SUNAT-SUNAT DALAM SEMBAHYANG SIRI 9

11. Sunat Ketika Iktidal

Disunatkan seorang yang mahu bangun dari rukuk kepada iktidal samada ia imam atau makmum atau sembahyang sendirian lelaki dan perempuan dan samada pada sembahyang fardhu atau sunat mengucapkan tasmi’ yaitu ucapan :

سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ

Sunat mula berkata dengan ucapan tasmi’ ini dengan mula melepaskan dua tapak tangan dari lutut kerana bangun kepada iktidal. Dan selesai berkatanya dengan sampai kepada berdiri tegak.

Dalil disunatkan mengangkat dua tangan ketika bangun dari rukuk ialah hadith Wail bin Hujr r.a. katanya :

صَلَّيْتُ خَلْفَ رَسُوْلِ اللهِ ص، فَكَبَّرَ حِيْنَ دَخَلَ وَ رَفَعَ يَدَيْهِ وَحِيْنَ اَرَادَ اَنْ يَرْكَعَ رَفَعَ يَدَيْهِ، وَ حِيْنَ رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوْعِ رَفَعَ يَدَيْهِ

artinya : “Aku pernah sembahyang di belakang Rasulullah saw maka baginda bertakbir ketika masuk ke dalam sembahyang dan mengangkat dua tangannya dan pada ketika baginda rukuk pun baginda angkat kedua tangannya. Dan begitu juga ketika baginda angkat kepalanya daripada rukuk baginda telah mengangkat akan dua tangannya.” (Hadith Ahmad)

Dan dalil mengucapkan tasmi’ ada beberapa hadith yang antaranya ialah hadith yang diiriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. katanya :

كُنَّا إِذَا صَلَّيْنَا خَلْفَ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ.

Artinya : “Adalah kami para sahabat apabila sembahyang di belakang Nabi saw maka Nabi saw berkata : سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ (Hadith Ad-Daruqutni)

Arti ucapan سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ ialah : Allah telah mendengar orang-orang yang telah memuji-Nya.

Maka sunat mengucap tasmi’ olih imam dan makmum dan yang sembahyang sendirian.

Imam Syafie berkata :

وَيَقُوْلُ الْإِمَامُ وَالْمَأْمُوْمُ وَالْمُنْفَرِدُ عِنْدَ رَفْعِهِمْ رُؤُوْسَهُمْ مِنَ الرُّكُوْعِ سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَه،ُ

Artinya : “Dan sunat berkata olih imam dan makmum dan yang sembahyang sendirian ketika mereka mengangkat kepala mereka dari rukuknya membaca ‘sami’allaahu liman hamidah’. (Kitab Al-Uum)

Dan apabila telah berdiri tegak kepada iktidal maka disunatkan pula mengucapkan tahmid yaitu ucapan :

رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ

Artinya : “Wahai Tuhan kami. Engkaulah yang memiliki segala kepujian.”

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. beliau menceritakan perihal sembahyang Rasulullah saw dengan katanya :

ثُمَّ يَقُوْلُ سَمِعَ اللهُ لَمِنْ حَمِدَهُ . حِينَ يَرْفَعُ صُلْبَهُ مِنَ الرَّكْعَةِ ، ثُمَّ يَقُولُ وَهُوَ قَائِمٌ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ

Artinya : “kemudian Rasulullah saw berkata سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ ketika mengangkat belakangnya dari rukuk kemudian baginda berkata ketika sudah berdiri pula رَبَّنَا لَكَ الْحَمْد (Hadith Muslim)

Disunatkan mengucap tahmid ini ke atas imam dan makmum dan yang sembahyang sendirian.

Berkata Imam Nawawi :

وَأَنَّهُ يُسْتَحَبُّ لِكُلِّ مُصَلٍّ مِنْ إِمَامٍ وَمَأْمُوْمٍ وَمُنْفَرِدٍ أَنْ يَقُوْلَ : سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ ، وَيَجْمَعَ بَيْنَهُمَا فَيَكُوْنُ سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فِي حَالِ ارْتِفَاعِهِ ، وَقَوْلُهُ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ فِي إِعْتِدَالِهِ لِقَوْلِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُوْنِي أُصَلِّي

Artinya “Dan bahawasanya disunatkan bagi setiap yang sembahyang daripada imam, makmum dan yang sembahyang sendirian menyebut سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ . Dan hendaklah menghimpunkan keduanya maka adalahlah ucapan سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ pada ketika bangunnya. Dan berkata رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ pada ketika iktidalnya kerana sabda Nabi saw : Sembahyanglah kamu sebgaimana kamu melihat aku sembahyang.” (Kitab Syarah Sahih Muslim)

Dan harus ketika iktidal membaca dengan lebih panjang dengan ucapan :

رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ، مِلْءَ السَّمَاوَاتِ وَمِلْءَ الأَرْضِ، وَمِلْءَ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ

Artinya “ Wahai Tuhan kami. Segala kepujian adalah milik-Mu sepenuh langit sepenuh bumi dan sepenuh apa yang Engkau kehendaki selepasnya.”

Kerana diriwayatkan daripada Ibnu Abi Aufa r.a. katanya :

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَفَعَ ظَهْرَهُ مِنَ الرُّكُوْعِ قَالَ سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ اللهم رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ مِلْءُ السَّمَوَاتِ وَمِلْءُ الْأَرْضِ وَمِلْءُ مَا شِئْتَ مِنْ شَىْءٍ بَعْدُ

Artinya : “Adalah Rasulullah saw apabila baginda mengangkat belakangnya daripada rukuk baginda berkata :

‘Telah mendengar olih Allah akan orang yang memujinya. Wahai Tuhan kami segala pujian itu bagi-Mu sepenuh langit sepenuh bumi dan sepenuh apa yang telah Kamu kehendaki selepas itu.” (Hadith Muslim)

Dan ada beberapa lafaz yang lain yang dibaca ketika iktidal dalam beberapa hadith dan atsar maka harus dibaca akan dia.

Berkata Imam Nawawi :

قال الشافعي والأصحاب : يقول في الرفع : ربنا لك الحمد ، وإن شاء قال : اللهم ربنا لك الحمد ، أو : لك الحمد ربنا

Artinya : “Telah berkata olih Imam Syafie : Berkata yang sembahyang ketika bangun dari rukuk akan ‘rabbanalakalhamdu’. Dan jika ia mahu ia berkata ‘Allahumma Rabbana lakalhamdu’ atau ‘lakalhamdu Rabbana’. (Raudhah At-Thalibin)

Dan sunat pada ketika iktidal itu kedua tangan dilepaskan ke bawah.

Berkata Imam Nawawi :

فإذا اعتدل قائما حطهما

Artinya : “Apabila seorang itu telah tegak berdiri dalam iktidal maka dilepaskan kedua tangannya.” (Kitab Raudhah At-Tholibin)

Dan jika pada sembahyang yang jahar maka imam menguatkan akan bacaan ‘sami’Allahu liman hamidah’ dan memperlahankan bacaan ‘Rabbana lakalhamdu’ bagi imam dan makmum.

Berkata Imam Al-Mawardi :

يجهر الإمام بـ : سمع الله لمن حمده ، ويسر بـ : ربنا لك الحمد ، ويسر المأموم بهما

Artinya : “Imam disunatkan menguatkan bacaan ‘sami’Allahu liman hamidah’ dan memperlahankan bacaan ‘Rabbana lakalhamdu’ manakala makmum sunat memperlahankan kedua bacaan tersebut.” (Kitab Al-Hawi al-Kaabir)

Dan siapa yang tidak membaca tasmi’ ketika bangun dari rukuk dan tidak membaca tahmid ketika iktidal maka sembahyangnya adalah sah tetapi luput baginya pahala kerana Rasulullah saw membaca akan dia.

Dan tidak sunat sujud sahwi bagi yang tidak membacanya.

Wallahua’lam

sumber: https://www.facebook.com/Ustaz.Azhar.Idrus.Original/?tn-str=k%2AF

Add Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.