HUKUM ORANG YANG MENINGGALKAN SOLAT FARDHU

Soalan :

Apakah hukumnya orang yang tidak sembahyang di dunia ini dan apakah hukumannya di akhirat nanti?

Dan apakah hukum orang yang berkata sembahyang lima waktu itu tidak wajib?

Jawapan :

Tersebut pada kitab Al-Fiqh Al-Islami olih Dr Wahbah Zuhaili :

Hukum orang yang meninggalkan solat :

Telah sepakat sekelian Muslimun atas bahawasanya solat lima waktu itu wajib atas sekelian orang Islam yang sampai umur dan beraqal lagi suci ia yakni suci dari hadas haidh dan nifas dan bukan orang gila atau pingsan.

Solat adalah ibadah bangsa tubuh badan yang tidak diterima sama sekali olih pengganti. Maka tidak sah bahawa seorang mengerjakan solat untuk seorang yang lain sebagaimana tidak sah seorang mempuasakan untuk orang lain.

Dan telah ijmak sekelian orang Islam atas siapa yang ingkarkan kewajipan solat maka ia adalah kafir murtad kerana sabit kefardhuannya dengan dalil yang putus daripada Quran dan Sunnah dan ijmak sebagaimana telah disebut dengan terang.

Siapa meninggalkan solat kerana malas dan bermudah-mudah maka ia adalah fasiq dan derhaka. Melainkan bahawa dia baru masuk agama Islam atau tidak bercampur dengan orang Islam sejak sampai masa wajib mengerjakan solat.

Meninggalkan solat mewajibkan bagi siksa yang bangsa akhirat dan bangsa dunia.

Adapun siksa yang bangsa akhirat ialah kerana firman Allah Taala :

{ما سلككم في سَقَر؟ قالوا: لم نك من المصلين}

Artinya : (bertanya malaikat) Apa yang memasukkan kamu semua dalam neraka Saqar ini maka jawab ahli neraka itu : Kami dulu di dunia tidak termasuk dikalangan orang yang solat.” (Al-Muddassir : 42 & 43 )

Firman Allah Taala :

فويل للمصلين الذين هم عن صلاتهم ساهون

Artinya : “Maka nerakalah bagi orang yang solat yaitu mereka yang lambatkan solat hingga keluar waktunya.” (Al-Ma’uun : 4 & 5)

Dan firman Allah Taala :

فخلَف من بعدهم خَلْف أضاعوا الصلاة، واتبعوا الشهوات، فسوف يلقون غيّاً

Artinya : “Maka meninggalkan dibelakang mereka nanti satu golongan yang menyia-nyiakan solat dan mengikut kehendak syahawat maka lagi akan bertemu dengan kesesatan.” (Maryam : 59)

Sabda Nabi saw :

من ترك الصلاة متعمداً، فقد برئت منه ذمة الله ورسوله

Artinya : “Barangsiapa meninggalkan solat dengan sengaja maka lepas ia dari jaminan Allah dan rasul-Nya.” (Hadith Imam Ahmad)

Dan adapun siksa orang yang meninggalkan solat di dalam dunia kerana malas dan bermudah-mudah maka baginya beberapa pendapat disisi para fuqahak :

Maka berkata ulamak mazhab Hanafi orang yang meninggalkan solat kerana malas adalah fasiq dan di dipenjara dan dipukul atas qaul mazhab dengan pukulan yang kuat sampai berdarah sehinggalah dia mengerjakan solat dan bertaubat atau mati ia di dalam penjara yang seumpamanya itu orang yang meninggalkan puasa. Tidaklah dihukum mati sehinggalah dia menafikan kewajipan solat atau meringan-ringankan dengan salah satu dari keduanya seperti menunjuk secara terangan tidak berpuasa tanpa uzur kerana meringan-ringankannya dengan dalil hadith Ibnu Mas’ud r.a sabda Nabi saw :

لا يحل دم امرئ مسلم إلا بإحدى ثلاث: الثيب الزاني، والنفس بالنفس، والتارك لدينه المفارق للجماعة

artinya : “Tidak halal darah seorang Islam melainkan dengan tiga perkara : Orang tua berzina dan balasan membunuh dan meninggalkan agamanya yang memisahkan diri dari jemaah orang Islam.” (Hadith Bukhari & Muslim)

Dan berkata imam-imam yang lain (yakni Maliki, Syafie dan Hanbali) orang yang meninggalkan solat tanpa uzur sekalipun hanya meninggalkan satu solat maka disuruh ia bertaubat selama tiga hari. Jika enggan ia dari bertaubat maka dijatuhkan hukuman mati disisi mazhab Maliki dan Syafie sebagai hukum had bukan sebab kufur yakni tidak dihukumkan dengan jadi kafirnya. Hanya disiksa seperti siksa hukuman hudud yang lain atas kesalahan zina, qazaf, mencuri danl ainnya. Dan kemudian dari matinya dimandikan jenazahnya dan disembahyangkan atasnya dan ditanam di perkuburan Muslimin.

Dan dalil mereka itu atas ketiadaan mengkafirkan orang yang meninggalkan solat ialah firman Allah :

إن الله لا يغفر أن يشرك به ويغفر ما دون ذلك لمن يشاء

Artinya : “Sungguhnya Allah tidak mengampunkan dosa mensyirikkan-Nya dan mengampunkan Allah akan segala dosa yang lain daripada syirik.” (An-Nisaak : 48)

Dan dalil hadith pula banyak setengahnya ialah hadith Ubadah bin Shomit r.a. sabda Nabi saw :

خمس صلوات كتبهن الله على العباد، من أتى بهن لم يضيِّع منهن شيئاً استخفافاً بحقهن، كان له عند الله عهد أن يُدخله الجنة، ومن لم يأت بهن فليس له عند الله عهد، إن شاء عذبه، وإن شاء غفَر له

Artinya : “Lima solat Allah wajibkan atas hamba. Siapa menunaikannya tidak mensia-siakan satu pun darinya kerana meringankannya maka baginya janji Allah memasukkannya ke dalam syurga. Siapa yang tidak menunaikannya maka tiada perjanjian baginya disisi Allah. Jika Allah kehendak maka Allah akan mengazabnya dan jika Allah kehendak maka diampunkannya.” (Hadith riwayat Ahmad, Nasaai, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Berkata Imam Ahmad : Dihukum mati orang yang tidak solat kerana ia telah menjadi kafir.

Antara dalilnya ialah sabda Nabi saw :

بين الرجل وبين الكفر: ترك الصلاة

Artinya : “Antara seorang dengan kekufuran ialah meninggalkan solat.” (Hadith riwayat Jamaah kecuali Bukhari dan Nasaai)
Maka hadith ini menunjukkan atas yang meninggalkan solat itu membawa kepada kekufuran.
Dan sabda Nabi saw pada hadith Buraidah r.a. :

العهد الذي بيننا وبينكم الصلاة، فمن تركها فقد كفر

Artinya : “Perjanjian antara kita dan orang-orang kafir ialah solat. Siapa meninggalkannya maka sungguh telah kafir ia.” (Hadith riwayat Al-Khamsah dan Ibnu Hibban dan Al-Hakim dan mengsahihkannya olih An-Nasaai)

Sekian diterjemah dengan ringkasan.

KESIMPULAN

Solat lima waktu adalah wajib atas sekelian mukallaf sepanjang hayatnya.

Meninggalkan solat lima waktu kerana malas hukumnya disisi jumhur ulamak ialah dosa besar dan jadilah ia orang Islam yang fasiq.

Orang yang beriktikad atau berkata solat lima waktu tidak wajib maka jadilah ia kafir.

Hukuman orang yang tidak solat lima waktu di dunia ialah dihukum mati jika tidak mahu bertaubat disisi pendapat jumhur ulamak dan hukumannya di akhirat ialah dimasukkan ke dalam neraka.

Wallahua’lam

c&p fb ustazzaharidrus

Add Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.