Sunat-Sunat Dalam Sembahyang Siri 16


18. Isyarat Ketika Tasyahud

Disunatkan bagi yang sedang duduk tahyat akhir sebagaimana dalam tahyat awal meletakkan tangannya yang kiri di atas paha kiri dan tangan kanannya di atas paha kanan dan dikepalkan semua jarinya melainkan jari telunjuk. Inilah yang dimaksudkan mengisyaratkan jari ketika duduk tahyat atau tasyahud.

Dan sunat mengangkat jari telunjuknya ketika membaca kalimah syahadah yang pertama dan bekekalan angkat sampai memberi salam.

Dari Ibnu Umar r.a. katanya beliau :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى الله عليه وسلم اِذَاَ قَعَدَ لِلتَّشَهُّدِ وَضَعَ يَدَهُ اليُسْرَى عَلىَ رُكْبَتِهِ وَاليُمْنَى عَلىَ اليُمْنىَ, وَعَقَدَ ثَلاَثاً وَخَمْسِيْنَ وَأَشَارَ بِإِصْبِعِهِ السَّباَبَةِ 

artinya : “Sungguhnya Rasulullah saw apabila duduk bagi tasyahud meletakkan tangan kiri di atas pangkal lutut kiri dan tangan kanan di atas pangkal lutut kanan dan mengepal semua jari dan mengisyaratkan dengan jari telunjuk.” (Hadith Muslim)

Isyarat Mentauhidkan Allah

Hikmah isyarat dengan sebatang jari yaitu jari telunjuk ialah mengingatkan tentang keesaan Allah tiada sekutu bagi-Nya. Maka orang yang sedang bertasyahud sunat hadirkan dalam hatinya ketika itu bahawa Allah itu esa dan tiada sekutu sekali-kali bagi-Nya dan menghikhlaskan sungguh-sungguh dalam beribadah.

Berkata Ibnu Abbas r.a. :

” هو الإخلاص ” 

Artinya : “Isyarat tasyahud itu tanda ikhlas.”

Dan berkata Imam An-Nakhaei :

إذا أشار الرجل بإصبعه في الصلاة فهو حسن ، وهو التوحيد

Artinya : Apabila seorang mengisyarat dengan jari telunjuknya dalam sembahyang maka ia elok dan itulah tanda mentauhidkan Allah.” (Ibnu Abi Syaibah pada Kitab Al-Mushonnaf)

Mata Melihat Jari Telunjuk

Meriwayatkan olih Ibnu Umar r.a. tentang sembahyang Rasulullah saw dengan katanya :

وأشار بأصبعه التي تلي الإبهام إلى القبلة ورمى ببصره إليها ثم قال هكذا رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم يصنع 

Artinya : “Rasulullah saw mengisyaratkan dengan jari telunjuknya yang bersebelahan ibu jari ke arah kiblat dan memandang ke arah jari tersebut. Dan katanya : Seperti inilah aku lihat Rasulullah saw lakukan.” (Hadith Nasaai, Ibnu Hibban & Ibnu khuzaimah)

Abdullah bin Zubair r.a. meriwayatkan dari bapanya :

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا تشهد وضع يده اليسرى على فخذه اليسرى ويده اليمنى على فخذه اليمنى وأشار بإصبعه السبابة لا يجاوز بصره إشارته 

Artinya : “Bahawasanya Nabi saw adalah apabila ia bertasyahud meletakkan tangan kiri atas paha yang kiri dan tangan kanan atas paha yang kanan dan mengisyaratkan dengan jari telunjuknya dan sentiasa memandang dengan matanya akan isyarat tersebut.” (Hadith Abu Daud)

Berkata Imam Nawawi :

والسنة أن لا يجاوز بصره إشارته وفيه حديث صحيح في سنن أبي داود ويشير بها موجهة إلى القبلة وينوي بالإشارة التوحيد والإخلاص 

Artinya : “Dan sunat mata sentiasa melihat isyarat jarinya dan padanya hadith yang sahih pada sunan Abu Daud. Dan mengisyaratkan dengan telunjuk itu dalam keadaan berhadap arah kiblat dan berniat dengan isyarat itu akan tauhid dan ikhlas.” (Syarah Muslim)

Masa Angkat Jari 

Yang afdhal ialah mengangkat jari telunjuknya ketika menyebut إلا الله dan kekal begitu sampailah habis sembahyang.

Menyebut olih Syeikh Abdul Rahman Al-Juzairi :

الشافعية قالوا: يقبض جميع أصابع يده اليمنى في تشهده إلا السبابة، وهي التي تلي الإبهام، ويشير بها عند قوله إلا الله، ويديم رفعها بلا تحريك إلى القيام في التشهد الأول، والسلام في الشهد الأخير، ناظراً إلى السبابة في جميع ذلك

Artinya : “Berkata ulama mazhab Syafie : Sunat genggam sekelian jari yang kanan ketika tasyahud melainkan jari telunjuk yaitu yang mengiringi ibu jari. Dan mengisyaratkan dengan jari telunjuk ketika berkata إلا الله dan mengekalkan angkatnya dengan tiada digerak-gerakkan sehingga bangun pada tasyahud awal dan sehingga salam pada tasyahud akhir dalam keadaan melihat mata kepada jari telunjuk pada semua yang demikian itu.” (Kitab Al-Fiqh ‘Ala Mazahibil Arba’ah)

Pandangan Empat Mazhab 

Berkata ulama :

وقد اختلف أهل العلم في ذلك على أقوال :
أما الحنفية : فيرون رفع السبابة عند النفي في الشهادتين ، يعني : عند قوله : ” لا ” ، ويضعها عند الإثبات .
وأما الشافعية : فيرون رفعها عند قوله : ” إلا الله ” .
وعند المالكية : يحركها يميناً وشمالاً إلى أن يفرغ من الصلاة .
وعند الحنابلة : يشير بإصبعه كلما ذكر اسم الجلالة ، لا يحركها .

Artinya : “Telah bersalahan ahli ilmu pada yang demikian itu atas beberapa pendapat :

Adapun mazhab Hanafi maka berpendapat mereka itu angkat jari telunjuk ketika menyebut kailmah nafi pada dua syahadah yakni ketika berkata ” لا ” dan menurunkannya ketika menyatakan isbat.

Dan adapun mazhab Syafie maka berpendapat angkatnya ketika berkata “إلا الله” 

Dan di sisi mazhab Maliki menggerakkannya kanan dan kiri sampai selesai dari sembahyang.

Dan di sisi mazhab Hanbali mengisyaratkan dengan telunjuknya setiap kali menyebut nama Allah dan tidak menggerakkannya.”

Jika seorang yang sedang duduk tahyat ia tidak mengisyaratkan dengan jarinya maka sembahyangnya tidak batal kerana ia hanyalah sunat cuma dia telah meninggalkan satu perbuatan sunnah.

Dan begitu juga seorang yang mengisyaratkan dengan salah satu cara yang disunatkan di sisi imam mazhab yang empat sebagaimana tersebut di atas maka dia telah dikira mengamalkan sunnah.

Menyebut olih Syeikh Ahmad Al-’Umairah :

” كيفما فعل المصلي من الهيئات المذكورة حصَّل السنة ، وإنما الخلاف في الأفضل ” انتهى

Artinya : “Bagaimana pun cara berbuat orang yang sembahyang dari cara yang telah tersebut maka telah hasil mengikut sunnah. Hanya ulama berselisih tentang mana yang lebih afdhal sahaja.” (Kitab Hasyiah ‘Umairah)

SUMBER : https://www.facebook.com/Ustaz.Azhar.Idrus.Original/?tn-str=k%2AF

Add Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.