AL-QURAN DAN RAMADHAN

Ramai orang yang tersilap menganggap bahawa bulan Ramadhan ialah bulan membaca Quran.

Yang benar ialah bulan-bulan selain Ramadhan itulah bulan membaca Quran manakala bulan Ramadhan ialah bulan menggandakan lagi bacaan Quran.

Ini adalah kerana Al-Quran itu diturunkan pada bulan Ramadhan maka sangatlah digalakkan menggandakan membacanya dibulan yang ia telah diturunkan.

Firman Allah :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Artinya : “Bulan Ramadhan yang telah diturunkan padanya akan Al-Quran yang menjadi petunjuk kepada umat manusia dan sebagai keterangan dari petunjuk dan yang membezakan antara yang benar dan yang batil.” (Al-Baqarah : 185)

Apa yang diamalkan di negeri kita dimana berkumpul manusia di masjid samada siang atau malam bertadarus Al-Quran di bulan Ramadhan adalah amalan yang elok lagi sesuai dengan tuntutan syarak.

Rasulullah saw bersabda :

مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوْتِ اللهِ يَتْلُوْنَ كِتَابَ اللهِ وَيَتَدَارَسُوْنَهُ بَيْنَهُمْ إِلاَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِيْنَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلاَئِكَةُ وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيْمَنْ عِنْدَهُ

Artinya : “Tidaklah berkumpul satu kaum di dalam mana-mana masjid membaca mereka itu akan Quran dan bertadarus sesama mereka melainkan turun atas mereka ketenangan dan memenuhi mereka itu olih rahmat dan mengelilingi mereka itu olih para malaikat dan Allah akan menyebut-nyebut mereka di hadapan makhluk yang berada di sisi-Nya.” (Hadith Muslim)

Kelebihan membaca Quran pada bulan selain Ramadhan sudah sangat besar ganjarannya apatah lagi jika membacanya di bulan Ramadhan dan terlebih lagi jika pada malam Lailatulqadar.

Olih kerana itulah para salafussolih sangat banyak membaca Quran pada bulan Ramadhan.

Imam Bukhari meriwayatkan di dalam Sahihnya :

أَنَّ جِبْرِيْلَ كَانَ يُعْرِضُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ كُلَّ عَامٍ مَرَّةً ، فَعرضَ عَلَيْهِ مَرَّتَيْنِ فِي الْعَامِ الَّذِي قُبِضَ فِيْهِ

“Sesungguhnya Jibril mengulang kembali Al-Quran kepada Nabi saw sekali dalam setahun. Dan pada tahun wafatnya baginda diulangnya sebanyak dua kali.”

Tidak ada kadar tertentu yang mesti dibaca akan Quran itu. Lebih banyak adalah lebih baik tetapi wajiblah dipelihara sebutan hurufnya dengan betul dan diraikan hukum tajwidnya.

Jika mampu membaca satu juzuk sehari maka ia adalah sudah dikira elok bagi kita orang yang awam ini tetapi jika dibaca kurang dari sejuzuk pun sudah termasuk orang-orang yang mendapat kelebihan membaca Quran.

Pembacaan Para Salafussolih

Diriwayatkan bahawa sebahagian sahabat Nabi r.a. mengkhatamkan bacaan Quran setiap tujuh malam di dalam solat malam mereka.

Manakala sebahagian salaf pula menghatamkan bacaan Quran di dalam solat malam setiap tiga malam sekali khatam pada bulan Ramadhan manakala sebahagian yang lain setiap tujuh malam atau sepuluh malam.

Dan diriwayatkan bahawa Imam Malik apabila datang bulan Ramadhan maka beliau menutup kitab-kitab dan mengambil Quran lalu duduk di masjid dan berwuduk bila masuk waktu solat dan berkata : Bulan ini adalah bulan membaca Quran.

Rabi’ bin Sulaiman murid As-Syafie meriwayatkan : “Imam Syafie biasanya mengkhatamkan bacaan Al-Quran dalam bulan Ramadan sebanyak 60 kali.”

Demikian juga dengan Imam Ahmad. Apabila memasuki bulan Ramadan maka beliau berhenti dari urusan fatwa dan segala permasalahan kemudian duduk berzikir dan membaca ayat-ayat Allah.

Kata Ibrahim An-Nakahie : Adalah Al-Aswad mengkhatamkan Al-Quran di dalam bulan Ramadan setiap dua malam sekali khatam.”

Ulamak tabi’in Qatadah biasanya mengkhatamkan Al-Quran dalam tujuh hari sekali khatam pada bulan biasa. Apabila telah datang bulan Ramadan maka beliau mengkhatamkannya dalam tiga hari sekali khatam. Dan jika telah masuk sepuluh hari terakhir Ramadhan maka beliau mengkhatamkannya setiap hari.”

Mujahid mengkhatamkan Al-Quran di bulan Ramadan setiap malam sekali khatam.

Mujahid pula meriwayatkan bahawa Ali Al-Azdi mengkhatamkan bacaan Al-Quran di bulan Ramadan setiap malam.

Al-Qasim bin Hafiz bin Asakir berkata : “Dahulu bapaku selalu solat berjamaah dan membaca Al-Quran. Beliau mengkhatamkannya setiap Jumaat sekali khatam. Tetapi dalam bulan Ramadan beliau mengkhatamkannya setiap hari sekali khatam.”

Wallahua’lam

Rujukan : At-Tibyan fi Adabil Hamalatil Quran & Syiar ‘Alam Nubala

C&P fb ustaz azhar idrus

Add Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.