SUNAT-SUNAT DALAM SEMBAHYANG SIRI 7

9. Membaca Surah Selepas Fatehah

Telah berlaku ijmak disunatkan membaca surah daripada Quran selepas selesai membaca Fatehah samada dalam sembahyang fardhu atau sunat dan samada sembahyang berjemaah atau sendirian dan ketika sihat atau sakit. Adapun sembahyang jenazah maka tidak disunatkan membaca surah kerana diperintah dengan memendekkan sembahyang kerana meraikan akan si mati.

Berkata Ibnu Sirrin :

                                                                            لا اعلمهم يختلفون في هذا

Artinya : “Aku tidak mengetahui akan mereka itu (yakni para sahabat) berbeza pendapat dalam masalah ini.”

Tempat yang disunatkan ialah pada kedua rakaat sembahyang subuh dan jumaat dan pada dua rakaat yang pertama sembahyang zuhur, asar, maghrib dan isyak.

Hukum membacanya adalah sunat haiah yakni sunat yang ringan. Maka jika tidak membacanya sembahyang tetap sah dan tidak disunatkan sujud sahwi kerana meninggalkannya.

Tetapi sengaja meninggalkannya tanpa uzur bagi mereka yang sunat membacanya adalah makruh.

Surah Mana Yang Di Baca?

Tidak ditentukan dengan mana-mana surah untu dibaca ketika ini. Terpulang ke atas seseorang untuknya membaca apa sahaja surah yang dia mahu daripada Quran.

Tetapi jika dia membaca surah yang datang dalam hadith Rasulullah membacanya pada sembahyang tersebut maka ia adalah lebih afdhal.

Perkataan yang mengatakan tidak boleh membaca surah yang tidak dibaca oleh Rasulullah SAW adalah salah kerana menyalahi ulama yang muktabar.

Seseorang itu bebas memilih apa sahaja surah yang dia suka samada pendek atau panjang dan samada sebahagian surah atau satu surah yang lengkap.

Tetapi jika menjadi imam maka disunatkan tidak membaca terlalu panjang kerana meraikan makmum dibelakangnnya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. :

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا أَمَّ أَحَدُكُمْ النَّاسَ فَلْيُخَفِّفْ فَإِنَّ فِيهِمْ الصَّغِيرَ وَالْكَبِيرَ وَالضَّعِيفَ وَالْمَرِيضَ فَإِذَا صَلَّى وَحْدَهُ فَلْيُصَلِّ كَيْفَ شَاءَ.

Artinya : “Daripada Nabi saw bersabda : Apabila menjadi imam seorang kamu akan manusia maka ringankanlah dari kerana di kalangan mereka itu ada kanak-kanak dan yang lemah dan yang sakit. Maka apabila sembahyang ia seorang diri maka sembahyanglah bagaimana yang dia kehendaki.” (Hadith Tirmizi)

Orang yang disunatkan membaca surah ini ialah imam dan yang sembahyang sendirian samada lelaki atau perempuan dan pada sembahyang mukim atau musafir.

Adapun makmun tidaklah disunatkan membaca surah jika sedang dalam sembahyang jahar yaitu imam membaca kuat kerana makmum ketika itu disunatkan mendengar bacaan surah dari imam.

Adapun makmum yang berada dalam sembahyang jahar tetapi bacaan imam tidak dapat didengarinya maka sunat makmum tersebut membaca surah.

Maka jika sembahyang yang sir yakni yang imam membaca dengan perlahan adalah disunatkan makmum yang selesai membaca fatehah membaca pula akan surah.

Begitu juga dengan makmum masbuk jika selesai membaca fatehah masih ada masa sebelum imam rukuk sunat ia baca surah pada sembahyang yang baca perlahan.

Tidak disunatkan membaca surah pada rakaat yang selain dua rakaat pertama. Maka jika dibacanya juga akan surah maka sembahyangnya tidak batal dan perbuatannya itu adalah menyalahi yang lebih utama yaitu tidak dibaca akan surah.

Surah Yang Di Baca Oleh Rasulullah saw

Telah datang pada hadith beberapa surah tertentu yang dibaca oleh Rasulullah SAW pada sesetengah sembahyang.

Antaranya ialah :

Pada sembahyang Jumaat dan Hari Raya.

Meriwayatkan olih Nu’man bin Basyir r.a. katanya :

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الْعِيدَيْنِ وَفِي الْجُمُعَةِ بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى وَهَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ

Artinya : “Adalah Rasulullah saw membaca surah Al-A’la dan surah Al -Ghasyiah dalam sembahyang dua hari raya dan sembahyang jumaat.” (Hadith Muslim)

Pada sembahyang Jumaat.

Ibnu Abi Rafi’ pernah bertanyakan kepada Abu Hurairah r.a. tentang kenapa beliau membaca surah Al-Jumuah dan Al-Munafiqun pada sembahyang jumaat maka menjawab oleh Abu Hurairah r.a. :

فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ بِهِمَا يَوْمَ الْجُمُعَةِ

Artinya : “Maka sungguhnya aku telah mendengar Rasulullah saw membaca akan kedua surah itu (Jumuah & Munafiqun) pada hari jumaat.” (Hadith Muslim)

Pada sembahyang subuh.

Diriwayatkan‘Amr bin Harith r.a. beliau berkata :

سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الْفَجْرِ إِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ

Artinya : “Aku telah mendengar akan Nabi saw membaca pada sembahyang subuh akan إِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ ” (Hadith An-Nasaai)

Pada sembahyang zuhur dan asar.

Jabir bin Samurah r.a. berkata :

كان يقرأ في الظهر والعصر بالسماء ذات البروج ، والسماء والطارق ، وشبهها

Artinya : “Adalah Rasulullah saw membaca pada sembahyang zuhur dan asar akan السماء ذات البروج dan السماء والطارق dan yang menyerupai akan keduanya.” (Hadith Abu Daud. Tirmizi & Nasaai)

Dan juga dari Jabir bin Samurah r.a. :

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم ، يقرأ في الظهر بالليل إذا يغشى ، وفي العصر نحو ذلك .

Artinya : “Adalah Rasululahh saw membaca pada sembahyang zuhur akan الليل إذا يغشى dan pada sembahyang asar akan seumpama demikian itu.” (Hadith Muslim)

Pada sembahyang maghrib.

Dari Jubair bin Mat’am r.a. ia berkata :

سمعتُ رسولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يقرأُ بالطورِ في المغربِ

Artinya : “Aku pernah mendengar Rasulullah saw membaca akan surah At-Thuur pada sembahyang maghrib” (Hadith Muslim).

Pada sembahyang isyak.

Daripada Barra’ bin Azib r.a. katanya :

سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقرأ في العشاء بالتين والزيتون

Artinya : “Telah aku dengar akan Nabi saw membaca pada sembahyang isyak akan surah At-Tin.” (Hadith Bukhari)

Dan beberapa hadith lagi yang menyebut perbagai surah yang dibaca oleh Rasulullah SAW dalam sembahyang yang tertentu.

Tersebut pada Kitab Mughni Muhtaj disunatkan pada sembahyang subuh dan zuhur baca surah Tiwal Mufassal dan pada asar dan isyak akan surah yang pertengahannya dan pada maghrib pula surah yang pendek. Dan disunatkan pada subuh hari jumaat akan surah Alif Lam Tanzil pada rakaat pertama dan pada rakaat kedua akan surah Al-Insan.

Maksud Tiwal Mufasal ialah surah-surah dari surah yang 50 yaitu surah Qaf hingga ke surah yang ke 85 yaitu surah Al-Buruuj.

Hasilnya apa sahaja surah yang kita baca adalah sunat belaka hukumnya samada yang panjang atau pendek semuanya mendapat pahala sekalipun tidak datang dalam hadith ada Rasulullah saw membacanya cuma membaca surah yang dibaca oleh Rasulullah SAW adalah lebih afdhal.

Cara Membaca Surah

Hendaklah dibaca dengan sebutan yang betul segala hukum tajwid dan makhrajnya.

Sunat dibaca dengan suara yang merdu sebagaimana disunatkan dalam fasal membaca fatehah.

Sunat dibaca pada rakaat yang kedua akan surah yang lebih pendek dari yang dibaca pada rakaat yang pertama.

Dan hendaklah dibaca mengikut tertib surah yaitu surah yang dibaca pada rakaat yang pertama lebih kehadapan susunannya dari surah yang dibaca pada rakaat yang kedua.

Dan harus mengulangi akan surah yang telah dibaca pada rakaat yang pertama pada rakaat yang kedua.

Membaca surah secara langkap yakni dari awal sampai akhir lebih afdhal dari membaca sekerat-sekerat.

Wallahua’lam

sumber: https://www.facebook.com/Ustaz.Azhar.Idrus.Original/?tn-str=k%2AF

Add Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.