Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
- Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.
- Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan.
- Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.
- Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.* [Baca keterangan di bawah]
httpv://youtu.be/YqRyhtn_5pk
Hukum memakai inai bagi wanita
Menurut ulama Mazhab Maliki dan Syafi’ei, wanita yang bersuami disunatkan memakai inai pada setiap masa kerana inai merupakan perhiasan dan keacntikan. Wanita yang bersuami sunat berhias untuk suami sepanjang masa.
Wanita yang tidak bersuami, ulamak mazhab Maliki berpendapat harus, manakala ulamak mazhab Syafi’ei berpendapat makruh kerana dibimbangi berlaku fitnah ke atas diri wanita itu dan orang lain.
Walaubagaimanapun, wanita yang hendak berihram haji atau umrah disunatkan memakai inai mengikut pendapat semua mazhab sama ada yang bersuami atau tidak.
Selain memakai inai di tangan, iaitu dari hujung jari hingga ke pergelangan, wanita juga harus memakai inai di tapak kaki mereka hingga ke buku lali khususnya wanita yang bersuami.
Hukum memakali inai bagi lelaki
httpv://youtu.be/ztseqHUv8Do
Fuqahak semua mazhab berpendapat haram bagi lelaki memakai inai di tangan atau di kaki kerana inai merupakan perhiasan bagi wanita. Lelaki tidak harus meniru wanita sama ada pakaian atau perhiasan sebagaimana sabda Nabi s.a.w. bermaksud:
“Allah laknat lelaki yang menyerupai atau meniru wanita dan wanita yang menyerupai atau meniru lelaki.”
Antara kata-kata fuqahak dalam masalah ini:
- “Adapun menginaikan dua tangan dan dua kaki, maka disunatkan bagi wanita yang bersuami kerana terdapat Hadis-hadis yang masyhur mengenainya. Dan perbuatan itu haram bagi lelaki kecuali kerana keperluan seperti berubat dan sebagainya…” Imam an-Nawawi di dalam kitab ‘Al-Majmuk”
- “Dan tidak harus menginaikan dua tangan kanak-kanak lelaki dan dua kakinya kecuali kerana ada keperluan untuk berbuat demikian, tetapi harus bagi wanita…” Al-Fatawa al-Hindiyyah. Dinyatakan di dalam fatwa tersebut tidak harus diinaikan tangan dan kaki kanak-kanak lelaki. Maka lelaki dewasa lebih-lebih lagi.
- “Adapun menginaikan dua tangan dan dua kaki, maka disunatkan untuk wanita dan diharamkan untuk lelaki kecuali untuk berubat…” ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud.
Kesimpulannya, inai adalah perhiasan wanita. Hukum memakainya adalah harus, sunat dan dalam keadaan tertentu makruh, iaitu bagi wanita yang tidak bersuami menurut pendapat fuqahak mazhab Syafi’ei. Bagi lelaki adalah haram kecuali dalam keadaan terpaksa seperti untuk berubat dan sebagainya.
Justeru, adat lelaki memakai inai ketika aqad nikah dan walimah adalah tidak selari dengan ajaran Islam dan mesti dihentikan.
*Ada sedikit percanggahan tentang hukum pemakaian inai bagi lelaki antara kenyataan yang dikeluarkan oleh majlis fatwa dengan keterangan di atas. Percanggahan pendapat adalah perkara biasa, bagaimanapun sebaiknya kita mengambil pendekatan untuk mengelakkan dari menggunakan inai kerana dikhuatiri ia adalah perhiasan wanita yang haram dipakai lelaki.