SUNAT SUNAT DALAM SEMBAHYANG SIRI 5

7. Membaca Amin

Disunatkan bagi orang yang sembahyang apabila selesai dari membaca fatehah dan berhenti seketika ia membaca ta’min yaitu menyebut amin pada semua jenis sembahyang fardhu atau sunat samada pada sembahyang jahar atau sir dan samada sembahyang ketika mukim atau musafir dan samada ia imam atau makmum atau sembahyang sendirian dan samada lelaki atau perempuan atau kanak-kanak.

Dan disunatkan juga menyebut ta’min ini bagi orang yang selesai membaca fatehah di luar sembahyang.

Asal perintah menyebut ta’min selesai membaca fatehah ialah beberapa hadith Nabi saw.

Di antaranya ialah hadith yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. katanya :

Rasulullah saw bersabda :

إِذَا أَمَّنَ الإِمَامُ فَأَمِّنُوا

artinya : “Apabila imam membaca amin maka hendaklah kamu semua membaca amin.” (Hadith Bukhari)

Dan tempat menyebut amin ini ialah selepas membaca (وَلاَ الضَّالِّينَ).

Jika belum dibaca akan (وَلاَ الضَّالِّينَ) maka tidak disunatkan membaca amin.

Apabila selesai dari membaca surah fatehah maka disunatkan diam sekejap sebelum menyebut ta’min supaya membezakan antara surah fatehah dan sebutan amin dari kerana amin bukan termasuk dari surah fatehah.

Jika sembahyang yang dikerjakan itu ialah sembahyang yang dibaca kuat akan fatehahnya maka sunat dikuatkan juga akan sebutan amin. Begitu juga bagi sembahyang yang disunatkan membaca perlahan akan fatehahnya maka disunatkan memperlahankan bacaan amin ini.

Dalam sembahyang berjemaah sunat bagi makmum membaca amin bersama-sama dengan bacaan amin imam supaya bersamaan dengan ucapan amin para malaikat dari kerana para malaikat membaca amin serentak dengan bacaan amin imam.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda :

إِذَا أَمَّنَ الإِمَامُ فَأَمِّنُواْ، فَإِنَّهُ مَنْ وَافَقَ تَأْمِينُهُ تَأْمِينَ الْمَلاَئِكَةِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.

Artinya : “Apabila imam menyebut amin maka hendaklah kamu menyebut amin bersama-sama maka sungguhnya siapa yang serentak sebutan aminnya dengan amin para malaikat maka akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu. “ (Hadith Bukhari)

Maka teramat rugilah jika makmum melepaskan peluang yang amat berharga ini ketika sembahyang bersama imam.

Maksud ucapan amin ialah memohon makbul daripada Allah Taala atas segala permintaan yang kita minta. Olih sebab itu maka sunat selepas berdoa kita mengucapkan amin samada mengaminkan doa sendiri atau doa yang dibaca olih orang lain.

Dan di antara hikmah disuruh membaca amin selepas membaca fatehah ialah kerana fatehah itu sendiri adalah surah doa kerana di dalamnya mengandungi doa-doa maka dengan menyebut amin selepas membaca fatehah atau selepas berdoa bermakna kita mengharapkan sangat-sangat Allah mengabulkan permintaan kita.

Rasulullah saw telah bersabda :

وَإِذَا قَالَ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ فَقُولُوا آمِينَ. يُجِبْكُمُ اللَّهُ

Artinya : “Dan apabila selesai ia membaca (غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ) Maka katalah olih kamu semua akan amin. Pasti Allah akan memperkenankan.” (Hadith Muslim)

Jika dalam sembahyang berjemaah imam telah terlupa membaca amin maka sunat para makmum membaca akan amin.

Makmum yang sedang membaca fatehah lalu membaca amin bersama-sama dengan imam maka fatehah makmum tadi tidak terputus. Hendaklah makmum menyambung bacaan fatehah pada tempat yang dia berhenti tadi.

Ketika menyebut amin ini hendaklah disebut dengan betul yaitu betul bunyi hurufnya dan betul panjang atau pendeknya.

Sekurang-kurang sebutan amin yang betul dan sah ialah dengan bacaan pendek yaitu أٰمِيْنَ berbunyi aamiin.
Alif dibaca dua harakat dan mim dibaca dua harakat. Bacaan ini disebut bacaan qasar.

Dan yang afdhal ialah dibaca dengan bacaan mad yaitu panjang alif dan mimnya sebanyak 6 harakat. Ia adalah bacaan yang paling masyhur.

Diriwayatkan daripada dari Wa’il bin Hujr r.a. beliau berkata :

سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه و سلم يَقْرَأُ : ( غَيْرِ الْمَغْضُوْبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّيْنَ ) فَقَالَ : آمِيْنَ مَدَّ بِهَا صَوْتَهُ .

Artinya : “Aku telah mendengar akan Rasulullah saw membaca ( غَيْرِ الْمَغْضُوْبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّيْنَ ) maka lalu baginda membaca Aamiin dan baginda telah memanjangkan dengan ta’min itu akan suaranya.” (Hadith Abu Daud & Ibnu Majah)

Dan tidak sah dibaca dengan أَمِيْنٌ yaitu alifnya hanya dibaca dengan satu harakat.

Dan tidak sah juga jika dibaca dengan أٰمِنْ yaitu mimnya hanya dibaca dengan satu harakat.

Barang siapa yang terlupa membaca amin lalu mula membaca surah atau telah rukuk maka tidak disunatkan lagi membaca amin kerana bukan lagi berada pada tempatnya.

Dan tidak disunatkan sujud sahwi jika terlupa membaca amin atau sengaja meninggalkannya.

Wallahua’lam

Add Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.