MEMBERI SALAM KEPADA AHLI KUBUR

Soal :

Apakah hukum memberi salam kepada ahli kubur dan bagaimanakah lafaz salamnya?

Jawab :

Sunat hukumnya orang yang ziarah mengucapkan salam ke atas penghuni kubur. Elok jika diberi salam dua kali yaitu sekali ketika mula-mula sampai di tanah perkuburan untuk sekelian penghuni kubur dan sekali lagi ketika sampai pada kubur yang hendak diziarahinya.

Sekurang-kurang lafaz salam kepada penghuni kubur ialah seperti salam yang biasa yang diucapkan sesama orang hidup yaitu :

ﺍَﻟﺴَّﻼَﻡُ ﻋَﻠَﻴْﻜُﻢْ

Dan yang sempurna ialah :

ﺍَﻟﺴَّﻼَﻡُ ﻋَﻠَﻴْﻜُﻢْ ﺩَﺍﺭَ ﻗَﻮْﻡٍ ﻣُﺆْﻣِﻨِﻴْﻦَ ، ﻭَﺃَﺗَﺎﻛُﻢْ ﻣَﺎ ﺗُﻮْﻋَﺪُﻭْﻥَ ، ﻏَﺪًﺍ ﻣُﺆَﺟَّﻠُﻮْﻥَ ، ﻭَﺇِﻧَّﺎ ﺇِﻥْ ﺷَﺎﺀَ ﺍﻟﻠﻪُ ﺑِﻜُﻢْ ﻻَﺣِﻘُﻮْﻥَ

Artinya : 

“Selamat sejahtera ke atas kamu semua penduduk negeri orang beriman. Dan telah datang akan kamu apa yang telah dijanjikan akan kamu. Dan hari esok akan tertunai. Dan kami semua insyaAllah akan bertemu dengan kamu sekelian.”

Atau

ﺍَﻟﺴَّﻼَﻡُ ﻋَﻠﻰَ ﺃَﻫْﻞِ ﺍﻟﺪِّﻳَﺎﺭِ ﻣِﻦَ ﺍﻟْﻤُﺆْﻣِﻨِﻴْﻦَ ﻭَﺍﻟْﻤُﺴْﻠِﻤِﻴْﻦَ، ﻭَﻳَﺮْﺣَﻢُ ﺍﻟﻠﻪُ ﺍﻟْﻤُﺴْﺘَﻘْﺪِﻣِﻴْﻦَ ﻣِﻨْﻜُﻢْ ﻭَﻣِﻨَّﺎ ﻭَﺍﻟْﻤُﺴْﺘَﺄْﺧِﺮِﻳْﻦَ، ﻭَﺇِﻧﺎَّ ﺇِﻥْ ﺷَﺎﺀَ ﺍﻟﻠﻪُ ﺑِﻜُﻢْ ﻻَﺣِﻘُﻮْﻥَ .

Artinya : 

“Selamat sejahtera atas penghuni kubur dari mukminin dan muslimin. Semuga Allah merahmati yang terdahulu dari kamu semua dan dari kami yang terkemudian. Dan kami insyaAllah akan bersama kamu.”

Kedua-dua lafaz salam di atas diriwayatkan olih Imam Muslim di dalam sahihnya.

Atau

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ يَا أَهْلَ الْقُبُورِ, يَغْفِرُ اللَّهُ لَنَا وَلَكُمْ, أَنْتُمْ سَلَفُنَا وَنَحْنُ بِالْأَثَرِ

Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan dengan katanya :

مر رسول الله صلى الله عليه وسلم بقبور المدينة فأقبل عليهم بوجهه فقال : السلام عليكم يا أهل القبور يغفر الله لنا ولكم أنتم سلفنا ونحن بالأثر

Artinya :

“Telah melalui olih Rasulullah saw pada perkuburan Madinah dan baginda berhadap atas penghuni kubur dengan wajahnya dan berkata :

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ يَا أَهْلَ الْقُبُورِ, يَغْفِرُ اللَّهُ لَنَا وَلَكُمْ, أَنْتُمْ سَلَفُنَا وَنَحْنُ بِالْأَثَرِ

Artinya : “Salam sejahtera atas kamu wahai ahli kubur. Semuga Allah mengampunkan kami dan kamu. Kamu telah mendahului kami dan kami akan mengikuti kamu.” (Hadith Tirmizi)

Tersebut pada Syarah Riadhus Solihin :

وهذا يدل على أن السنة إذا أراد الإنسان أن يزور المقبرة أن يستقبل القبور بوجهه، ويقول ذلك

Artinya : “Dan hadith ini menjadi dalil atas sunat apabila seorang mahu ziarah kubur ia berhadap mukanya ke arah kubur dan mengucapkan ucapan salam tersebut.”

Ucapan Salam Ziarah Kubur Nabi saw

Sunat orang yang ziarah kubur Nabi saw mengucapkan :

السلام عليك يا رسول الله

Artinya : Salam sejahtera atas engkau wahai Rasulullah.

Imam Malik meriwayatkan sebuah hadith yaitu :

أن عبد الله بن عمر كان يأتي فيقول: السلام عليك يا رسول الله السلام عليك يا أبا بكر، السلام عليك يا أبت ثم ينصرف

Artinya : 

“Sungguhnya Abdullah bin Umar r.a. datang ia dan berkata : Salam sejahtera atas engkau wahai Rasulullah. Salam sejahtera atas engkau wahai Abu Bakar. Salam sejahtera atas engkau wahai bapa kemudian beliau beredar.” (Kitab Al-Muwattha’)

Wallahua’lam

c&p :https://www.facebook.com/Ustaz.Azhar.Idrus.Original

Add Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.