Home / Artikel Cahaya Islam / Memahami Uruf Emas

Memahami Uruf Emas

👉SAYA berasal dari negeri A dan mahu menunaikan zakat emas perhiasan di negeri B. Apa yang pelik, nilai berat uruf di antara kedua negeri tidak sama, dengan alasan urufnya berbeza. Jadi, apakah makna uruf sebenarnya dan apakah kepentingannya dalam zakat dan bagaimanakah ia diaplikasikan? Harap dapat penjelasan ustaz.
Jawapan:
Terima kasih kerana bertanya. Sememangnya amalan zakat di Malaysia khususnya dalam bab menunaikan zakat emas perhiasan ini agak berbeza dengan negara luar.
Hal ini tidaklah pelik, kerana jika kita mempelajari usul fiqh, perbezaan di antara adat dan budaya setempat boleh menyebabkan berlakunya perubahan dalam hukum-hukum tertentu.
Pastinya perubahan ini bertujuan untuk meraikan keperluan setempat dan inilah buktinya keanjalan atau fleksibeliti hukum fikah dalam Islam. Dalam kaedah fiqh, perkara ini dinamakan al-‘adatul muhakamah ataupun uruf.
Yakni, secara kasarnya dapat difahami, sesuatu hukum itu diputuskan berdasarkan adat kebiasaan setempat dengan syarat-syarat tertentu.
Namun begitu, keanjalan ini hakikatnya mestilah berada dalam ruang yang diizinkan oleh syarak dan ijtihadi sifatnya, yakni tidak bersifat qatie (yang sudah putus di dalam syarak).
Contoh lain yang lebih nyata ialah, di Malaysia adanya suatu peruntukan syarak dalam bab ‘harta sepencarian’ antara suami dan isteri yang tidak ada di negara lain, misalnya di negara Arab.
Baiklah, merujuk kepada persoalan di atas, memang antara negeri-negeri di Malaysia sendiri wujud perbezaan ini dan ia disandarkan kepada perbezaan uruf di antara negeri-negeri berkenaan.
Dalam bab pemakaian emas misalnya, secara umumnya kita sudah dapat melihat bahawa ada kaum wanita di negeri tertentu yang begitu suka memakai emas perhiasan. Sehingga ada dibuat jenaka bahawa mereka apabila berbual suka mengangkat dengan tinggi lengannya, untuk menunjukkan gelang-gelang emas yang banyak di tangannya.
Namun, ada juga kaum wanita khususnya yang lebih moden, hanya mengenakan perhiasan emas yang amat minimal di badannya. Mereka tidak gemar memakai emas yang besar dan berat, sesuai dengan cita rasa minimalis yang dibentuk hasil pendidikan dan sebagainya.
Maka, perbezaan inilah yang membentuk uruf atau ‘kadar perlepasan tertentu’ dalam pemakaian emas. Jika puan tinggal di negeri yang corak pemakaiannya sedikit, maka sudah pasti uruf dalam menentukan kewajipan zakat emas perhiasan berkenaan adalah rendah; misalnya 150 gram sudah wajib berzakat.
Namun, bagi mereka yang tinggal di negeri yang memang corak pemakaian emas perhiasannya lebih banyak, maka logiklah urufnya juga lebih tinggi, misalnya 850 gram emas baharulah wajib dizakatkan emas perhiasannya.
Apabila puan berhijrah dan tinggal di sesebuah negeri yang lain (seperti dalam kes di atas, dari negeri A ke negeri B), maka di sini puan sudah tertakluk kepada uruf di negeri B yang puan sedang diami.
Hal ini kerana, dalam pengamalan perkara yang zahir, setiap umat Islam tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama di negeri berkenaan. Ia demi memastikan timbulnya keselarasan dan dapat mengelakkan pertikaian.
Hal ini boleh disandarkan kepada kehendak Allah SWT bagi seseorang itu dalam mentaati pemerintah: Taatilah Allah, taatilah rasul dan pemerintah dalam kalangan kamu. (an-Nisa’: 59). Logiknya, masakan kita tinggal di negeri B; tetapi enggan mematuhi undang-undang di negeri berkenaan?
Di samping itu, keizinan Rasulullah SAW sendiri kepada Muadz bin Jabal r.a dalam memutuskan sesuatu hukum yang bersifat mendatang semasa mengutuskannya ke negeri Yaman, juga menjadi dalil bahawa umat Islam wajar mematuhi sesuatu keputusan yang akan ditetapkan oleh pemerintah, berdasarkan keperluan pada sesuatu keadaan dari semasa ke semasa.
cnp

About mai

Check Also

suami isteri akhir zaman…

Kita ni suami isteri akhir zaman… Bila disebut suami isteri akhir zaman, maka rumahtangga kita …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *