Home / halal haram / MENUTUP AURAT VS MENUNDUKKAN PANDANGAN

MENUTUP AURAT VS MENUNDUKKAN PANDANGAN

MENUTUP AURAT VS MENUNDUKKAN PANDANGAN.

Sebahagian manusia khususnya lelaki, apabila kita membangkitkan isu lawak lucah, komen lucah, maka mereka akan membangkitkan isu aurat, kewajipan wanita menutup aurat.

Sebahagian manusia khususnya wanita, apabila kita membangkitkan isu menutup aurat, mereka akan membangkitkan isu kewajipan menundukkan pandangan.

Menundukkan pandangan dan menutup aurat, kedua-duanya adalah arahan Allah di dalam al-Quran.

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (30) وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ…. (31)

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan”. (30) Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya (daripada memandang yang haram).. (31) [An-Nur : 30-31]

Dalam ayat yang sama, selepas arahan menundukkan pandangan, Allah menyambung pula dengan isu menutup aurat.

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (31)

Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang [biasa] nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak buah daripada saudara lelaki mereka, atau anak buah daripada saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan [terhadap wanita] atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. (31).

Kewujudan mereka yang tidak menutup aurat bukanlah hujah menghalalkan untuk kita bercakap yang lucah tentang mereka, melihat aurat yang mereka paparkan dan semisalnya. Sedangkan mereka yang menutup aurat pun sebahagian ulama misalnya daripada mazhab Syafie menyatakan tetap wajib kita menahan pandangan daripada mereka. Inikan pula yang tidak menutup aurat. Apatah lagi untuk kita memberi komen lucah, nak rogol mereka dan semisalnya dengan alasan mereka tak tutup aurat.

Kewujudan golongan lelaki yang melakukan gangguan seksual dan merogol wanita menutup aurat dan kanak-kanak pula bukanlah hujah kepada mereka yang enggan menutup aurat. Sesungguhnya jika satu dunia ini lelaki baik, dan yang ada di hadapan anda adalah lelaki yang sangat baik seperti malaikat pun, anda tetap wajib menutup aurat.

Kita memberi pelbagai alasan seolah-olah alasan itu mampu menjadi hujah kita di akhirat kelak. Kita menuding-nuding jari ke atas orang lain atas dosa yang kita lakukan. Sesungguhnya di akhirat kelak, kita tak akan mampu menyalahkan sesiapa hatta syaitan sekalipun!

وَقَالَ الشَّيْطَانُ لَمَّا قُضِيَ الْأَمْرُ

Dan berkatalah syaitan tatkala perkara [hisab] telah diselesaikan:

إِنَّ اللَّهَ وَعَدَكُمْ وَعْدَ الْحَقِّ وَوَعَدْتُكُمْ فَأَخْلَفْتُكُمْ

“Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan akupun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya.

وَمَا كَانَ لِيَ عَلَيْكُمْ مِنْ سُلْطَانٍ إِلَّا أَنْ دَعَوْتُكُمْ فَاسْتَجَبْتُمْ لِي

Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan [sekedar] aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku,

فَلَا تَلُومُونِي وَلُومُوا أَنْفُسَكُمْ

oleh sebab itu janganlah kamu menyalahkan aku, akan tetapi salahkanlah dirimu sendiri.

مَا أَنَا بِمُصْرِخِكُمْ وَمَا أَنْتُمْ بِمُصْرِخِيَّ

Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamupun sekali-kali tidak dapat menolongku.

إِنِّي كَفَرْتُ بِمَا أَشْرَكْتُمُونِ مِنْ قَبْلُ إِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ )

Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku [dengan Allah] sejak dahulu”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat siksaan yang pedih. [Ibrahim : 22]

Jika syaitan pun kita tak dapat nak salahkan, adakah kita ingat kita mampu menyalahkan orang lain atas dosa yang kita sendiri lakukan?

Semua kebaikan yang kita lakukan adalah untuk diri kita, begitu jualah dosa yang kita lakukan.

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا فَلِنَفْسِهِ وَمَنْ أَسَاءَ فَعَلَيْهَا وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّامٍ لِلْعَبِيدِ (46)

Barangsiapa yang mengerjakan amal yang saleh maka [pahalanya] untuk dirinya sendiri dan barangsiapa yang berbuat jahat maka [dosanya] atas dirinya sendiri; dan sekali-kali tidaklah Tuhanmu menganiaya hamba-hamba [Nya]. (Fussilat : 46)

kredit : #MMMR

About mai

Check Also

Jangan buat-buat tak tahu

Isteri-isteri…. Kena ambil tahu. Jangan buat-buat tak tahu. Jangan buat keras kepala. Andainya suami kita …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *