PERKIRAAN SOLAT JAMAK DAN QASAR

Bagaimanakah cara pengiraan empat hari yang sempurna, tidak termasuk hari sampai dan hari bertolak semula itu?

*Catatan ini adalah berkaitan ibadah solat jamak dan qasar bagi musafir.

Cara pengiraannya adalah seperti berikut:

Jika seorang musafir bertolak dari tempat asalnya / kediamannya pada jam 7.00 pagi pada hari Sabtu dan sampai ke destinasinya pada jam 1.30 tengahari pada hari yang sama, maka tempoh bermukimnya adalah seperti berikut:

1.30 t/hari (Sabtu) – 1.30 t/hari (Ahad) – I hari bermukim
1.30 t/hari (Ahad) – 1.30 t/hari (Isnin) – I hari bermukim
1.30 t/hari (Isnin) – 1.30 t/hari (Selasa) – I hari bermukim
1.30 t/hari (Selasa) – 1.30 t/hari (Rabu) – I hari bermukim

Jika si musafir merancang untuk bertolak pulang pada atau selepas 1.30 tengahari pada hari Rabu tersebut, ia tidak boleh menqasar solat selama bermukim di situ, tetapi jika ia memulakan perjalanan sebelum jam 1.30 pada hari Rabu, harus baginya mengqasar solat selama mana ia bermukim di situ. (Tidak termasuk hari sampai dan hari bertolak semula bermaksud tidak dikira hari yang musafir tersebut berada dalam perjalanan pergi dan balik. Tempoh bermukim dikira sebaik sahaja sampai ke destinasi dan habis bermukim apabila mula berangkat). 

Bagi musafir yang sampai pada waktu malam, keesokannya baru dikira hari pertama ia bermukim di tempat tersebut.

(Mughnil Muhtaj, jilid 1, halaman 362 / Panduan Solat Musafir, halaman 25)

Nota: Adalah penting bagi kita untuk merancang sesuatu perjalanan yang hendak dilakukan bagi memastikan status kita; adakah seorang musafir atau mukim.

– Musafir : Orang yang melakukan perjalanan, jika perjalanannya melangkaui dua marhalah (80 KM – 90 KM atau lebih) maka diberikan beberapa keistimewaan melibatkan “rukhsah” dalam agama. Jika dia berhenti di satu-satu tempat maka hendaklah tidak melebihi tiga hari.

– Mukim: Bertukar status daripada musafir kepada mukim apabila seseorang musafir itu berhenti rehat atau tinggal di suatu tempat selama empat hari dan ke atas ( tiada had lama ). 

Contohnya: balik kampung empat hari penuh, berkursus di satu tempat selama empat hari penuh, pelajar-pelajar universiti walaupun empat tahun masih tetap berstatus mukim bukannya mustautin. Begitu juga pekerja yang menetap di kuarters dan lain-lain. Orang mukim wajib atasnya solat Jumaat tetapi tidak dikira sebagai ahli Jumaat (tidak termasuk dalam bilangan 40 orang).

– Mustautin: Orang yang duduk menetap tidak mahu berpindah ke mana-mana lagi dan dikira sebagai ahli Jumaat (termasuk dan dikira dalam bilangan 40 orang ahli Jumaat).

C&P

Add Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.