KELEBIHAN IBUBAPA YANG MEMPUNYAI ANAK SYURGA

Seringkali ditanya bagaimana kedudukan anak-anak kecil yang meninggal dunia, Rasulullah SAW menggambarkan mereka  berada di dalam dua kelompok. Kelompok anak-anak orang yang salih, termasuk yang keguguran daripada rahim ibunya, mereka akan ditempatkan di dalam syurga Allah di gunung yang indah.

Di gunung itu terdapat pokok-pokok thuba dan anak-anak ini dijaga oleh Nabi Ibrahim AS dan Sarah AS, mereka sentiasa berada dalam kekenyangan dan tidak pernah berasa haus, malah sentiasa berdoa kepada Allah agar dapat berpimpinan tangan  dengan kedua ibu bapa kerana tidak berkesempatan melakukannya ketika di dunia dahulu.

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi ad-Dunya, di syurga terdapat sepohon pokok iaitu pohon thuba yang semuanya dapat menikmati susunya termasuklah bayi-bayi yang meninggal dunia yang masih menyusu dan pengasuh mereka ialah Nabi Ibrahim Khalilullah. Bagi anak-anak kecil yang tidak lagi menyusu akan ditempatkan di dalam perut burung-burung berwarna hijau dan berterbangan di dalam syurga.

Apabila tibanya waktu semua orang mula ditempatkan di dalam syurga dan neraka, anak-anak kecil belum masuk ke dalam syurga dan apabila diminta oleh malaikat untuk berbuat demikian, mereka menjawab: “Kami tidak akan masuk ke dalam syurga selagi tidak bertemu dengan arwah ibu dan bapa kami, kami ingin masuk ke syurga bersama mereka.

”Apabila malaikat memberitahu anak-anak itu bahawa ibu bapa mereka berada di neraka, mereka terus tersemban menangis, “Jika di dunia kami tidak sempat bersama-sama ibu dan bapa kami, kenapa di akhirat juga kami tidak boleh bersama mereka? Izinkan kami memberi syafaat kepada ibu dan ayah kami, untuk kami masuk ke dalam syurga Allah.”

Mereka berterusan menangis sehingga turunnya rahmat Allah, dan kemudian memerintahkan malaikat supaya mengambil ibu bapa kepada anak-anak ini yang sedang berada di dalam neraka, dengan syafaat yang diberikan oleh-Nya, lalu dibawa masuk ibu bapa bersama-sama anak-anak mereka ke dalam syurga.

Lalu setelah ibu bapa anak-anak ini dikeluarkan daripada neraka, mereka akan memegang tangan ibu bapa mereka dan bergayutan dengan penuh kegirangan menuju ke syurga Allah SWT. Semoga kita beroleh syafaat ini hasil daripada sikap sabar ketika mengharungi ujian Allah. Bagi arwah anak-anak orang yang tidak beriman, mereka akan menjadi pelayan-pelayan  di dalam syurga dan hidup bebas di dalamnya tanpa mempedulikan keadaan ibu dan bapa mereka.

Jadi untuk ibubapa yang memiliki anak syurga , jangan bersedih kerana mereka akan tunggu kita di pintu syurga untuk sama-sama masuk kedalam syurga ALLAH S.W.T insyaallah.

Oleh : Ustaz Ahmad Dusuki Abd. Rani melalui slot Mau’izati di IKIMfm pada Khamis, jam 5.15 petang.

Sumber:http://ikimfm.my/saat-bersendirian-di-barzakh/

Add Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.