Home / Artikel Cahaya Islam / Disinari Cahaya Islam di Penjara Guantanamo

Disinari Cahaya Islam di Penjara Guantanamo

Siapa yang tidak tahu dengan Teluk Guantanamo? Penjara yang sangat mengerikan dengan penjagaan sangat ketat dan terkawal di Cuba itu biasa didedikasikan kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk memenjarakan para tokoh yang dianggap sebagai teroris. Sebahagian besar tahanan berasal dari Iraq dan Afghanistan. Kisah penyeksaan dan penghinaan terhadap Al-Quran pernah ‘menghiasi’ penjara ini.

Dunia turut memandang dengan reaksi negatif keberadaan penjara Guantanamo. Tuntutan untuk menutup penjara tersebut mengalir deras terhadap kerajaan AS. Presiden AS, Barrack Obama pun menyambut baik tuntutan tersebut dengan merancang menutup penjara tersebut.

Lain pula bagi Terry Holdbrooks, Guantanamo menjadi bahagian hidup yang sangat bermakna bagi dirinya. Kehidupan para tahanan dalam penjara tersebut memberi pengaruh besar dalam hidup Terry yang pada mulanya hidup terumbang-ambing yang mana kedua orang ibu bapanya berpisah ketika usianya 7 tahun.

Membesar di Arizona, beliau sama sekali tidak pernah mendengar soal Islam. Apalagi  tidak pernah faham akan kewujudan Tuhan. Kehidupan junkies, membawanya pada dunia penuh maksiat. Di usia dewasa, beliau cuba memohon kerja sebagai tentera. Yang mana kemudiannya, diterima sebagai staf di ketenteraan polis hingga akhirnya ditugaskan ke Guantanamo pada tahun 2003. Ketika itu, beliau baru berusia 19 tahun. Penempatan itu beliau terima begitu saja. Satu hal yang saat itu dia fahami, Guantanamo adalah penjara untuk manusia ‘paling buruk di antara yang terburuk.’

Sebagaimana yang diceritakan, beliau menyaksikan rakaman video peristiwa 11 September dan ketika menerima perintah ke Guantanamo, beliau merasakan bakal bertemu dengan orang-orang yang AS anggap sebagai musuh selain memikirkan di sana ada pemandu Osama Ben Laden, juru masaknya, dan orang-orang yang akan membunuh beliau jika mereka berkesempatan.

Sampai sahaja di Guantanamo, segumpal pertanyaan pun muncul. Ketika itu, buat pertama kalinya bertemu dengan seorang tahanan yang usianya baru 16 tahun yang menyuarakan bahawa sama sekali belum pernah melihat laut dan dia menyatakan tidak mengetahui bahawa bumi itu bulat. Terry pun bertanya-tanya soal kemungkinan anak itu mengetahui rencana dunia gagasan pemerintah AS bernama war on terror (gerakan global memerangi terorisme).

Ketika itu, Terry bertugas membersihkan lingkungan, mengumpulkan sampah, membangunkan para tahanan, juga mengawal para tahanan dan pekerjaan itu memungkinkannya untuk berinteraksi terus dengan para tahanan di penjara Guantanamo. Dari situlah bermulanya, cahaya Islam memancar ke dalam jiwa Terry. Ketika para penjaga yang lain menyibukkan diri dengan alkohol dan gambar porno, Terry banyak memanfaatkan waktu untuk berinteraksi dengan mereka  yang selama ini dianggap oleh pemerintah AS sebagai teroris.

Modal senyum membuatnya cepat ramah dengan ‘warga’ Guantanamo. Beliau pun dikenal sebagai penjaga yang baik. Beliau mula membicarakan soal latar belakang politik, etnik, moral, juga budaya mereka dan hasil diskusi itu memberinya banyak pencerahan. Dari para tahanan inilah, beliau kemudian mulai mendapatkan informasi tentang Islam.

Hal ini membuatkan beliau mengalami kejutan budaya mengingatkan sebelumnya beliau sama sekali tidak pernah mendengar tentang Islam sehingga dewasa dan Terry juga berfahaman tidak bertuhan.

Sampailah pada suatu petang, 29 Disember 2003, beliau mengakhiri kejutan budayanya itu dengan keputusan yang sangat mengesankan. Beliau memutuskan untuk mengucap syahadah dan kembali kepada Islam. Seorang tahanan yang menjadi mentornya memimpin upacara sederhana pengucapan syahadahnya. Lantas beliau meninggalkan segala jenis maksiat, termasuk kebiasaannya mengambil minuman keras.

Baginya sesuatu itu tidak mudah buatnya apalagi untuk menjalankan solat lima waktu ketika di Guantanamo. Namun, hal itu tidak membuatnya menyerah akan tetapi bertambah mantap untuk tetap berada dalam Islam. Terry merasa seperti lahir kembali, setelah mengucap syahadah. Seusai mengucap syahadah, beliau pun menukar namanya menjadi Mustafa Abdullah.

Pada musim panas tahun 2004, beliau merasa tidak sesuai lagi berada di Guantanamo lalu meninggalkan tempat kerjanya dan keluar dari ketenteraan. Selama menjadi penjaga tahanan, beliau mengaku merasa malu. Walaupun tubuhnya berada di balik jeriji besi, akan tetapi sebenarnya para tahanan itu jiwanya jauh lebih merdeka. Sementara dirinya yang secara fiziknya bebas namun jiwanya terikat dengan aturan ketenteraan hinggakan beliau memilih keluar agar lebih mantap dan istiqamah menjalankan ajaran-ajaran Islam.

.

.

via: MalaysiaHarmoni.

About wanwma

Check Also

Halal, Haram dan Syubhah

Halal Haram dan Syubhat   عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا …

2 comments

  1. Masya Allah… sungguh indah kebesaran-Nya…

  2. alhamdulillah. bertambah lagi rakan kita. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *