Breaking News
Home / Artikel Cahaya Islam / TEMPOH SUCI ANTARA DUA HAID

TEMPOH SUCI ANTARA DUA HAID

Soalan:

Assalamualaikum. Saya keliru menentukan tempoh antara darah istihadah dan darah haid. Bagaimana pula untuk mengetahui kiraan haid seterusnya setelah keluar istihadah? Mohon pencerahan ustaz. Terima Kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW

Sebagai mukadimah kami kemukakan  maksud haid dan istihadah menurut syarak untuk merungkaikan kekeliruan diantara darah haid dan darah istihadah:

Haid dari segi istilah syarak ialah darah tabi’i yang keluar daripada pangkal rahim perempuan ketika badannya sihat dalam tempoh tertentu.[ al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami 1:118 ]

Sementara istihadah menurut syarak ialah darah penyakit wanita yang keluar daripada hujung urat yang berada di bawah rahim yang dikenali sebagai ( العاذل) selepas tempoh sebanyak-banyak haid atau selepas tempoh sebanyak-banyak nifas atau darah keluar berterusan selepas hari kebiasaan haid. [al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami 1:126] Seterusnya, ciri-ciri istihadah ialah:

  • Keluar darah sebanyak 2 kali yang diselangi oleh tempoh suci yang kurang 15 hari
  • Keluar darah selepas tempoh sebanyak-banyak haid 15 hari
  • Keluar darah kurang daripada 24 jam
  • Keluar darah sebelum umur 9 tahun
  • Keluar darah selepas tempoh 60 hari nifas

Daripada pengertian istihadah serta ciri-cirinya, dapat disimpulkan bahawa istihadah ialah darah yang keluar bukan waktu kebiasaan haid mahupun nifas atau dengan kata lain pada tempoh suci.

Seterusnya, merujuk kepada persoalan kiraan haid seterusnya, kami akan menjelaskan kaedah kiraan tempoh suci. Hal ini bagi mengetahui hari-hari yang menjarakkan diantara satu haid dengan haid seterusnya. Berikut kaedah kiraan suci antara dua haid:

  • Tempoh paling minimum suci ialah 15 hari أقل الطهر)). Ketentuan ini di ukur daripada tempoh tempoh sebanyak -banyak darah haid iaitu 15 hari ( أكثر الحيض). Ini berdasarkan kajian (istiqra’) daripada Imam Syafie.
  • Tempoh suci kebiasaan majoriti wanita adalah 23 hari (الطهر غالب). Ketentuan tempoh suci kebiasaan berdasarkan haid yang yang kebiasaan datang selama 7 hari (غالب الحيض )
  • Tempoh maksimum suci tiada had kerana kadang-kadang ada wanita yang haidnya dalam sebulan hanya sehari semalam sahaja iaitu 24 jam dan ada juga sekali dalam enam bulan.
[Rujuk  Izalatul Iltibas Syarah Tuhfah al-A`izza’ ].

             Kiraan tempoh suci antara dua haid

kedua

 

Sebagai contoh: Wanita (A) mendapati darah haid keluar pada 1-12 ogos iaitu selama 12 hari. Kemudian selepas seminggu, darah keluar pada 19 ogos. Maka darah tersebut adalah darah istihadah. Hal ini kerana darah keluar pada waktu tempoh minimum suci 15 hari selepas haid. Maka, wajib menunaikan solat fardu dengan memakai tuala wanita selepas mencuci alat sulit, kemudian mengambil wudhuk pada setiap fardu tanpa perlu mandi wajib. Namun apabila sudah masuk 29 ogos iaitu sudah tamat waktu sekurang-kurang suci iaitu 15 hari selepas hari terakhir tempoh haid. Maka kitaran haid  sudah dianggap bermula semula sekiranya pada 29 ogos terdapat darah yang keluar. Oleh itu, darah tersebut adalah permulaan kiraaan haid baru. Berikut jadual kiraan bagi situasi wanita (A) tersebut:

Haid pertama Minimum 15 hari suci Haid kedua
1-12 ogos 13-28 ogos 29 ogos
Haid selama 12 hari Darah keluar pada 19 ogos adalah istihadah Bermula kiraan haid baru sekiranya keluar darah

Bacaan lanjut berkaitan warna darah istihadah boleh baca pada ruangan al-Kafi #685 Darah Istihadah Mengikut Tamyiz Atau Adat? http://bit.ly/2PaOId6

Secara konklusinya, kaedah kiraan tempoh suci antara dua haid sangat penting bagi membezakan darah yang keluar dalam tempoh haid mahupun darah istihadah yang keluar pada tempoh suci. Tambahan pula, hukum wanita dalam istihadah (mustahadah) dianggap wanita suci dan boleh melaksanakan ibadah seperti solat, puasa, iktikaf dan membaca al-Quran. Akhir kata, semoga panduan kiraan tempoh tersebut dapat memberi manfaat kepada semua dan marilah berdoa agar  kita diberikan kefahaman yang baik dalam beragama. Ameen

cnp :https://muftiwp.gov.my/

About mai

Check Also

TOLONGLAH TANYA AKU DI MANA, KAWAN.. Mengunjungi seorang kawan yang sedang kritikal sakit, dia menggenggam …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *