Home / Perkahwinan & Keluarga / Salahkah Jika Wanita Meminang & Menawar Diri Kepada Lelaki?

Salahkah Jika Wanita Meminang & Menawar Diri Kepada Lelaki?

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa telah bersabda baginda rasulullah salallahualaihiwasalam :

“Jika datang kepada kamu seorang lelaki yang engkau redhai agamanya dan akhlaknya untuk meminang perempuan kamu maka nikahkanlah dia jika tidak kamu lakukan demikian maka akan timbullah fitnah dan kerosakan”. (hadith hasan riwayat Tirmidzi no 1084).

Perbuatan menawarkan diri kepada lelaki yang soleh dan beragama bukanlah sesuatu yang aib dan memalukan sebaliknya merupakan sunnah dan kebaikan ini berdalilkan kepada hadith dari Anas ra yang berkata telah datang seorang wanita kepada baginda rasulullah salallahualaihiwasalam dan menawarkan dirinya kepada baginda dengan berkata:

“Wahai rasulullah apakah engkau berhajat kepada aku?” lalu ketika menceritakan hadith ini maka menyampuklah anak perempuan Anas ra dengan mengatakan sungguh kurang malu perempuan itu dan buruk akhlaknya, lalu dijawab oleh Anas ra : “Sesungguhnya dia itu (perempuan yang menawar diri) lebih mulia dan baik darimu kerana dia mencintai nabi salallahualaihiwasalam dan menawar dirinya demi kebaikan”.  (lihat hadith sahih dalam riwayat Bukhari no 5120 , Nasaie dan Ibn Majah).

Hadith di atas tidaklah hanya mengkhususkan kepada baginda rasul sahaja bahkan ianya menjadi contoh teladan kepada semua wanita muslimah dan dibolehkan mereka menawarkan diri mereka kepada semua lelaki soleh muslim yang mukmin kerana apa yang terjadi kepada rasul selagi tidak dikhususkan maka ianya merupakan perbuatan sunnah yang umum.

“Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan banyak mengingati Allah.” (Surah Al-Ahzab : 21).

 Adapun menjawab ayat al-Qur’an yang menyebut kekhususan hanya untuk nabi seperti:

“Dan perempuan mukminah yang menghadiahkan dirinya kepada rasul jika rasul suka mengahwininya; sebagai perkainan hanya khusus bagi kamu dan bukan untuk orang yang beriman yang lain ” (Al-Ahzab : 50).

Dimaksudkan pengkhususan di sini ialah dalam masalah maskahwin iaitu dikhususkan untuk rasulullah bernikah dengan perempuan yang menghadiahkan dirinya kepada baginda nabi tanpa perlu baginda membayar maskahwin sedangkan bagi umat Islam yang lain diwajibkan membayar maskahwin namun untuk nabi diberi pengecualian (lihat Tafsir Al-Qur’anul Azim oleh Ibn Katsir ra m/s 124 Jilid 3).

Sebagai kesimpulan adalah menjadi sunat dan galakkan kepada wanita muslimah bagi menawarkan diri mereka kepada lelaki yang soleh dan beragama jika benar lelaki tersebut dilihat dapat membimbing diri mereka dan memandu mereka ke jalan yang benar.

Malu itu sebahagian dari iman seperti yang disebut dalam hadith Ibu Umar ra bahawa baginda rasul menyebut:

“Sesungguhnya malu itu sebahagian dari iman” (hadith sahih riwayat Bukhari no 24 dan Muslim no. 36, Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie dan Ibn Majah).

Begitu juga dalam hadith yang lain baginda mengatakan:

“Sesungguhnya tidaklah datang malu melainkan membawa kebaikan” (hadith sahih riwayat Bukhari no 6117 dan Muslim no 37).

Meskipun wanita Islam yang muslimah dan solehah itu akan mempunyai rasa malu, sifat malu itu merupakan perhiasan namun tidaklah patut malu itu menahan dari tercapainya kebaikan dan terlaksananya fitrah dan amal ibadah kerana golongan yang beriman dan solehah itu antara ciri-ciri mereka ialah bersegera kepada kebaikan dan kebajikan.

“Dan bersegeralah kamu (berlumbalah) dalam kebaikan” (Al-Maidah : 48).

Bagi mereka yang merasa malu dan segan menawarkan diri secara berdepan mereka boleh menggunakan bahasa lapik atau perumpamaan, sindiran, kiasan atau mengunakan orang tengah dan perantara sebagai menyampai pesanan dan hasrat .

Berkata Ibn Hisyam ra dalam mengisahkan teladan Khadijah ra dalam menawarkan dirinya kepada rasulullah dengan mengutuskan perantara (orang tengah) bagi menyampaikan hajatnya kepada Rasulullah dengan menyampaikan pesanan Khadijah ra:

“Wahai anak saudara pak cikku, sesungguhnya aku telah tertarik kepadamu dalam kekeluargaanmu dan sikap amanahmu dan kebaikan akhlakmu dan benarnya kata-katamu….”  (lihat Sirah Nabawiyah oleh Muhammad Abd Malik Ibn Hisyam m/s 122 Jilid 1).

Siapakah wanita Islam yang lebih baik dari Khadijah ra? Wanita pertama Islam, serikandi utama dan mulia yang disebut dalam hadith yang sahih dari riwayat Ummul Mukminah Aisyah ra dengan katanya:

Aku tidak pernah mencemburui mana-mana isteri nabi melainkan Khadijah walaupun aku tidak pernah menjumpainya lalu beliau menceritakan: Sesungguhnya rasulullah apabila menyembelih kambing akan berkata:

“Hantarkanlah sebahagian daging ini kepada sahabat Khadijah” lalu berkata Aisyah dengan marah pada suatu hari: Khadijah ? (iaitu seperti mempersoalkan kenapa Khadijah) lalu dibalas oleh baginda rasulullah:

“Sesungguhnya aku diberi rezeki oleh Allah untuk mencintainya”.  (hadith sahih riwayat Muslim no. 134 Jilid 7 dalam kitab Al-Minhaj).

Ummul Mukminah Khadijah ra yang kini di jannah merupakan wanita pertama dan mulia yang menawarkan dirinya kepada baginda demi mencari kebaikan dan kebajikan.

“Tidaklah kami tertinggalkan sesuatu perkara pun dalam kitab melainkan telah kami terangkan segalanya”  (Surah Al-An’am : 38).

Islam adalah agama yang syumul. Hiduplah dibawah panduan syariat semoga bermanfaat di dunia dan akhirat. InshaAllah.

Waallahualam.

Oleh Ustaz Emran Ahmad.

Sedikit Ulasan Dari Ustaz Azhar Idrus:

httpv://youtu.be/IDjqe65xDSc

About wanwma

Check Also

suami isteri akhir zaman…

Kita ni suami isteri akhir zaman… Bila disebut suami isteri akhir zaman, maka rumahtangga kita …

No comments

  1. Salam…ni ceramah yg kat Manjoi tu kan…best sgt…

  2. salam,
    dalam masyarakat kita perkara wanita meminang dan tawar diri walaupun ada tapi memang jarang berlaku. apa yg dikhuatirkan oleh kebanyakan wanita ialah kalau2 tawaran mereka ditolak, pada lelaki pula, bila ada wanita yg offer, mereka akan rasa seolah-olah maruah meraka jatuh. yalah, lelaki kan ego..
    just my point of view…

  3. ha..bagus tu. bagus tu..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *