SUNAT-SUNAT DALAM SEMBAHYANG SIRI 13

15.Duduk Istirahah & Bangun Kepada Qiam

Duduk Istirehat

Disunatkan selepas sujud yang kedua ketika mahu berdiri kepada qiam ia duduk istirehat yaitulah duduk sekejap dengan sempurna kemudian barulah bangun kepada qiam.

Diriwayatkan daripada Malik bin Al-Huwairith r.a. :

أَنَّهُ رَأَى النَّبِىَّ فَإِذَا كَانَ فِى وِتْرٍ مِنْ صَلاَتِهِ لَمْ يَنْهَضْ حَتَّى يَسْتَوِىَ قَاعِدًا

Artinya : “Bahwasanya beliau telah melihat Nabi saw sembahyang maka apabila baginda berada pada rakaat yang ganjil dari sembahyangnya maka baginda tidak bangun melainkan baginda duduk sempurna dahulu.” (Hadith Bukhari)

Dan pada lafaz hadith yang lain:

وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ عَنِ السَّجْدَةِ الثَّانِيَةِ جَلَسَ وَاعْتَمَدَ عَلَى الأَرْضِ ، ثُمَّ قَامَ

Artinya : “Dan apabila mengangkat kepalanya dari sujud yang kedua telah duduk ia dan kemudian bertekan tangan pada bumi kemudian bangun.” (Hadith Bukhari)

Maksud hadith ini Nabi saw apabila baginda selesai sujud pada rakaat yang ganjil dan mahu bangun kepada rakaat yang genap seperti dari rakaat pertama kepada rakaat kedua maka baginda akan duduk sekejap selepas angkat kepala dari sujud kemudian barulah baginda berdiri.

Cara duduk yang afdhal ketika duduk istirehat ini ialah duduk iftirasy.

Ketika duduk istirehat ini kedua tapak tangan diletakkan atas kedua paha dan dibuka segala jarinya ke arah kiblat.

Jika seorang itu bangun dari sujud terus ia berdiri kepada rakaat seterusnya tanpa melakukan duduk istirehat maka sembahyangnya sah kerana duduk istirehat ini hukumnya adalah sunat bukannya wajib.

Begitu jua tidak sunat sujud sahwi kepada orang yang tidak melakukan duduk istirehat.

Bangun Kepada Qiam

Kemudian disunatkan ketika mula angkat kepala dari sujud yang kedua itu bertakbir tanpa mengangkat tangan kerana hadith-hadith yang telah lalu sebutnya.

Dan sunat pula bertekan dengan kedua tangan atas bumi ketika bangun kepada qiam kerana hadith Malik bin Huwairith r.a. yang telah lalu sebutnya.

Yakni ketika hendak berdiri dari rakaat pertama kepada rakaat kedua atau dari tahyat awal kepada rakaat ketiga atau dari rakaat ketiga kepada rakaat keempat sunat kedua tangan bertekan atas bumi kemudian diangkat kedua tangannya itu kemudian diangkat pula kedua lututnya lalu berdiri.

Berkata Syeikh Khatib Syarbini :

وَكَيْفِيَّةُ الِاعْتِمَادِ أَنْ يَجْعَلَ بَطْنَ رَاحَتَيْهِ ، وَبُطُونَ أَصَابِعِهِ عَلَى الْأَرْضِ

Artinya : “Dan cara bertekan itu ialah bahawa menjadikan batin tapak tangannya dan segala perut anak jarinya atas bumi.” (Mughni Muhtaj)

Cara begini adalah lebih memudahkan kepada orang yang mahu berdiri kepda qiam.

Berkata Syeikh Abu Bakar Syatha Ad-Dimyati :

وذلك لأنه أعون على القيام وأشبه بالتواضع

Artinya : “Cara yang demikian lebih membantu kepada berdiri dan lebih tawadhu’.” (I’anat At-Tholibin)

Duduk istirehat adalah termasuk rukun yang pendek maka tidak bolih dilamakannya melainkan pada sembahyang tasbih.

Wallahua’lam

KREDIT: FBUSTAZAZHARIDRUS(ORIGINAL)

Add Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.