Pengurusan Sentimen Isu Penjarakan Saf
====================
Syarak telah memberikan beberapa panduan demi mengelakkan umat Islam dari terjerumus ke dalam lembah perselisihan yang merosakkan agama dan masyarakat, antaranya:
a) Menjadikan sumber wahyu dari al-Quran dan al-Sunnah sebagai perlembagaan agama yang tertinggi.
فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِى شَىۡءٍ۬ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِۚ ذَٲلِكَ خَيۡرٌ۬ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلاً
“Maka jika kamu berselisih dalam suatu perkara, hendaklah kamu kembalikannya kepada (kitab) Allah dan (sunnah) rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya” [al-Nisa’: 59].
b) Mewajibkan ketaatan kepada uli al-amr iaitu pihak pemerintah dan para ulama yang berautoriti dalam landasan al-Quran dan al-Sunnah. Para mufti akan meneliti sumber-sumber hukum lain yang selaras dengan perlembagaan Islam yang tertinggi.
وَلَوۡ رَدُّوهُ إِلَى ٱلرَّسُولِ وَإِلَىٰٓ أُوْلِى ٱلۡأَمۡرِ مِنۡہُمۡ لَعَلِمَهُ ٱلَّذِينَ يَسۡتَنۢبِطُونَهُ ۥ مِنۡہُمۡۗ
“Dan kalaulah mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasul (Muhammad) dan kepada uli al-amr (para ulama dan umara) dari kalangan mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang yang layak mengambil keputusan mengenainya dari kalangan mereka” [al-Nisa’: 83].
c) Namun perselisihan yang berlandaskan (a) dan (b) akan sentiasa berlaku. Justeru syarak menjadikan keputusan mufti atau hakim (kuasa tertinggi agama) sebagai pemutus kekhilafan yang berlaku, sebagaimana yang dinyatakan di dalam kaedah fiqh:
حكم الحاكم يرفع الخلاف
“Keputusan hakim (pemerintah) mengangkat khilaf”.
Contoh paling jelas ialah isu penjarakan saf di dalam solat berjemaah di masjid.
Tiada siapa yang mahukan penjarakan saf dilakukan sekiranya tiada asbab yang munasabah. Kita semua sangat terasa melihat perkara ini. Saya sendiri telah menyuarakan perkara ini dalam ruang yang saya termampu baik di Wilayah Persekutuan atau Perlis supaya syiar ini dapat kembali di rumah-rumah Allah sesegera mungkin.
Namun disebabkan musibah Covid-19 ini, sebahagian besar ilmuwan berinstinbat dari pelbagai sumber dalil hukum tentang keharusan menjarakkan saf buat tempoh sementara, manakala sebahagian lain mungkin masih belum mampu menerimanya.
Perbezaan pandangan akan sentiasa berlaku kerana ia merupakan isu ijtihad fiqh yang bukan ijmak. Islam memahami bahawa fitrah manusia yang sering tidak berhemah dalam berkhilaf. Semua pasti ingin menegakkan benang masing-masing yang boleh mengakibatkan tindakan yang melampaui batas.
Justeru syarak meletakkan konsep ketaatan pada uli al-amr sebagai perungkai khilaf secara zahir. Walaupun hati terasa berat untuk menerima dan pandangan saling berbeza, namun “السمع” (dengar) dan “الطاعة” (patuh) sangat penting bagi mengelakkan ‘saf’ umat dari semakin meretak.
Antara contoh sikap yang paling baik dalam isu ini ialah, al-Syeikh al-Muhaddith ‘Abd al-Muhsin ‘Abbad, seorang alim yang sangat dihormati di bumi Madinah al-Munawwarah yang juga merupakan pengajar Kutub Sittah di Masjid Nabawi. Sekalipun pada awal dahulu beliau berpandangan penjarakan saf tidak harus dilakukan, namun apabila para ulama berutoriti lain termasuk mufti memutuskan keharusannya sementara musibah ini, maka Syeikh ‘Abbad menarik kembali pandangannya dan menyeru ke arah pandangan al-jama’ah dan uli al-amr dalam isu ini demi mengelakkan fitnah dalam agama dan masyarakat.
Jika ketidakseimbangan SOP yang menjadi isu, jangan menyalahkan para mufti atau ahli fatwa yang berautoriti, kerana ijtihad mereka berlandaskan disiplin ilmu dalam kerangka hukum-hakam semata-mata. Sebenarnya pihak ulil al-amr agama kita selalu sahaja menyuarakan kegusaran ini terhadap pembuat dasar.
Jika Covid-19 sebenarnya tidak merbahaya seperti yang dicanangkan, carilah penyelesaian dengan pakar perubatan dan pembuat dasar sendiri dalam mencari solusi terbaik, kerana isu Covid-19 secara asasnya adalah isu perubatan, bukan isu agama hingga ingin menyalahkan para mufti dan agamawan.
-Dr. Kamilin Jamilin-