SUNAT-SUNAT DALAM SEMBAHYANG SIRI 15

17. Sunat Ketika Tahyat Akhir

Ketika melakukan duduk tahyat akhir yang afdhal ialah duduk dengan kelakuan duduk tawaruk yaitu punggung diatas lantai dan kaki kiri dikeluarkan dari bawah betis yang kanan.

Abu Humaid As-Sa’idi r.a. yang menceritakan sifat sembahyang Nabi saw dengan katanya :

فَإِذَا جَلَسَ فِي الرَّكْعَتَيْنِ جَلَسَ عَلَى رِجْلِهِ الْيُسْرَى وَنَصَبَ الْيُمْنَى وَإِذَا جَلَسَ فِي الرَّكْعَةِ الْآخِرَةِ قَدَّمَ رِجْلَهُ الْيُسْرَى وَنَصَبَ الْأُخْرَى وَقَعَدَ عَلَى مَقْعَدَتِهِ

Artinya : “Baginda apabila duduk pada dua rakaat baginda duduk atas kakinya yang kiri dan menegakkan tapak kakinya yang kanan. Dan apabila baginda duduk pada rakaat yang akhir baginda dulukan kaki yang kiri dan menegakkan tapak kaki yang kanan. Dan baginda duduk diatas lantai.” (Hadith Bukhari)” 

Jika seorang yang duduk tahyat akhir tetapi ia duduk dengan duduk iftirasy maka sembahyangnya tidak batal tetapi yang afdhal ia duduk dengan duduk tawaruk.

Disunatkan segala jari kaki yang kanan dilipatkan hingga jadilah jari-jari kaki yang kanan itu menghala ke kiblat.

Jika tidak dilipatkan tetapi hanya ditegakkan dengan hujung jari kaki atau dihamparkan hingga segala jari kaki mengarah ke belakang maka sembahyangnya tidak batal tetapi dia telah meninggalkan suatu yang afdhal.

Tersebut pada kitab Syarah Tirmizi :

ومذهب الشافعي وطائفة يفترش في الأول ، ويتورك في الأخير لحديث أبي حميد الساعدي

Artinya : “Dan mazhab Syafie dan satu kumpulan ulama sunat duduk iftirasy pada tahyat awal dan duduk tawaruk pada tahyat akhir kerana hadith Abu Humaid As’Sa’idy.” (Kitab Tuhfatul Ahwazi)

Dan keadaan dua tangan dan jari-jari ketika tahyat akhir ini bersamaan dengan keadaan pada ketika tahyat awal yaitu sunat tapak tangan kiri diletakkan di atas paha yang kiri dan segala hujung jarinya diluruskan ke arah kiblat berbetulan dengan lutut.

Dan tapak tangan kanan diletakkan diatas paha yang kanan dan digenggam semua jari melainkan jari telunjuk diluruskan arah ke kiblat.

Bacaan tahyat akhir :

اَلتَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ ِللهِ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ اَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِاللهِ الصَّالِحِيْنَ، أَشْهَدُ اَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّاللهُ وَاَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهُ، اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ 

Membaca tahyat akhir ini adalah rukun sembahyang begitu juga membaca selawat ke atas Nabi saw selepasnya.

Disunatkan pula membaca selawat ke atas keluarga Nabi saw selepas membaca tahyat akhir dan selawat Nabi. Hukum membaca selawat ke atas keluarga Nabi ini ialah sunat ab’adh.

Sekurang-kurang bacaan selawat ke atas keluarga Nabi ialah :

وعَلَى آلِ مُحمَّدٍ

Jika meninggalkan membaca selawat ke atas keluarga Nabi ini dalam tahyat akhir maka sembahyang seorang itu tidak batal tapi hendaklah ia sujud sahwi sebelum memberi salam.

Dan yang afdhal iala membaca selawat yang paling sempurna ialah selawat Ibrahimiyah yaitu :

اللَّهم صلِّ عَلَى مُحمَّدٍ وعَلَى آلِ مُحمَّدٍ كما صلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وعَلَى آل إِبْرَاهِيْمَ وباركْ عَلَى مُحمَّد وعَلَى آلِ مُحمَّدٍ كما باركتَ عَلَى إِبْرَاهِيْم وعَلَى آل إِبْرَاهِيْم في العالمينَ إنَّكَ حميدٌ مجيدٌ

Wallahua’lam

sumber: fbustazazharidrus(original)

Add Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.