Home / Artikel Cahaya Islam / Dosa Hati Ramai Yang Tidak Sangka Ia Adalah Dosa

Dosa Hati Ramai Yang Tidak Sangka Ia Adalah Dosa

Apabila seseorang melakukan dosa seperti berzina, minum arak, khianat, berbohong, mencuri, meninggalkan solat, tidak berpuasa, menyakiti hati orang lain dan seumpamanya, mudah untuk mereka dan orang yang melihat merasakan bahawa perkara yang dilakukan itu adalah satu dosa. Keadaan itu menyedarkan mereka bahawa diri mereka penuh kekurangan, penuh dosa dan kesalahan yang perlu diperbaiki. Bertaubat dan mohon keampunan.

Bagi mereka yang bertaubat, Allah membuka seluas-luas pintu pengampunan untuknya. Daripada Anas bin Malik r.a. berkata, bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, bahawa Allah SWT berfirman:

“Wahai anak Adam, selagi engkau meminta dan berharap kepada-Ku maka Aku mengampuni segala dosamu yang telah lalu, dan Aku tidak akan mempedulikannya. Wahai anak Adam, jika dosamu sampai setinggi langit lalu engkau minta ampun kepada-Ku nescaya Kuampuni. Wahai anak Adam, jika engkau datang kepada-Ku dengan kesalahan seluas permukaan bumi lalu engkau menemui-Ku tanpa menyekutukan sesuatu pun dengan-Ku, nescaya Aku datang padamu dengan ampunan seluas bumi pula.” 

(Riwayat al-Tirmizi no: 3534 dan al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah).

Namun bagaimana pula dengan orang yang tidak menyedari bahawa dirinya sedang melakukan dosa? Mungkinkan mereka akan bertaubat? Mungkinkah mereka akan insaf? Kenapa mereka tidak sedar mereka melakukan dosa?

Jawapannya kerana dosa ini tidak terlihat pada zahir perbuatannya. Tetapi terpendam kukuh di dalam hati. Mereka tidak kelihatan jahat, mereka tidak melakukan dosa dengan amalan dan tidak pula kelihatan sebagai orang jahat sebaliknya ada di antara mereka kelihatan begitu alim.

Apakah dosa-dosa ini? Ia adalah perasaan riyak, sombong, suka dipuji, ujub, ingin nama, tidak terasa membuat dosa. Tidak menolong orang susah, gembira dengan kesusahan orang lain, tidak bertimbang rasa, mengutamakan diri, tamak, bakhil, tidak mesra dengan orang, tidak tawakkal, tidak sabar, tidak malu dengan Allah, tiada belas kasihan dan seumpamanya. Semua sikap ini berada dalam kemurkaan Allah.

Sabda Rasulullah:

“Ketahuilah di dalam jasad itu ada segumpal daging, apabila dia baik maka baiklah seluruh jasad, dan apabila dia buruk maka buruklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa itu adalah hati.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim, dari Nu’man bin Basyir)

Ramai dikalangan orang yang kelihatan baik, bagus amalannya, baik gaya pemakaiannya dan sempurna zahirnya. Namun siapa tahu hatinya riyak, merasa ujub dengan diri sendiri dan seumpamanya. Dengan semua perasaan itu maka sia-sialah segala amalannya.

Usah menunding jari berfikir dan bersangka-sangka tentang orang lain, kenyataan ini digarap untuk renungan kita terhadap diri sendiri. Kita tahu tentang hati sendiri dan mustahil mengetahui tentang hati orang lain. Hati orang biarkan mereka dengan Allah. Yang wajib diperbetulkan adalah hati kita sendiri.

Oleh itu, perlulah kita sentiasa rasa berdosa dengan kelalaian hati kita meskipun kita mungkin tidak melakukan dosa-dosa yang jelas secara zahir. Rasa berdosa, rasa bersalah, rasa kurang, rasa hina, lemah, jahil dan bergantung kepada Allah semata-mata adalah kunci untuk menutup ruang hitam yang akan mencemarkan kesucian hati kita.

Semoga dengan peringatan kecl ini kita dapat menegur dan menasihati hati kita untuk kembali sujud kepada Allah.

InsyaAllah…

Wallahualam…

About wanwma

Check Also

Halal, Haram dan Syubhah

Halal Haram dan Syubhat   عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *