Thanks bro wan atas huraian yang mantap

    • klu bg2, bleh lh kita solat rawatib berjemaah, krana solat berjemaahkn lbih phla..apa pendapat anda???

      • adapun solat rawatib tsabit melalui hadis nabi s.a.w dilakukan secara fardiyyah..tidak pernah dilakukan secara jemaah n sahabat juga tidak melakukannya secara berjemaah..namun di sana atas tujuan pendidikan ulama’ mengharuskannya spt solat semasa qiamullail. seperti guru-guru ingin mengajarkan murid-muridnya.

  2. Banyak perkara nak kena tanya Ustaz semula ni…
    .-= Abu Samah menulis diblognya tentang.. Hari Jadi Aku Yang Ke-38 =-.

  3. kalau benda tu baek, xdak masalah. selagi tak melanggar syariat. kalau zikir, doa, apa masalah? kita sebut kalam2 yang mulia, memuji2 nama Allah, bukan merapu tak tentu pasal. jgn nnti ada pula duk heboh2 pesan kt smua orang, itu tak leh ini tak leh… perkara furu’ tak perlu diperbesar… banyak lagi hal lebih utama ptut dbincangkan. ulama’ dahulu kala da banyak bincang pasal ni…
    .-= JHafiz menulis diblognya tentang.. Kayuh Perlahan² =-.

  4. baru belajar ni sem lepas kat subjek fndation of islamic ecnmic. tp blaja utk lulus.hoho. alhamdulillah dpt tmbah ilmu lg cni =)
    .-= naz menulis diblognya tentang.. Negara kau, apa yang kau banggakan? =-.

  5. Assalamualaikum WanWMA. Apa khabar?

    Wah! blog ini sudah berubah waja ye.

    Kelihatan lebih organised, simple & userfriendly. Tahniah!

    Saya juga sedang dalam proses menaik taraf blog, insyaAllah dalam beberapa hari akan setle.

    Salam ceria & salam inspirasi

    Moga terus ghairah menghidupkan ramadhan

    Keep in touch ye

    Assalamualaikum

    psss…ini blog pertama saya singgah untuk test gravar tu..

  6. ada seorang kawan, mereka adik beradik berpecah bertelagah hanya sebab ‘membaca yassin dan tahlil’ utk arwah salah seorang saudara mereka.

    Yang setuju dan yang tidak… kenapalah mesti merumitkan hal yang tidak sepatutnya. Kalau memberi kebaikan, kenapa tidak dilakukan…cuma jangan berniat sempena 40 hari lah…100 hari lah..itu yang salah.

    • Inilah sebabnya jika tidak berilmu, ada orang merasakan dirinya mengambil berat hal bidaah kerana tidak dilakukan oleh nabi, sedangkan apa yang dilakukan oleh nabi pun tidak dibuatnya.

      Apa pun perlu belajar dan tanya org yg lebih mengetahui! Jika berbincang dan bertelagah sesama sendiri, hanya mengundang kejayaan syaitan dan membuka pintu kesesatan.

  7. Salam saudara wma,

    thanks for the link. Apa yang saya pelajari di Saudi, bidaah bersamaan dengan ciptaan baru didalam ibadah. Bila kita sebut ciptaan baru, bermakna perkara itu tidak dibuat oleh Rasululullah s.a.w dan tiada disebutkan didalam Al Quran.

    Amalan bidaah memang nampak baik – baca Quran, tahlil (sebut nama Allah) dan sebagainya yang nampak baik. Kalau perkara tak baik seperti puja kubur, kita tak panggil bidaah. Itu kita panggil syirik yang mana dosanya tidak akan diampunkan Allah sama sekali melainkan kita bertaubat.

    Apa yang saya pelajari disini juga, amalan bidaah lebih bahaya daripada buat dosa sebab bila seseorang buat dosa, dia boleh bertaubat. Tapi, bila dia melakukan amalan bidaah, dia tak akan betaubat sebab pada dia itu adalah ibadah.

    Kalau dikatakan bidaah ialah ciptaan baru didalam agama/ibadah yang mana nabi tak buat dan tak disebutkan dalam Quran, jadi tak sepatutnya timbul bidaah hasanah. Unless lah kalau saudara kata bidaah hasanah itu adalah seperti ciptaan sains dan yang sewaktu dengannya yang tiada kaitan dengan ibadah.

    Perkara yang berlaku semasa Rasulullah masih hidup kita tak boleh kata ciptaan baru sebab Allah sentiasa memberi wahyu kepada baginda. Dan wahyu datang dalam pelbagai bentuk.

    Kalau kita buat sesuatu yang nabi tak buat – tahlil baca doa bersempena awal muharaam, kita ikut siapa sebenarnya? Wallahualam…

    Sesungguhnya, sunnah akan mati disebabkan bidaah. Betul lah… bila orang banyak buat amalan yang Nabi tak buat, habis lah amalan yang diajar Nabi… Nauzubillah..
    .-= Neeza menulis diblognya tentang.. Jauhilah bidaah.. =-.

    • Ya..mungkin ada benarnya apa yg saudara katakan..namun saya tidak pasti samada saudara sememangnya belajar dalam ke semua 4 mazhab atau saudara hanya belajar dengan golongan anti bidaah.

      Jika saudara tidak mahu mengikut bidaah meskipun bidaah Hasanah @ mungkin saudara kata tiada bidaah Hasanah, itu hak saudara mengikut ilmu @ aliran yg saudara pelajari. Tapi untuk menjatuhkan ia haram, saudara tidak boleh begitu tergopoh-gapah. Para ulamak sendiri tidak menjatuhkan semua bidaah itu haram.

      Bidaah Hasanah itu bukan saya yang reka atau kata ikut suka saya..itu pandangan Imam Syafie, jika saudara rasa saudara sudah lebih pandai dari Iman Syafie dan tidak mahu mengikut alirannya, itu hak saudara. Lagipun ada juga pandangan @ aliran lain yg mmg tidak mengamalkan bidaah. Tak salah pun..tapi berjaga-jaga utk mengharamkan sesuatu..

      Kita lihat pula pesanan Iman Nawawi,

      Adapun hadis yang menyebut,

      “Dan seburuk-buruk perkara adalah perkara yang baru dan setiap yang bidaah itu adalah dholalah (sesat) dan sesat itu adalah ke neraka”.

      Imam Nawawi menyatakan bahawa makna hadis ini adalah am makhsus (umum yang dikhususkan kepada sesat). Beliau turut menyatakan di dalam kitab Tahdzib Al-Asma’ wal Lughat m/s 22 juz 3:

      “Bidaah pada syarak ialah mengadakan sesuatu yang tiada wujud di zaman Rasulullah S.A.W. Dan ia terbahagi kepada Bidaah Hasanah dan Bidaah Qabihah”.

      Beliau menyambung lagi:

      “Perkara baru yang diadakan dan tiada asas (dalil) dalam syarak dinamakan bidaah. Tetapi, sekiranya ADA ASAS DALAM SYARAK, MAKA IA BUKAN BIDAAH”.

      So, patutkah saya mengikut pandangan saudara atau saya mengikut pandangan para Iman Ahli Sunnah Waljamaah? Pada saya mereka lebih mengetahui..

      Maafkan saya jika terkasar bahasa..mohon maaf dan keampunan. Akhir kata, pada saya tak salah untuk tidak mengamalkan bidaah seperti kenyataan saudara..cuma jangan terlalu cepat menjatuhkan hukum haram..kerana itu juga pesanan para ulamak..

      • sekadar ingin menambah

        asas-asas dlm syarak ini samada dripada al-Quran dan al-Sunnah. (sumber yang disepakati). termasuk juga ijma’ dan qiyas sbg sumber yang disepakati

        dan juga kaedah2 yg ditetapkan ulama’ (sumber yg x disepakati)
        spt maslahah mursalah, istihsan, sadd zarai’, qaul sahabat, amal ahli madinah dsb..selagi mana hukum2 itu tertegak atas sumber2 ni maka ia terbuka kepada perselisihan. setiap perkara yg diperselisihkan jgnlah beranggapan hanya 1 sahaja yg betul. kerana masing-masing mempunyai metode berbeza..tentu sekali jika berdasarkan metode hadis tentu berlainan dgn metode fiqh.. sedangkan ulama’ hadis spt al-bukhari, al-Syafie dan Ahmad bin Hanbal berbeza dlm pengambilan dalil drp hadis dhoif..maka selagi sesuatu itu masuk dalam hukum khilafiyah tidak perlula kita menghukum ini pelaku bidaah.

        kaedah fiqh menyebut

        Tidak ditolak perkara yg diperselisihkan, yang ditolak apabila telah diijmakkan..

        harus berlapang dada..insyaallah tiada perselisihan yg membawa kpd perpecahan..

        hayati generasi salaf walaupun mempunyai disiplin ilmu berbeza yg menghasilkan hukum berbeza, mereka saling menghormati..itulah tradisi keilmuan yang dididik oleh Nabi saw.

  8. Tak perlu gaduh2 tak perlu pergi jauh2 ….. Kalau ada sandaran, dalil dari Alquraan dan Sunnah itu bukan BIDAAH … so apakah amalan2 teras orang melayu boleh di pertanggung jawabkan dengan sandaran Quraan dan Sunnah? Boleh datangkan Dalil?

    Ibadah sudah di tutup dengan Wafatnya Rasullullah so tak perlu buat rekacipta yang baru dari segi bentuk, style atau aturan mahupun sebutan.

    INGAT: Semua Ibadah adalah HARAM kecuali ada dalil yang memerintahkan.

    Kalu kita buat rekabentuk ibadah baru – siapa mahu endorsed? Nabi Khataman Nabiyin sudan Wafat!. Tok wali? Syeikh Khalifah Tariqat? Siapa mereka yang pandai2 nak endorse (iqrar) ibadah2 baru.

    CUKUP!…. CUKUP … ambillah Ibadah yang SAHIH itupun sudah tidak mampu nak lakukan, tetapi jika kita lakukan walaupun nampak SEPELE atau LEKEH tapi itulah yang BENAR disisi ALLAH. Ratib2 bersungguh2 nampak HEBAT hingga bunyi ak..ak..ak..ak tapi apakah itu dianjurkan? Atau sahabat lakukan? Yang sahabat lakukan kita tinggalkan.

    Maka saya berseru AMBILLAH yang SAHIH buang yang RAGU2 atau Marjuh ambil yang RAJIH.

    Pilihan selamat Firqatun Najihah.

  9. UCAPAN IMAM AS-SYAFIE YANG KONTROVERSI

    Antara ucapan (qaul) Imam as-Syafie yang disalah ertikan oleh sebahagian masyarakat Islam sehingga menjadi isu kontroversi dan polemik, ialah tentang maksud dan pembahagian bid’ah yang mana beliau pernah berkata:

    “Bid’ah itu terbahagi kepada yang baik dan yang buruk, atau yang terpuji dan tercela. Dalam perkara ini, termasuklah setiap yang diada-adakan selepas zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan zaman para Khulafa ar-Rasyidin”.[17]

    “Dari Harmalah bin Yahya rahimahullah berkata: Aku mendengar as-Syafie rahimahullahu Ta’ala berkata: Bid’ah ada dua, iaitu bid’ah yang terpuji dan bid’ah yang tercela. Apa yang bersesuaian dengan sunnah maka itu adalah terpuji dan apa yang bertentangan dengan sunnah maka itu tercela”.[18]

    “Berkata ar-Rabi’ rahimahullah: Telah berkata as-Syafie rahimahullahu Ta’ala: Perkara-perkara yang diada-adakan itu terbahagi dua: Yang pertama, apa yang dicipta bertentangan dengan al-Kitab, Sunnah, ijmak sahabat atau athar, maka inilah bid’ah yang sesat. Kedua apa yang dicipta berupa kebaikan yang tidak bertentangan dengan salah satu dari perkara (al-Kitab, sunnah, ijmak atau athar sahabat) maka itu ciptaan yang tidak tercela”.[19]

    Persoalan-persoalan (syubahat) yang timbul dari qaul Imam as-Syafie di atas telah dijelaskan oleh para ulama Salaf as-Soleh, antaranya Abdul Qayyum bin Muhammad bin Nasir as-Sahaibani rahimahullah. Beliau telah membincangkannya dengan membawa keterangan seperti berkut:

    Pertama: Tidak seharusnya diterima perkataan seseorang manusia yang bertentangan dengan perkataan (sabda) Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam walau siapapun orangnya. Perkataan Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam adalah hujjah bagi setiap orang dan bukan pula perkataan seseorang itu menjadi hujjah untuk menentang (meninggalkan) sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam[20] sedangkan Nabi Muhammad telah bersabda tentang persoalan bid’ah:

    “Setiap yang bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat itu ke dalam neraka”.[21]

    Dalam hal ini Abdullah bin Abbas radhiallahu ‘anhu berkata:

    “Tidak ada pendapat seseorang (yang boleh terus diterima kerana) ia boleh diambil atau ditinggalkan kecuali pendapat (sabda) Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam”.[22]

    Kedua: Sesiapa yang mahu memberi perhatian (memahami) tentang qaul Imam as-Syafie (membahagikan bid’ah kepada yang baik dan tercela) maka dia tidak akan meragui bahawa yang dimaksudkan oleh Imam as-Syafie ialah bid’ah di segi bahasa (????) bukan syarii (????). Ini berdalilkan (kenyataan Imam as-Syafie) sesungguhnya setiap bid’ah dalam syara (agama) adalah bertentangan dengan al-Kitab dan as-Sunnah. Imam as-Syafie sendiri mengaitkan bid’ah yang baik dengan apa yang tidak bertentangan dengan al-Kitab dan as-Sunnah kerana setiap bid’ah dalam syara bertentangan dengan firman Allah dan Hadith Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam:[23]

    “Hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu”.[24]

    “Bersabda Rasulullah sallallahau ‘alaihi wa-sallam: Sesiapa yang mengada-adakan (mencipta) yang baru dalam urusan (agama) kami ini yang bukan darinya maka ia tertolak”.[25]

    “Barangsiapa yang mengerjakan satu amal yang bukan dari suruhan kami maka ia tertolak”.[26]

    Apa yang dimaksudkan oleh Imam As-Syafie sebagai bid’ah yang mahmudah (baik/terpuji), misalnya pembukuan hadith-hadith Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan sembahyang tarawih, ini amat tepat menurut definisi bahasa kerana walaupun ia tidak ada contoh sebelumnya tetapi ia ada dasarnya dari syara.[27] Begitu juga dengan pembinaan madrasah kerana belajar itu wajib menurut syara, pastinya pembelajaran yang sempurna dan selesa ialah di madrasah. Semua yang berkaitan dengan dunia yang tidak memudaratkan adalah bid’ah keduniaan yang hasanah dan tidak bertentangan dengan syara.

    Penjelasan di atas menunjukkan bahawa setiap bid’ah yang dikatakan terpuji sebenarnya ia bukanlah bid’ah, kerana ia tidak melibatkan urusan agama hanya disangka sebagai bid’ah lantaran kurang memahami istilah bid’ah di segi bahasa dan syara. Adapun bid’ah yang dianggap keji dan sesat setelah didapati secara qatii (pasti) ialah yang bertentangan dengan al-Kitab dan as-Sunnah dan jelas tiada dalilnya dari syara.[28]

    Ketiga: Memang sudah diketahui tentang pendirian Imam as-Syafie Rahimahullah yang tegas, beliau sangat teliti dalam mengikuti (ittiba’) kepada sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan sangat benci kepada muqallid (orang yang bertaqlid buta) dan orang yang menolak hadith Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Ini terbukti semasa beliau disoal tentang sesuatu perkara maka beliau menjawab:

    “Wahai orang yang bertanya! Bumi manakah yang akan aku pijak dan langit manakah yang akan aku berlindung apabila aku telah meriwayatkan sesuatu hadith Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam kemudian aku tidak berkata denganNya? Sewajarnya bagiku mendengar dan melihat (patuh dan taat kepada hadith -Pent.)”

    Kalau demikianlah pengakuan, sikap, pendirian dan pegangan Imam as-Syafie rahimahullahu Ta’ala terhadap hadith Rasulullah, maka tidak sepatutnya seseorang itu berprasangka terhadapnya sehingga melagakan pandangan beliau dengan hadith sahih[29] terutamanya hadith di bawah ini:

    “Sesungguhnya setiap yang bid’ah itu menyesatkan”

    Yang paling tepat dan benar ialah perkataan Imam as-Syafie ini semestinya diletakkan di tempat yang sesuai dengan hadith di atas bukan (dijadikan alasan – Pent.) untuk menentang hadith tersebut, kerana apa yang dimaksudkan oleh Imam as-Syafie ialah bid’ah di segi bahasa[30] (????) sahaja bukan di segi syara atau dalam persoalan agama.

    Imam as-Syafie rahimahullah pernah menegaskan dengan perkataan beliau:

    “Berkata as-Syafei rahimahullah: Apabila kamu temui di dalam kitabku apa yang bertentangan dengan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, maka berkatalah (ambillah/berpeganglah) kamu dengan sunnah tersebut dan hendaklah kamu tinggalkan apa yang telah aku katakan”.[31]

    “Berkata as-Syafie rahimahullah: Setiap hadith dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam adalah ucapanku (ikutanku) walaupun kamu tidak pernah mendengar dariku”.[32]

    “Setiap masalah yang benar datangnya dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menurut ahli Naql sedangkan ia bertentangan dengan apa yang telah aku katakan, maka aku akan kembali merujuk pada hadith itu selama hidupku atau setelah kematianku”.

    “Dari Imam Abi Hanifah, Malik, As-Syafie dan Ahmad mereka berkata: Tidak dihalalkan bagi seseorang untuk memberi fatwa dengan perkataan kami atau berpegang dengan perkataan kami selagi dia tidak mengetahui dari mana kami mengambil perkataan tersebut”.[33]

  10. assalamualaikom setiap hari kita berdepan dan melakukan perkara bidaah,jadi tak payah dok perbesar perkara kecil ini,nanti celaru umat islam.

  11. Salam kepada semua.
    Syukur alhamdulillah bila semua orang dapat berlapang dada bilamana ada pandangan yang berbeza. Yang khilaf itu baik untuk ilmu dan jangan kita bersanggahan mengikut nafsu melainkan jika kita mampu untuk mengemukakan dalil dan nas yang bersandarkan pada Al-Kitab dan Al-Sunnah. Semuga ia akan menjadi panduan pada yang lain.

    Mudah-mudahan kita semua termasuk diri saya tidak terus menolak pandangan orang lain yang tidak sehaluan dengan kita, insyaallah kita semua akan selamat kerana hormat menghormati itu pun sudah dikira sbg ibadah.

    Saya berterima kasih pada Saudara Hamba Allah, Mat Sabeh, Tinta Daie dan Neeza kerana dapat memberi pandangan dan dalil yang bersandarkan Al-Kitab dan Sunnah untuk dijadikan panduan.

    Saya sendiri mengaku bahawa amat sukar untuk diterima jika ada pandangan yang berbeza dari kefahaman kita pada peringkat permulaan kerana ada beberapa sebab;-

    1.Kita dilahirkan sbg Muslim dan kebanyakan dari amalan kita sejak dari zaman kanak2 adalah ikutan dari ibu/bapa, imam masjid/surau kita sebagai asas proses pembelajaran.

    2.Bila kita belajar tentang ilmu agama, sudah tentu sukatan pelajaran hanya mengikut apa yang kerajaan tetapkan. Soalan saya, bagaimana sukatan pelajaran itu ditetapkan? Sudah tentu mengikut kefahaman dan amalan yang diguna pakai oleh pihak berkuasa (Jab Agama/Mufti/DSB).

    Saya sendiri mengaku bahawa terlalu sedih kerana arwah ayah saya pernah berkata “kita orang Melayu dilahirkan sebagai Islam otomatik, jadi banyak amalan kita cuma ikutan dan bukannya dari ilmu yang kita tuntut untuk menjadikan kita sebagai umat Islam dan umat Muhammad S.A.W yang sejati” dan katanya lagi “barangkali muallaf yang baru memeluk Islam itu lebih baik dari orang Melayu kerana mereka belajar tentang Islam dari mula Syahadah hingga kepada semua ilmu yang bersangkutan dengan agama.”

    Boleh diumpamakan kain putih para mualaf itu adalah putih bersih tapi kain putih kita orang Melayu sudahpun bercorak dan berwarna, maka terpulanglah kepada kita untuk memadamkan warna apa yang tidak diperlukan.

    Bagi diri saya sendiri cukup mudah untuk ambil jalan selamat, apa yang diamalkan oleh Rasulullah dan Salafussoleh yang bersandarkan Al-Kitab dan Al-Sunnah sudah memadai. Itupun sudah tidak mampu untuk dituruti keseluruhannya.
    Tidak pula saya menyanggah apa yang masyarakat kita amalkan, cuma saya berdoa agar mereka terdiri dari kalangan orang-orang yang benar!

    Wallahhuaklam,
    Anuar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *