SUNAT SUNAT DALAM SEMBAHYANG SIRI 3

5. Membaca Ta’awuz

Disunatkan bagi orang yang sembahyang membaca ta’awuz selepas ia membaca doa iftitah atau sebelum membaca fatehah.

Pengertian isti’adzah atau ta’awuz :

Istiazah atau ta’awuz berarti memohon perlindungan dengan Allah dari syaitan.

Dari segi bahasa أَعُوْذُ adalah diambil dari perkataan العَوْذُ yang mempunyai dua makna :

1. Al-Iltija’ yang bermakna meminta perlindungan.
2. Al-iltishoq yang bermakna mendekati.

Berkata Imam Qurtubi : “Makna “Al-Isti’adzah” dalam percakapan orang Arab adalah meminta perlindungan dan mendekati kepada sesuatu dengan tujuan agar terhindar dari sesuatu yang dibenci.” (Tafsir Al-Qurtubi)

Dan maknanya dari segi istilah ialah aku meminta perlindungan kepada Allah, tidak kepada selain-Nya dari keburukkan dan kejahatan semua makhluk-Nya dari golongan syaitan yang membahayakan agamaku dan yang menghalangiku dari jalan kebenaran.

Antara lafaz ta’awuz yang masyhur ialah :

أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ

Artinya : Aku mohon berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam.

Ia adalah berdasarkan firman Allah :

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Artinya : “Maka apabila kamu hendak membaca Quran maka hendaklah kamu mohon perlindungan dengan Allah dari syaitan yang direjam.” (An-Nahl : 98)

Dan lafaz ta’awuz yang lain ialah أعوذ بالله السميع العليم من الشيطان الرجيم sebagaimana diriwayatkan olih Abu Daud.

Yang afdhal ialah membaca ta’awuz pada rakaat yang pertama sebelum membaca fatehah.

Tersebut dalam Muasu’ah al-Fiqh :

الاستعاذة مشروعةٌ في الرّكعة الأولى باتّفاقٍ

Artinya : Membaca ta’awuz disyariatkan pada rakaat yang pertama dengan ittifaq ulama.”

Dan selepas membacanya pada rakaat yang pertama maka disunatkan membacanya pula pada setiap rakaat yang lain sebelum membaca fatehah. Dan kata setengah ulama membaca pada selain rakaat yang pertama adalah harus.

Jika seorang itu hendak membaca ta’awuz sekali sahaja maka pada rakaat yang pertama adalah afdhal. Pada rakaat yang lain tidak lagi dibaca akan ta’awuz kerana memadai dengan bacaannya pada rakaat yang pertama.

Dan sunat dibaca ta’awuz dengan perlahan sekalipun pada rakaat yang dibaca kuat. Dan jika membacanya dengan kuat pada rakaat yang dibaca kuat maka tidaklah mengapa dan tidak membatalkan sembahyang.

Siapa yang sengaja meninggalkan membaca ta’awuz maka sembahyangnya sah tetapi dia luput kelebihan membacanya kerana keadaanya disyariatkan.

Dan perintah membaca ta’awuz ini adalah pada semua jenis sembahyang samada sembahyang fardhu atau sunat atau sembahayang berdiri atau duduk dan ketika mukim atau musafir dan samada ia imam atau makmum atau sembahyang sendirian dan lelaki juga perempuan dan pada sembahyang jenazah.

Hikmah Membaca Ta’awuz

1. Kerana menurut perintah Allah dan Rasul.

2. Supaya mendekatkan diri kepada Allah

3. Supaya syaitan menjauhkan dirinya dari kita.

4. Mendapat pahala membaca Quran tanpa dirosakkan olih gangguan syaitan.

5. Hancur segala penyakit batin akibat dari gangguan syaitan seperti ragu, was-was dan tidak yakin.

6. Supaya hadir malaikat mendekati kerana apabila syaitan menjauh maka malaikat akan mendekati.

7. Mengutuk syaitan dan bala tenteranya.

Add Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.