SUNAT SUNAT DALAM SEMBAHYANG SIRI 5

8. Membaca Doa Sebelum Menyebut Amin

Sebahagian ulama mengatakan sunat membaca doa selepas habis membaca fatehah dan sebelum mengatakan amin yakni bagi orang yang membaca fatehah. Manakala sebahagian ulama tidak menyunatkan membaca doa tersebut.

Telah diriwayatkan dari Wail bin Hujr r.a. katanya :

أنه صلى الله عليه وسلم قال عقب الضالين رب اغفر لي آمين

Artinya : “Sungguhnya Rasulullah saw selepas bacaan الضالين Rasulullah saw menyebut رب اغفر لي آمين.”

(Hadith Baihaqi dalam Kitab Sunan Kubra & At-Tabarani dalam Kitab Mu’jam Kabir)

Berkata Syeikh Ibnu Hajar al-Haithamy :

“Terdapat pada sanadnya yang bernama Ahmad Al-’Utaridi yang telah disiqahkan olih Imam Ad-Daruqutni. Dan setengah ulama mendhaifkan akan beliau.

Olih kerana berlaku perselisihan pendapat ulama pada sanadnya maka terjadi pula perselisihan ulama antara mengatakan akan sunatnya dan tidak sunatnya doa tersebut.

Antara ulama yang menyebut sunat dibaca doa رب اغفر لي ini ialah Syeikh Ibnu Hajar Haitahmi, Syeikh Muhammad Ramli, Syeikh Ali Syubramallisi, Syeikh Sulaiman Jamal, Syeikh Bujairimi, Syeikh Abu Bakar Syata dan Syeikh Syirwani.

Berkata Rabi’ bin Khaisyam :

فاستعن من الدعاء بما شئت إذا قال الإمام : غير المغضوب عليهم ولا الضالين

Artinya : “Apabila imam sudah membaca غير المغضوب عليهم ولا الضالين maka mohonlah dari Allah apa yang kamu suka.” (Riwayat Ibnu Abi Syaibah dari jalan Yunus bin Abi Ishak)

Berkata Ibrahim An-Nakha’ie :

كان يستحب إذا قال الإمام : {غير المغضوب عليهم ولا الضالين} أن يقال : اللهم اغفر لي

Artinya : “Adalah elok bila imam selesai membaca غير المغضوب عليهم ولا الضالين bahawa disebut “اللهم اغفر لي”. (Riwayat Ibnu Abi Syaibah dari jalan Sufyan At-Thauri)

Berkata Al-Mujahid :

إذا قال الإمام : {غير المغضوب عليهم ولا الضالين} فقل : اللهم إني أسألك الجنة وأعوذ بك من النار

Artinya : “Apabila imam berkata غير المغضوب عليهم ولا الضالين maka katalah : Ya Allah aku minta akan Engkau syurga dan berlindung dengan Engkau daripada neraka.” (Riwayat Ibnu Abi Syaibah dari jalan Sufyan At-Thauri)

Berkata Imam Nawawi :

قال إمامنا الشافعي في الأم: فإن قال آمين رب العالمين كان حسنًا

Artinya : “Telah berkata olih Imam Syafie dalam kitab Al-Uum : Maka jika berkata seorang آمين رب العالمين maka adalah ia elok.” (Kitab Zawaid Ar-Raudhah)

Tersebut dalam kitab Bughyah Murtasyidin :

لايطلب فى المـأموم عند فراغ امامه من الفاتحة قول رب اغفرلى وانما يطلب منه التأمين فقط وقول رب اغقرلى مطلوب من القارى فقط فى سكتة بين اخر الفاتحة وامين

Artinya : “Tiada dituntut pada makmum ketika imam selesai dari membaca fatehah menyebut رب اغفرلى.
Dan hanya yang dituntut dari makmum ialah membaca amin sahaja. Doa رب اغفرلى itu hanya dibaca olih yang membaca fatehah sahaja pada ketika berhenti sekejap antara akhir fatehah dan amin.” (Kitab Bughyah Al-Murstasyidin)

Arti رب اغفر لي ialah “Wahai Tuhanku. Ampunkanlah bagiku.”

Jika seseorang tidak membacanya maka tidak ada apa-apa kerana ia bukan wajib atau rukun maka siapa yang membacanya maka hukumnya adalah sunat pada sisi sebahagian ulama dan siapa yang tidak membacanya maka hukumnya tidak sunat disisi sebahagian ulama yang lain.

Dan tidak disunatkan sujud sahwi bagi seseorang yang tidak membacanya.

wallahua’lam

SUMBER: https://www.facebook.com/Ustaz.Azhar.Idrus.Original/

Add Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.