Home / Fakta / ISLAM DAN SAINS

ISLAM DAN SAINS

ISLAM DAN SAINS
Dinamisme Ilmu Falak

1. Ibn Khaldun dalam karya agungnya “Muqaddimah” mentakrifkan ilmu falak (astronomi) sebagai ilmu yang mengkaji pergerakan tetap bintang-bintang sama ada yang bergerak atau berpusing. Pergerakan objek-objek samawi (cakerawala di langit) boleh diketahui sama ada melalui pencerapan atau pengiraan. Ilmu pengiraan menggunakan matematik bagi pergerakan objek samawi pula didasarkan kepada pengetahuan tentang ciri-ciri pergerakan dan kedudukan objek tersebut.

2. Perkara yang pasti ialah ilmu falak merupakan satu ilmu yang dinamik. Perkembangan pesat ilmu yang mengkaji objek samawi ini dapat ditelusuri menerusi sumbangan-sumbangan begitu ramai tokoh ilmuwan Islam daripada zaman kegemilangan Tamadun Islam seperti al-Farabi, al-Khwarizmi, al-Farghani, Ibn Yunus, Ibn al-Haytham, al-Juzjani, Nasir al-Din al-Tusi, al-Biruni, al-Sijzi, al-Shirazi dan ramai lagi. Pada era moden ini, nama-nama seperti Bruno Abd al-Haqq Guiderloni, Niddhal Guessoum, Usama Hasan dan Burçin Mutlu-Pakdil antara yang sering disebut. Di negara kita pula, kita mempunyai tokoh-tokoh seperti Sheikh Tahir Jalaluddin, Sheikh Abdullah Fahim, Mohd Khair Mohd Taib, Mohammad Ilyas dan Mohd Zambri Zainuddin – sekadar memetik beberapa nama.

3. Dalam konteks ibadah umat Islam, bidang falak amat penting bagi pembangunan takwim Hijri, serta penentuan arah kiblat dan penentuan waktu solat. Ilmu falak merupakan penzahiran hubungan yang rapat antara Islam dengan sains apa lagi peranan alam termasuk langit dan objek samawi sebagai “ayat-ayat manzurah” atau ayat-ayat yang dicerap bagi mengambil pengajaran daripadanya.

4. Dalam penentuan permulaan 1 Ramadan dan 1 Syawal, kaedah yang digunakan di Malaysia ialah hisab (pengiraan) dan rukyah (cerapan). Bulan ialah satu objek samawi berbentuk sfera dan beredar dari arah barat ke timur, mengambil masa 27.32 hari bagi melengkapkan satu pusingan mengelilingi Bumi yang dikenali sebagai “bulan siderius.” Sementara itu, bagi bulan melengkapkan pusingan dengan Bumi berserta matahari (iaitu berkedudukan pada longitud yang sama) ialah 29.53059 hari yang dikenali sebagai “bulan sinodis” atau “bulan ijtimak.” Tempoh “bulan sinodis” atau “bulan ijtimak” ini berubah-ubah bergantung pada pengaruh tarikan objek-objek samawi di sekeliling seperti planet.

5. Kedudukan hilal (anak bulan) akan dikira terlebih dahulu menggunakan hisab sebelum dilakukan rukyah pada hari ke-29 bagi mencerap hilal untuk menentukan permulaan bulan baharu dalam takwim Hijri. Permulaan bulan baharu dalam takwim Hijri ditakrifkan dengan kenampakan hilal pada hari merukyah. Dengan kenampakan hilal, maka hari berikutnya ialah permulaan bulan baharu dalam takwim Hijri.

6. Kelazimannya tidak berlaku perbezaan antara pengiraan menggunakan hisab dan pencerapan menggunakan rukyah. Hal ini dapat dilihat kepada penentuan bulan baharu takwim Hijri di Malaysia semenjak lebih dua dekad lalu. Namun bagi tahun 1443 Hijri, berlaku perbezaan antara hisab dengan rukyah. Keadaan ini menunjukkan bahawa Malaysia tidak mengamalkan hisab semata-mata, sebaliknya pencerapan ke atas hilal (rukyah) menjadi kaedah mengesahkan pengiraan (hisab) yang dilakukan.

7. Peristiwa penentuan 1 Syawal 1443 Hijri menjadi sejarah istimewa bagi umat Islam di Malaysia apabila hisab dan rukyah tidak selari. Hal ini menjadi satu hikmah besar daripada Allah SWT kepada umat Islam. Ilmu falak boleh dikaji dan dipelajari, malah kaedah pengiraan canggih dan peralatan-peralatan moden boleh dicipta dan digunakan untuk mengkaji objek samawi yang dijadikan oleh Allah SWT. Namun hakikatnya, Allah Yang Maha Mencipta segala sesuatu, dan Allah SWT jualah yang menentukan aturan dan peraturan setiap perkara termasuk pergerakan dan kedudukan bulan. Firman Allah SWT menerusi ayat 33 Surah al-Anbiya’ yang bermaksud: “Dan Dialah yang menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari keduanya itu beredar di atas garis edarnya.”

8. Atas rahmat Allah SWT jugalah, hilal dapat dicerap di salah satu lokasi pencerapan. Kenampakan hilal ini menjadikan 1 Syawal 1443 Hijri bermula sehari lebih awal berbanding pengiraan hisab. Sebagai umat Islam, kita berlapang dada dengan perkembangan ini. Pakar-pakar dalam bidang falak telah menjalankan tanggungjawab fardu kifayah berdasarkan amanah yang diberikan kepada mereka. Bagi kita daripada kalangan masyarakat awam, ambillah peluang yang timbul daripada perkembangan ini untuk lebih memahami kaedah hisab dan rukyah yang diguna pakai dalam penentuan permulaan bulan baharu dalam Islam. Ilmu falak ialah ilmu yang dinamik, dan yang pasti ia juga satu ilmu daripada Allah SWT yang dianugerahkan untuk membantu manusia menguruskan kehidupan di muka bumi.

Disediakan oleh:
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen bin Shaikh Mohd Salleh
Felow Kanan/Pengarah,
Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar,
IKIM.

Kredit gambar: Freepik.com

About mai

Check Also

Petua orang kampung

Petua orang kampung Kenal tak pokok ni.. Namanya pokok pandan. Bagi orang kampung setiap rumah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *