SUNAT SUNAT SEMBAHYANG SIRI 2

3.Melihat tempat sujud

Sunat hukumnya orang yang sembahyang memadang ke tempat sujud pada keseluruhan solatnya. Samada ketika berdiri atau ketika rukuk atau ketika duduk melainkan ketika bertasyahhud.

adalah diriyawatkan:

كان صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذا صلى؛ طأطأ رأسه، ورمى ببصره نحو الأرض

Artinya : “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila sembahyang maka baginda menundukkan kepalanya dan mengarahkan pandangannya ke tanah.” (Hadith Al-Hakim)

Dan hikmah disunatkan memandang kepada tempat sujud itu ialah kerana ia lebih mendekatkan kepada khusyuk ketika sembahyang.

Berkata Syeikh Ramli :

“Disunatkan mengekalkan pandangan orang yang sembahyang ke arah tempat sujudnya pada sekelian sembahyangnya dan walau pun di depan Ka’bah atau di dalam gelap dengan bahawa kelakuannya seperti kelakuan orang yang memandang ke arah tempat sujud kerana ia lebih hampir kepada khusyuk.” ( Nihayah Syarah Minhaj)

Berkata Syeikh Zainudin :

وسن إدامة نظر محل سجوده لأن ذلك أقرب إلى الخشوع

Artinya : “Dan sunat mengekalkan pandangan ke tempat sujudnya kerana yang demikian itu lebih dekat kepada khusyuk.” (Fathul Mu’in)

Adapun ketika tasyahhud maka sunat matanya melihat ke arah jarinya yang memberi isyarat.

Ibnu Umar r.a. menceritakan peri kelakuan sembahyang Nabi saw dengan katanya :

وَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى فَخِذِهِ الْيُمْنَى وَأَشَارَ بِأُصْبُعِهِ الَّتِى تَلِى الإِبْهَامَ فِى الْقِبْلَةِ وَرَمَى بِبَصَرِهِ إِلَيْهَا

Artinya : Nabi saw telah telah meletakkan telapak tangan kanannya di atas paha kanannya dan baginda berisyarat dengan jari telunjuk ke arah kiblat serta mengarahkan pandangan mata kepadanya (telunjuk itu). (Hadith Nasai, Ibn Hibban & Ibn Khuzaimah)

Diriwayatkan dari Nafi’ beliau berkata :

كَانَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ إِذَا جَلَسَ فِى الصَّلاَةِ وَضَعَ يَدَيْهِ عَلَى رُكْبَتَيْهِ وَأَشَارَ بِإِصْبَعِهِ وَأَتْبَعَهَا بَصَرَهُ

artinya : “Adalah Abdullah bin ‘Umar r.a apabila duduk ia di dalam sembahyang ia meletakkan kedua tangannya di atas kedua lututnya dan memberi isyarat dengan jarinya dan menjadikan pandangannya mengikuti jari tersebut.” (Hadith Ahmad)

4. Membaca Doa Iftitah

Disunatkan orang yang sembahyang selepas mengangkat takbiratul ihram ia membaca doa iftitah. Dinamakan sebagai iftitah yang bermaksud pembukaan yakni pembukaan bagi sembahyang.

Sunat membaca doa iftitah ini pada semua jenis sembahyang samada sembahyang fardhu atau sunat dan samada ketika berdiri atau duduk dan samada imam atau makmum atau sembahyang sendirian dan pada sembahyang dua hari raya dan sembahyang gerhana pada qiam yang pertama dan sembahyang minta hujan.

Tidak disunatkan membaca doa iftitah pada dua tempat yaitu pada sembahyang jenazah kerana menyegerakan bawa jenazah ke kubur dan pada sembahyang makmum yang ketinggalan dari imamnya.

Dan tempat dibacakan doa iftitah ini ialah sebelum dari membaca ta’awuz atau basmalah.

Ada beberapa lafaz iftitah yang datang di dalam hadith yang dibaca olih Rasulullah saw dan sahabat r.a.

Antaranya ialah :

اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا مُسْلِمًا، وَمَا أَنَا مِنْ الْمُشْرِكِينَ، إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنْ الْمُسْلِمِينَ

Artinya : “Allah maha besar sebesar-besarnya. Dan segala puji bagi Allah yang sangat banyak. Dan maha suci Allah pada pagi dan petang.” (Hadith Muslim)

“Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta segala langit dan bumi dalam keadaan tunduk dan menyerah. Dan tidaklah aku dari kalangan orang yang syirik. Sungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah Tuhan sekelian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan demikian itulah aku disuruh. Dan aku dari kalangan orang yang Islam.” (Hadith Muslim, Abu Daud & Ibnu Hibban)

Dan ada beberapa lagi lafaz doa iftitah yang boleh dibaca yang driwayatkan daripada Abu Hurairah, Ali, Aisyah, Anas bin Malik r.a. dan lain-lain.

Jika seorang sengaja meninggalkan baca doa iftitah maka tidaklah batal sembahyangnya kerana doa iftitah hanyalah sunat dalam sembahyang tetapi luput baginya pahala yang banyak dan tidak sunat ia melakukan sujud sahwi.

Jika makmum yang tidak punya masa yang cukup untuk membaca iftitah dan fatehah maka hendaklah ditinggalkan membaca iftitah dan hendaklah ia membaca yang wajib yaitu fatehah.

Begitu juga tidak sunat bagi makmum membaca iftitah jika dia mendapatkan imam bukan di dalam berdiri seperti dia mendapatkan imam di dalam rukuk atau sujud atau duduk tahyat.

Adapun jika dia mendapatkan imam dalam keadaan berdiri sekalipun dalam rakaat yang tertinggal maka sunat makmum itu membaca doa iftitah jika luas waktunya untuk membaca iftitah dan fatehah. Dan jika sempit waktunya maka tidak sunat ia membaca iftitah tetapi bacalah fatehah sahaja.

Orang yang sembahyang dihujung waktu jika bimbang dengan sebab membaca fatehah maka sembahyangnya terkeluar dari waktu maka tidak sunat ia membaca doa iftitah.

sumber: https://www.facebook.com/Ustaz.Azhar.Idrus.Original/

Add Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.