WANITA ITU AURAT DAN SYAITAN MENGHIASINYA
Rasulullah SAW bersabda:
المَرْأَةُ عَوْرَةٌ، فَإِذَا خَرَجَتْ اسْتَشْرَفَهَا الشَّيْطَانُ
Maksudnya: “Wanita itu aurat. Apabila dia keluar dari rumahnya, syaitan akan datang kepadanya untuk menghiasinya.”
(Hadis Riwayat al-Tirmizi, no. 1173, Hasan Sahih Gharib)
1) Wanita dianggap aurat kerana dia akan berasa malu apabila menonjol diri sebagaimana seseorang malu apabila aurat terdedah. Makna lain adalah kerana perempuan itu sendiri merupakan tarikan dan perhatian sebagaimana aurat apabila terdedah akan menjadi perhatian.
2) Syaitan datang kepada wanita itu dan menghiasinya di mata lelaki supaya lelaki itu terpedaya dengannya. Dalam masa yang sama, dia sendiri terpedaya iaitu berasa diri seolah-olah cantik di mata lelaki. Syaitan boleh merosakkan salah seorang atau kedua-duanya sehingga menyebabkan mereka terjerumus ke dalam fitnah.
3) Syaitan di sini boleh jadi juga bermaksud orang-orang fasik yang berasa setiap wanita adalah perhiasan matanya. Diserupakan orang fasik dengan syaitan di sini kerana apabila mereka melihat wanita, mereka akan merenung dan mengamati dengan pandangan mereka. Seolah-olah kejahatan dalam diri syaitan telah meresap dalam hati mereka sehingga mereka melakukan setiap bisikan dan tipu daya syaitan.
4) Apabila seorang wanita keluar dari rumahnya, dia akan menjadi perhatian mata-mata lelaki. Ia sudah menjadi lumrah walaupun wanita itu memenuhi tuntutan menutup aurat. Apatah lagi jika wanita itu tidak menjaga aurat.
Semoga Allah memelihara kita semua.