HUKUM ZIARAH KUBUR

Soal :

Apakah disunatkan ziarah kubur orang Islam sahaja atau termasuk kubur orang kafir juga?

Jawab :

Yang disunatkan ziarah ialah perkuburan orang Islam sahaja manakala perkuburan orang kafir tidak disunatkan tetapi harus hukumnya.

Olih itu tidak menjadi kesalahan orang Islam yang ziarah perkuburan orang kafir istimewa jika adalah ia kubur orang tuanya atau saudara mara dan sahabat handai.

Yang dilarang ialah berdoa bagi mayat-mayat yang kafir.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan sebuah hadith secara marfu’ :

إذا مررتم بقبورنا وقبوركم من أهل الجاهلية ، فأخبروهم أنهم من أهل النار

Artinya : “Apabila kamu melalui akan perkuburan kami dan perkuburan mereka dari kaum jahiliyah maka khabarkan mereka itu bahawasanya mereka (yakni orang-orang kafir) adalah dari kalangan ahli neraka.” (Hadith Ibnu Sunni)

Berkata Al-Hafiz Imam Ibnu Hajar :

وسواء كان المزور مسلماً أو كافراً
قال النووي: وبالجواز قطع الجمهور

Artinya : “Dan bersamaan harus yang diziarahkan itu samada Islam atau kafir.

Dan berkata Imam Nawawi :

“Dan dengan harusnya itu telah memutuskan olih jumhur ulama.” (Kitab Fathul Baari)

Sayugianya apabila ziarah seseorang akan kubur orang kafir bahawa ia tidak melakukan perkara-perkara yang dilakukan olih orang-orang kafir. Hendaklah tujuan ziarah itu semata-mata mengambil iktibar tentang kematian dan hari akhirat.

Tidak bolih memberi salam ke atas penghuni kubur yang kafir kerana memberi salam ke atas orang kafir itu adalah dilarang olih agama samada mereka masih hidup atau telah mati.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan Rasulullah saw bersabda :

لَا تَبْدَءُوا الْيَهُود وَلَا النَّصَارَى بِالسَّلَامِ

Artinya : “Jangan kamu memberi ucapan salam kepada yahudi dan kristian.” (Hadith Muslim)

Haram hukumnya ketika seorang itu ziarah kubur orang kafir ia berdoa untuk mereka kerana setelah seseorang itu mati dalam kekufuran maka mereka tidak lagi mendapat keampunan dari Allah dan mereka akan diazab di alam barzakh dan di akhirat nanti mereka menjadi penghuni neraka.

Firman Allah :

مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَن يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَىٰ مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ

Artinya : “Tidak harus bagi Nabi dan orang-orang beriman bahawa mereka memohon keampunan bagi orang-orang musyrikin walaupun mereka itu keluarga yang dekat kemudian daripada nyata bahawa mereka itu adalah penghuni neraka jahim.” (At-Taubah : 113)

Berkata Imam Qurtubi :

هذه الآية تضمنت قطع موالاة الكفار حيهم وميتهم فإن الله لم يجعل للمؤمنين أن يستغفروا للمشركين فطلب الغفران للمشرك مما لا يجوز

Artinya : “Bermula ayat ini mengandungi makna putusnya hubungan yang hidup daripada kuffar dan yang telah mati. Maka sungguhnya Allah tidak memberi kebenaran kepada orang-orang beriman bahawa memohon keampunan bagi segala musyrikin. Maka meminta keampunan bagi orang yang musyrik adalah setengah daripada perkara yang tidak diharuskan.” (Tafsir Al-Qurtubi)

Tetapi jika berdoa seorang Islam kepada orang-orang kafir yang masih hidup supaya mendapat hidayah atau seumpamanya maka adalah diharuskan.

Berkata Imam Qurtubi :

وقد قال كثير من العلماء : لا بأس أن يدعو الرجل لأبويه الكافرين ويستغفر لهما ما داما حيين . فأما من مات فقد انقطع عنه الرجاء فلا يدعى له

Artinya : “Berkata ramai dari ulama tidak salah seorang itu berdoa bagi dua ibu bapanya yang masih kafir keduanya dan memohon keampunan bagi keduanya selama kedua ibu bapanya itu masih hidup. Maka yang telah mati maka telah putus darinya harapan (kepada Islam) maka tidaklah didoakan lagi.” (Tafsir Al-Qurtubi)

Dan haram berkata kepada orang kafir yang telah mati dengan ucapan ‘ Semoga berehat ia dalam keamanan’ atau ‘Semoga mendapat balasan yang baik dari amalnya ketika hidup’ kerana orang yang mati dalam keadaan kafir itu segala amal baiknya tidak diterima dan tidak berguna lagi.

Imam Nawawi menjelaskan :

أَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ عَلَى أَنَّ الْكَافِرَ الَّذِي مَاتَ عَلَى كُفْرِهِ لَا ثَوَابَ لَهُ فِي الْآخِرَةِ وَلَا يُجَازَى فِيهَا بِشَيْءٍ مِنْ عَمَلِهِ فِي الدُّنْيَا مُتَقَرِّبًا إِلَى اللَّهِ تَعَالَى

artinya : “Para ulama telah sepakat bahwa orang kafir yang mati dalam kekafirannya tidak mendapat pahala di akhirat dan di sana dia tidak mendapat balasan apapun dari amalnya di dunia ini yang dia persembahkan untuk Allah Ta’ala.” (Kitab Syarah Muslim)

wallahua’lam

https://www.facebook.com/Ustaz.Azhar.Idrus.Original

Add Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.