Pesan Ayah Buat Anak
1. Pesan Nabi Ibrahim AS kepada anaknya agar terus kukuh dalam agama Islam serta mati di dalam agama ini.
وَوَصَّىٰ بِهَآ إِبۡرَٰهِۧمُ بَنِيهِ وَيَعۡقُوبُ يَٰبَنِيَّ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰ لَكُمُ ٱلدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ ١٣٢
“Dan Ibrahim telah mewasiatkan dengan agama itu kepada anak-anaknya, demikian juga Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam”.(Al-Baqarah: 132)
2. Pesan Nabi Yaakub AS kepada anaknya agar menyembah Allah SWT dan patuh kepadaNya sahaja.
أَمۡ كُنتُمۡ شُهَدَآءَ إِذۡ حَضَرَ يَعۡقُوبَ ٱلۡمَوۡتُ إِذۡ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعۡبُدُونَ مِنۢ بَعۡدِيۖ قَالُواْ نَعۡبُدُ إِلَٰهَكَ وَإِلَٰهَ ءَابَآئِكَ إِبۡرَٰهِۧمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ وَإِسۡحَٰقَ إِلَٰهٗا وَٰحِدٗا وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ ١٣٣
“Adakah kamu hadir ketika Yaakub kedatangan (tanda-tanda) maut, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: “Apa yang kamu sembah sepeninggalku?” Mereka menjawab: “Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail dan Ishaq, (iaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya”. (Al-Baqarah (2): 133).
3. Pesan Nabi SAW kepada anak dan ahli keluarga yang lain agar mendirikan solat.
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا
“Dan perintahkanlah (wahai Muhammad) kepada ahli keluargamu supaya menunaikan solat, dan hendaklah kamu bersabar atasnya (atas urusan ini). (Taha: 132).
Menurut al-Imam al-Qurtubi, setelah turunnya ayat ini, Rasulullah SAW akan singgah pada setiap pagi di rumah anaknya Saidatina Fatimah dan Saidina Ali, menyeru mereka supaya menunaikan solat. Lihatlah bagaimana sekalipun anak tersebut telah mendirikan rumah tangga dan mempunyai suami, Rasulullah masih mengingatkan anaknya supaya menunaikan solat. (al-Qurtubi, al-Jami Li Ahkam al-Quran, al-Qahirah, 1964, 11/263).
4. Seorang ayah juga dinasihatkan agar sentiasa berdoa supaya Allah menjadikan seluruh zuriatnya mendirikan solat. Nabi Ibrahim sendiri mendoakan agar dikurniakan anak yang sentiasa mendirikan solat. Firman Allah:
رَبِّ اجعَلْني مُقِيمَ الصَّلاةِ وَمِن ذُرِّيَّتي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
(Nabi Ibrahim berdoa): Wahai Tuhanku, jadikanlah aku sebagai orang yang mendirikan solat dan begitu juga dengan keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa ini.” (Ibrahim: 40)
Ingatlah pesan al-Imam Ibn al-Qayyim bahawa peranan seorang ayah sangat berat. Seorang ayah yang leka boleh memberikan kesan terhadap kerosakan anak-anaknya. Kata al-Imam: “Tidak ada yang lebih merosakkan anak-anak berbanding kelalaian para ayah terhadap anak mereka.” (Tuhfatul Maudud)
Kredit : kapsul_tazkirah