Sayangi Yang Muda Hormati Yang Tua
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا وَيَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَ عَنْ الْمُنْكَرِ
Daripada Ibnu Abbas RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah termasuk golongan kami, mereka yang tidak mengasihi orang yang lebih muda dan tidak pula menghormati orang yang lebih tua, serta tidak menyuruh yang makruf dan melarang yang mungkar.” (HR Tirmidzi No: 1844) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Antara adab seorang Muslim adalah mengasihi anak-anak kecil, orang yang lebih muda serta menghormati orang yang lebih tua.
2. Menyayangi dan berlemah lembut kepada orang yang lebih muda kerana mereka perlu dibimbing diatas kekurangan akal dan ilmunya.
3. Menghormati orang yang lebih tua daripada kita termasuk sunnah Nabi. Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ جِبْرِيلَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَنِي أَنْ أُكَبِّرَ
“Jibril telah menyuruhku untuk mendahulukan orang-orang yang lebih tua” (HR. Ahmad No:1555)
4. Keutamaan menghormati orang yang lebih tua termasuk dalam mengagungkan Allah. Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ مِنْ إِجْلَالِ اللَّهِ إِكْرَامَ ذِي الشَّيْبَةِ الْمُسْلِمِ
“Sesungguhnya termasuk mengagungkan Allah adalah menghormati orang muslim yang sudah tua” (HR Abu Daud No: 4203)
5. Dahulukan orang yang lebih tua dari kita. Malik bin Mighwal rahimahullah berkata:
كُنْتُ أَمْشِيْ مَعَ طَلْحَةَ بْنِ مُصَرِّفٍ فَصِرْنَا إِلَى مَضْيَقٍ فَتَقَدَّمَنِيْ ثُمَّ قَالَ لِيْ : لَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ أَنَّكَ أَكْبَرُ مِنِّيِ بِيَوْمٍ مَا تَقَدَّمْتُكَ
“Dahulu aku berjalan bersama Talhah bin Musharrif, sampailah kami ke sebuah jalan sempit, maka beliaupun mendahuluiku, seraya berkata kepadaku: Seandainya aku mengetahui bahawa engkau lebih tua satu hari daripada aku nescaya aku tidak akan mendahuluimu” (Diriwayatkan oleh Al-Khathiib Al Baghdaady dalam Al Jaami’ li Akhlaaqi Ar Raawii wa Aadaabi As Saami’, no: 249)
6. Menjadi tanggung jawab Muslim untuk mengajak orang lain kepada kebaikan dan melarang kemungkaran berlaku.
Berusahalah kita menyayangi orang yang lebih muda dan menyantuni serta menghormati orang yang lebih tua.