WAS-WAS DALAM SEMBAHYANG

Soalan:

Saya ada mempunyai sifat waswas yang amat tinggi. Setiap kali saya hendak melakukan sembahyang, hati saya susah nak memasang niat. Setiap kali saja saya hendak mengangkat takbir, hati saya ragu-ragu dan begitu juga ketika sembahyang, ketika membaca ayat-ayat dalam sembahyang terutama membaca ‘Bismillah’, hati saya ragu-ragu sama ada bacaan saya itu betul atau tidak.

Jadi bolehkah pihak tuan dalam membantu saya untuk menghilangkan perasaan waswas ini dan apa yang perlu saya buat?

Jawapan:

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَـالمِينَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلىَ سَـيِّـدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى اٰلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ، وَبَعْدُ

Waswas menurut Kamus Dewan bererti perasaan sangsi, curiga dan khuatir. Dari istilah Bahasa Arab pula bererti sangkaan buruk yang merunsingkan hati atau fikiran dan godaan batin.

Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullah, al-Waswasah (الوسوسة) adalah suara yang tersembunyi atau bisikan hati (dalam diri). Manakala al-Waswâs (الوَسْوَاس) adalah nama syaitan sepertimana yang disebutkan dalam surah an-Nâs. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 20/261)

Perasaan waswas berbeza dengan syak. Menurut Sayyid al-Bakri Rahimahullah, sembahyang tidak batal jika waswas timbul kerana ia adalah fikiran yang datang tanpa pilihan (ia hanyalah mainan fikiran). (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/343)

Manakala sekiranya syak timbul, maka hendaklah kita teruskan dengan apa yang kita yakini. Ini bersesuaian dengan salah satu Qâ‘idah Fiqhiyyah:

اَلْيَقِينُ لاَ يُزَالُ بِالشَّكِّ

Ertinya: “Keyakinan tidak dihilangkan oleh syak.”

Ini bermaksud bahawa keyakinan adalah satu perkara yang tetap, manakala syak adalah satu perasaan yang mendatang. Maka sesuatu perkara itu dihukumkan mengikut apa yang tetap (yang diyakini) dan bukan yang disyaki.

Sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Abu Sa‘îd al-Khudriyyi Radhiallahu ‘anhu:

إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلاَتِهِ فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى؟ ثَلاَثًا أَمْ أَرْبَعًا؟ فَلْيَطْرَحِ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَا اسْتَيْقَنَ ، ثُمَّ يَسْجُدُ سَجْدَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يُسَلِّمَ. فَإِنْ كَانَ صَلَّى خَمْسًا ، شَفَعْنَ لَهُ صَلاَتَهُ. وَإِنْ كَانَ صَلَّى إِتْمَامًا ِلأَرْبَعٍ ، كَانَتَا تَرْغِيمًا لِلشَّيْطَانِ.
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Jika seseorang daripada kamu syak dalam sembahyangnya, lalu dia tidak tahu berapa raka‘at telah dilakukannya. Adakah tiga atau empat? Maka buanglah syak dan peganglah apa yang diyakini (buatlah jumlah raka‘at yang diyakini). Kemudian sujudlah dua kali sujud sebelum memberi salam. Jika dia telah melakukan lima raka‘at, maka ia (kedua sujud dan duduk antaranya) menggenapkan sembahyangnya. Jika dia telah melakukan sempurna empat raka‘at, kedua sujud itu sebagai satu tanda kehinaan bagi syaitan.”
(Hadis Riwayat Muslim)

sumber: Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam

Diambil dari :https://www.facebook.com/ustazazhar.idrus.7/posts/1876129095779746

Add Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.