Home / Artikel Cahaya Islam / Memetik Madah Dakwah Di Taman Syurga

Memetik Madah Dakwah Di Taman Syurga

Ramai orang bertanya, bagaimana mahu menulis sesuatu yang berfaedah, berfikir tentang idea-idea dakwah untuk dikongsikan dalam blog, Facebook, Twitter dan sebagainya?

Jawapannya ialah dengan ilmu. Kita tidak perlu tunggu sehingga menjadi seorang yang alim, menjadi ustaz atau seorang ulama untuk mula menyampaikan dakwah. Namun kita perlu berhati-hati menyebarkan dakwah supaya ia tidak bertentangan dengan syariat Islam. Maka petiklah ilmu-ilmu dakwah itu dari orang yang lebih alim di taman Syurga.

Apa itu Taman Syurga?

Dari Anas bin Malik radhiyallohu ‘anhu bahawa Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam bersabda, “Jika kalian melewati taman-taman syurga maka singgahlah dengan senang.” Para sahabat bertanya, “Apakah taman-taman syurga itu?” Baginda  menjawab, “Halaqah-halaqah zikir.” (HR. at-Tirmidzi)

Para ulama menyebut Halaqah zikir itu adalah tempat-tempat di mana berkumpulnya orang-orang yang menyebut nama Allah, berzikir, membaca Al-Quran dan majlis-majlis ilmu. Biasanya adalah di rumah Allah iaitu masjid dan tempat ibadah seperti surau dan sebagainya. 

Gerakkanlah tulang empat kerat kita yang masih punya kudrat ini untuk menghadiri ceramah agama, kuliah, tazkirah dan seumpamanya. Ia bukan sekadar majlis ilmu, tetapi ia adalah taman Syurga di mana kita boleh petik madah-madah dakwah di sana dan hadiahkan kepada orang lain pula di luar sana.

Taburkan Benih Dakwah Untuk Memetiknya Di Syurga

Tidak akan masuk seseorang manusia itu ke dalam Syurga melainkan dengan kehendak Allah.

Tidak akan Allah masukkan seseorang ke dalam ke dalam Syurga tanpa pahala.

Tidak akan seseorang itu mendapat pahala andainya dia tidak melakukan kebaikan sepanjang hidupnya. 

Tidak mendapat pahala seseorang yang telah mati melainkan 3 perkara iaitu anak yang soleh, sedekah dan ilmu berguna yang diamalkan oleh orang yang hidup.

Maka petiklah ilmu yang terdapat di taman-taman syurga dan sampaikanlah ia kepada orang lain. Sesungguhnya bagi setiap orang yang mendapat ilmu itu, Allah akan kurniakan ganjaran pahala yang besar buat kita.  Pahala itu pula bercambah dalam pelbagai peringkat:

  • Pahala orang mendapat ilmu itu.
  • Pahala orang mengamalkan ilmu itu.
  • Pahala orang mengamalkan ilmu itu sehingga akhir hayatnya.
  • Pahala orang menyampaikan ilmu itu kepada orang lain.
  • Pahala orang lain menerima dan mengamalkannya.
  • Pahala orang lain menyampaikan pula ilmu itu kepada orang lain.

Dan begitulah seterusnya ganjaran yang Allah berikan tanpa putus sehingga hari kiamat selagi ada orang memanfaatkan ilmu yang kita sampaikan. Inilah MLM (Multi Level Marketing) yang paling menguntungkan samada di dunia mahupun di akhirat.

Justeru itu rajinkanlah diri menghadiri taman Syurga untuk memetik benih dakwah dan semailah ia di mana sahaja kita berada. Semoga Allah memberi keberkatan dan kebahagiaan kepada kita di akhirat kelak. InsyaAllah…

About wanwma

Check Also

Halal, Haram dan Syubhah

Halal Haram dan Syubhat   عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا …

2 comments

  1. salam wbt,

    artikel yg sangat bermanfaat. jazakillahu khair!

  2. *typo, jazakallahu khair.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *