JENAMA Ana Muslim bagi muslim dan muslimah di negara ini sebenarnya sudah sinonim. Ana Muslim yang diterajui oleh Blue-T Communications Sdn. Bhd. merupakan antara pengeluar majalah, pakaian, cenderamata, multimedia, produk alat tulis dan variasi buku berkonsepkan keislaman. Seperti kata Pengarah Urusannya, Othman Mohamed: “Memulakan sesuatu perkara mestilah atas matlamat yang baik dan mampu memberi manfaat kepada semua muslimin.
“Justeru, saya dan isteri punya harapan untuk mendidik masyarakat terutamanya di kawasan urban menjadi lebih baik melalui jenama Ana Muslim.”
Pada satu pertemuan di pejabatnya di Desa Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini, Othman dan isterinya, Saadah Taib yang bertindak sebagai Pengarah Blue-T Communications, berkongsi tentang titik mula mereka berdua mengorak langkah dalam memulakan perniagaan berteraskan Islamik itu. Beritahu graduan Ijazah Kejuruteraan (Fiber) di Southwest Louisiana University, Amerika Syarikat (AS), segalanya bermula dengan perniagaan menjual buku teks pengajian di sekolah-sekolah pada tahun 2003.
“Kemudian, kita kembangkan dengan memasarkan alat-alat tulis diikuti dengan cenderamata dan buku-buku nota. Alhamdulillah, respons yang diterima daripada golongan sasaran sangat memberangsangkan,” katanya.
Meskipun, pasaran kepada orang Islam yang mungkin dilihat mengecilkan skop pasaran namun, momentum bisnes mereka menunjukkan sisi positif. Tanda arasnya dapat ditunjukkan melalui bilangan pekerjanya yang dahulunya cuma seorang, kini meningkat kepada 60 orang.
Majalah animasi
Bergerak dengan label Islamik tidka bermakna Ana Muslim boleh dipandang enteng. Produk keluaran mereka sememangnya berkualiti. Ia juga mengikut dan menepati selera masyarakat era milenium ini. Namun, paling mencuri tumpuan ialah penghasilan majalahnya.
“Selama ini kita hanya mengenali cerita-cerita klasik Inggeris seperti Sleeping Beauty, Snow White dan Cinderella. Jadi, saya terfikir untuk mewujudkan karakter animasi sendiri, jadi timbullah idea mencipta karakter menggunakan perkataan Muslim,” beritahu Saadah.
Secara keseluruhannya, terdapat tiga majalah berbeza mengikut peringkat umur dan diterbitkan sebulan sekali. Majalah yang bernama Ana Muslim dikhususkan kepada pelajar yang berumur bawah 14 tahun. Adik Muslim yang menggunakan tagline Mencorak Peribadi Mulia yang baharu dilancarkan pada tahun lalu pula adalah bacaan untuk kanak-kanak berumur tujuh hingga sembilan tahun.
Untuk bacaan yang lebih ringan dan dalam usaha membentuk identiti, karakter dan membantu perkembangan minda golongan yang berusia empat hingga enam tahun, majalah yang dinamakan Sayang Muslim diterbitkan. Sesungguhnya, pengisian ketiga-tiga majalah itu sangat menarik. Selain menampilkan animasi dan karakter kartun menggunakan wajah dan imej Islam yang sopan, isi kandungan yang ditampilkan juga sangat membina.
Ini kerana pada setiap keluaran ketiga-tiga majalah menyajikan bahan-bahan bacaan seperti cerita-cerita yang dipetik daripada sumber al-Quran, membentuk peribadi mulia, mengingatkan tentang solat serta turut menyelitkan elemen-elemen tambahan yang boleh menyuntik semangat membaca dalam kalangan pembaca. Ternyata, pendekatan yang dibawa oleh semua majalah itu cepat menangkap hati keluarga-keluarga di luar sana.
Buktinya, untuk majalah Ana Muslim, jualannya mencecah 60,000 unit setiap bulan. Bagi Sayang Muslim pula sebanyak 40,000 naskhah, manakala kira-kira 25,000 naskhah bagi Adik Muslim.
Busana
Segmen bukunya juga tidak kurang hebatnya. Blue T-Communications tampil dengan terbitan sirinya seperti Siri Pengembaraan Aktif, Ana Solehah (novel), novel motivasi seperti Yakin Boleh!, Percayalah, Aku Dah Insaf, siri bacaan Ana Muslim, novel motivasi Ana Muslim, siri Saya Sudah Pandai, Things That Girls Do dan banyak lagi.
Tidak melantik mana-mana agensi untuk menyediakan jalan cerita kepada setiap bahan ilmiah sebaliknya ia dijana oleh Saadah dan pasukan khas yang sentiasa menggembeling idea bersama setiap masa.
“Kita punya pakar grafik dan pelukis ilustrasi yang bertanggungjawab menghasilkan buku dan majalah kita setiap bulan,” kata Saadah mengulas lanjut.
Selain itu, syarikat tersebut juga ujarnya, turut menjual dan mengimport buku-buku berbentuk keagamaan dari organisasi luar dan dalam negara. Antaranya seperti Doa-Doa Syifa, Sebelum Anak Kita Durhaka, Aku Mencintai-Mu Allah, Memimpin Belia Islam: Menangani Globalisasi & Hegemoni dan Surah-surah Pilihan, Business Communications.
Untuk menyemarakkan budaya membaca, syarikat itu menubuhkan Kelab Sahabat Ana Muslim yang menjemput pembaca setia untuk menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan. Setakat ini terdapat lebih 3,000 ahli yang berjaya dikumpul dan aktiviti seperti Khemah Ibadah, Hari Keluarga dan Kem Motivasi pernah diadakan bagi meraikan ahli.
Blue T-Communications turut mempelbagaikan produk mereka di bawah label Ana Muslim. Saadah memberitahu, selain mereka mempunyai lagu tema mereka sendiri, segmen busana kanak-kanak perempuan antara material yang paling laris di pasaran.
T-Shirt yang berlatar belakangkan karakter kartun Ana Muslim, sopan, menutup aurat ditambah dengan padanan rona warna yang menonjol seperti merah jambu, merah, oren, hijau dan banyak lagi ternyata menarik perhatian kumpulan sasar.Terdapat juga produk sampingan lain seperti topi, buku nota, beg kertas, cawan, kotak pensil, pensil, beg, rantai kunci, lencana butang dan banyak lagi. Sementara itu, dalam segmen multimedia pula, syarikat bumiputera tersebut mempunyai produksi sendiri.
Percubaan pertama mereka ialah dengan menerbitkan Nasyid Animasi Ana Muslim (memuatkan 16 doa dan empat lagu) pada tahun 2008. Tahun berikutnya, syarikat itu menghasilkan iklan televisyen Ana Muslim berdurasi 15 saat yang disiarkan di TV9. Selepas menerima sambutan yang menggalakkan, Nasyid Animasi: Al-Quran Volume 1 yang memuatkan tujuh lagu telah dihasilkan. Kemudian, ia diikuti dengan Nasyid Animasi: Al-Quran Volume 2 dan Volume 3. Siri dua dan tiga lebih istimewa apabila turut menjemput kumpulan nasyid Raihan untuk menyanyi bersama.
Utusan.
macam mana nak jadi member club ??
cmne nak jadi member club?