NOMBOR GILIRAN KITA AKAN TIBA 😢
Sorang-sorang pergi. Kita ni tuan-tuan ibarat tengah beratur dalam satu barisan. Panjang. Dalam barisan ni semua orang beratur.
Rebah direntap nyawanya oleh Malaikat maut. Kita ingat sahabat kita sorang ni yang sakit teruk kena Kanser tahap 4 dah sampai nombor giliran, rupanya kawan kita yang sihat-sihat belaka punya giliran dulu. Terlentang. Tiada lagi denyutan nadi.
Rahsia. Penuh rahsia.
Takkan ada satu pun yang boleh halang daripada tercabutnya nyawa dari badan. Apatah lagi cuba ubah nombor giliran kita sepanjang beratur di barisan ini.
Bayangkan nombor giliran ni kita yang ke 10,000,000. Setiap hari 150,200 nombor yang akan dipanggil. Kita tengok kawan kita nombor dia 419,700. Fuhh. Berpeluh dahi.
Tengok ibu kita punya nombor giliran 780,900. Meleleh air mata je hari-hari. Tak pergi kerja lah jawabnya. Hari-hari peluk ibu, minta ampun dengan ibu. Bengkak-bengkak mata menangis.
Ingat kau akan jumpa manusia yang sombong, yang berkira, yang bangga menghina dan gangster bagai? Takda. Semuanya pemurah, semuanya dermawan. Pemimpin akan jadi pemimpin yang sangat baik dan adil.
Semua orang tolak nak jadi pemimpin waktu tu, sibuk nak beramal. Yang daif, yang fakir, payah nak jumpa masa tu. Ada saja rezeki sampai. Politik pula takkan sehiruk pikuk hari ini. Golongan pentaksub tak akan seover hari ini yang rela menegak benang yang basah.
Kerana pendusta, pengkhianat, pembunuh, penyamun akan takut untuk hidup terus leka berselimuti segala kekotoran tu. Semuanya berubah bila mana Allah SWT bukakan hijab untuk kita dapat tengok nombor giliran kita.
Anak takkan ada masa nak derhaka pada ibu ayah. Ayah dan ibu tak akan leka ghairah mencari rezeki dan biarkan anak-anak sendirian.
Cikgu-cikgu akan pastikan anak-anak murid terima ilmu yang bermanfaat. Ibu ayah akan ambik berat hal anak-anak yang sibuk dengan seksualiti di Tik Tok. Berubah. Percayalah. Semuanya berubah. Bangsa sombong akan jadi bangsa ambil tahu.
Gaduh pasal tanah pusaka? Takda maknanya. Yang hak, semua dibahagi sama rata.
Tak dengar dah agamawan sembang jalan diorang paling benar berbanding orang lain. Semua cari kebaikan takda masa nak bergaduh nak perasan paling benar.
Semoga semua keluarga, sahabat handai yang telah pergi, diberikan kedudukan yang baik di sisi-Nya. Giliran kita akan tiba jua. Entah kita pegang nombor berapa.
Otak kita ni dah di set tuan-tuan. Mati bagi kita selalu bila dah tua sangat, eksiden, kena kanser. Tu je lah dalam kepala otak kita. Kita rasa kalau kita jaga kesihatan betul-betul, jauh dah sikit kita daripada mati. Kalau kita bawa kereta betul-betul, terhindar kita dari mati eksiden.
Tuan-tuan, sihat macam mana pun. Elok macam mana pun kita bawa kereta. Nombor giliran kita dah tertulis siap. Sungguh, dah tertulis. Tau-tau esok badan kaku, terbaring. Nombor giliran dah lagi berapa minit nak tiba.
Tunggu nyawa direntap oleh Si Bengis, Malaikat Maut. Huru hara anak beranak, keluarga dan sahabat handai dapat tau. Semuanya menangis, terkejut. Tak sangka.
Bayangkan masa nyawa dah dicabut tu, kita nampak jasad kita terbaring kaku. Semua orang menangis sebelah jasad kita. Isteri, anak-anak, adik beradik.
Semalam kita baru je berzina dengan tah betina mabuk mana, semalam kita baru je rembat duit orang, semalam baru kita hina orang yang minta sedekah, semalam baru je kita permainkan Ayat Al-Quran untuk tutup keaiban kita.
Semalam baru kita nafikan duit nafkah anak-anak, semalam baru je kita balik daripada Umrah tapi anak bini terabai hak dinafikan.
Boleh gila, tuan-tuan. Boleh gila.
kredit :
Hamba Insan Kerdil,
Tuan Amir Danau