SUNAT-SUNAT DALAM SEMBAHYANG SIRI 8

10. Sunat Ketika Rukuk

Disunatkan ketika seseorang yang sembahyang itu memulakan rukuk dengan mengucapkan takbir sama seperti takbiratul ihram pada permulaan sembahyang.

Abu Hurairah r.a. berkata :

كان رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم إذا قام الى الصلاةِ ، يُكبِّرُ حين يقومُ ، ثم يُكبِّرُ حين يركعُ

Artinya : “Adalah Rasulullah saw apabila memulakan sembahyang baginda bertakbir ketika berdiri dan bertakbir ketika hendak rukuk.” (Hadith Bukhari)

Dan disunatkan pula ketika bertakbir untuk rukuk itu ia mengangkat kedua tangannya sebagaimana diangkat ketika takbiratul ihram pada cara dan rupa angkatnya.

Ibnu Umar r.a. berkata :

أنَّ النبيَّ صلّى الله عليه وسلّم كان يرفعُ يديه حذوَ مَنكبيه؛ إذا افتتح الصَّلاةَ، وإذا كبَّرَ للرُّكوع

Artinya : “Bahawasanya Nabi saw adalah baginda mengangkat kedua tangannya setentang paras bahu bila memulakan sembahyang dan mengangkat juga akan keduanya untuk rukuk.” (Hadith Bukhari)

Jika seorang itu tidak bertakbir atau tidak mengangkat kedua tangan atau rukuk tanpa melakukan kedua-duanya maka sembahyangnya tetap sah tetapi luput ia akan fadhilat keduanya.

Dan ketika rukuk sunat kedua tapak tangannya sampai kepada lutut.

Diriwayatkan dari Salim bin Barrad beliau menceritkan bahawa ‘Uqbah bin ‘Amr Al-Anshori r.a. menunjukkan cara sembahyang Rasulullah saw dengan katanya :

فَلَمَّا رَكَعَ وَضَعَ يَدَيْهِ عَلَى رُكْبَتَيْهِ

Artinya : “Maka ketika ‘Uqbah rukuk beliau meletakkan kedua tangannya di atas dua lututnya.” Hadith Abu Daud)

Jika seorang itu tunduk kepada sekurang-kurang had rukuk tetapi dia memegang kedua lututnya tetapi dipegang akan kedua paha sahaja atau dipegang pada bawah lutut atau betisnya maka tidak batal sembahyangnya tetapi tidaklah elok kerana tidak mengikut perbuatan Rasulullah saw.

Dan sunat pula merenggangkan sedikit segala jari-jari ketika memegang kedua lututnya semasa rukuk itu.

Abu Humaid As-Sa’idiy r.a. menceritakan beliau melihat Rasulullah saw sembahyang dengan katanya :

فَإِذَا رَكَعَ أَمْكَنَ كَفَّيْهِ مِنْ رُكْبَتَيْهِ ، وَفَرَّجَ بَيْنَ أَصَابِعِهِ

Artinya : Apabila baginda rukuk baginda memegang dengan dua tapak tangan akan dua lututnya dan menjarangkan antara jari-jarinya.” (Hadith Abu Daud)

Dan sunat rukuk dengan lurus yakni kepalanya tidak menunduk dan tidak pula terdongak.

Kata Abu Humaid As-Sa’idiy r.a. :

لاَ يَصُبُّ رَأْسَهُ وَلاَ يُقْنِعُ مُعْتَدِلاً

Artinya : “Rasulullah saw tidak menundukkan akan kepalanya dan tidak pula mendongakkan hanya keadaan baginda sedang-sedang sahaja.” (Hadith Ibnu Majah)

Kemudian disunatkan membaca zikir di dalam rukuk kerana mengikut perbuatan Nabi saw yang bezikir ketika baginda di dalam rukuk.

Antara bacaan zikir dalam rukuk yang sunnah ialah :

سُبْحَانَ رَبِّىَ الْعَظِيمِ

Diriwayatkan dari Huzaifah r.a. menceritakan sembahyang Rasuluallah saw :

ثُمَّ رَكَعَ فَجَعَلَ يَقُولُ سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ

Artinya : “Kemudian Rasulullah saw pun rukuk dan baginda membaca “Maha suci Allah yang Maha Agung” (Hadith Muslim)

Atau dibaca :

سُبْحَانَ رَبِّىَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ

Berkata ‘Uqbah bin ‘Amr r.a. :

فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَكَعَ قَالَ : سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ

Artinya “ Adalah Rasulullah saw apabila baginda rukuk badinda menyebut “Maha suci Allah yang Maha Agung dengan segala kepujiannya.” (Hadith Abu Daud)

Dan harus berdoa di dalam masa rukuk selepas mengucapkan zikir kerana sabit dalam hadith Aisyah r.a. katanya Rasulullah saw ketika rukuk dan sujud baginda membaca :

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي

Artinya : Maha suci Allah Wahai Tuhan kami dengan kepujian-Mu aku meminta keampunan bagiku.” (Hadith Syeikhain)

Dan beberapa bacaan zikir dan tasbih yang datang dalam hadith-hadith Nabi saw adalah sunat dan harus dibaca ketika rukuk.

Yang afdhal hendaklah dibaca zikir atau tasbih yang tersebut di atas sebanyak 3 kali sebagaimana datang dalam hadith Rasulullah saw membaca sebanyak 3 kali.

Jika di baca sekali sahaja maka sudah memadai mendapat pahala bacaan zikir di dalam rukuk.

Dan imam sayugia membacanya tidak lebih dari 3 kali kerana meringankan sembahyang yang dibelakangnya ada hadir orang ramai dan kanak-kanak.

Makmum dan orang yang sembahyang sendirian harus melebihkannya dari 3 kali.

Jika diam tanpa uzur tidak membaca zikir dan tasbih di dalam rukuk maka tidaklah membatalkan sembahyang tetapi perbuatan itu adalah makruh jika tanpa uzur.

Dan tidak dilakukan sujud sahwi bagi mereka yang terlupa membaca zikir di dalam rukuk.

Wallahua’lam

Add Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.