Jumaat 10 Julai 2020, Mahkamah Turki telah membatalkan perintah atau dekri Kerajaan Turki pada tahun 1934 yang menukar Hagia Sofia daripada sebuah masjid kepada muzium serta mengisytiharkan dekri tersebut sebagai tidak sah.
Keputusan Mahkamah Turki tersebut membuka jalan kepada Hagia Sofia untuk dibuka semula sebagai masjid dan menjadi mercu tanda umat Islam di Turki setelah lebih 85 tahun dijadikan muzium.
Sejam selepas keputusan tersebut, Presiden Turki Recep Tayyep Edrogan mengisytiharkan bahawa Hagia Sofia dibuka kepada umat Islam untuk beribadat dan pengurusan Hagia Sofia diserahkan kembali kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam.
Hagia Sofia asalnya adalah salah sebuah gereja terbesar di dunia yang dibina pada kurun ke 6 masehi oleh Empayar Byzantine. Selepas hampir 916 tahun menjadi gereja, Hagia Sofia dijadi masjid apabila Sultan Mehmet II, sultan ketujuh dalam Kesultanan Othmaniyyah menakluk Istanbul pada 29 Mei 1453.
Setelah kejatuhan Kesultanan Othmaniyyah dan Turki dijadikan sebuah republik pada 1923, sejarah Hagia Sofia sebagai sebuah masjid telah mula berubah. Setelah melalui beberapa proses pemulihan yang memakan masa beberapa tahun, pada tahun 1934 di atas keputusan kabinet Republik Turki yang diketuai oleh Mustafa Kemal Atartuk, Hagia Sofia telah dijadikan sebuah muzium.
Semoga dengan keputusan tersebut dan pembukaan semula Hagia Sofia sebagai sebuah masjid, mudah – mudahan Islam kembali menjadi sinar keagungan dan kebanggaan umat Islam di Turki. Moga Allah SWT memberkati dan merahmati Turki dan rakyatnya.