Nabi salla allahu ‘alaihi wasallam bersabda :
إِنَّ الشَّيْطَانَ قَدْ أَيِسَ أَنْ يَعْبُدَهُ الْمُصَلُّونَ فِي جَزِيرَةِ الْعَرَبِ وَلَكِنْ فِي التَّحْرِيشِ بَيْنَهُمْ
Ertinya : Sesungguhnya Syaitan telah putus asa (dan sedar tidak mampu) menyesatkan seluruh umat Islam di tanah arab, tetapi (diubah strateginya), dengan mencipta permusuhan (pergaduhan) yang bersangatan di antara mereka. (Hadis riwayat Muslim – Sahih)
Imam an-Nawawi mengulas ini suatu mu’jizat masa hadapan yang disebut oleh baginda yang menunjukkan tanah arab akan dipenuhi dengan permusuhan walaupun masing-masing masih mendirikan solat kepada Allah swt.
Hal ini sangat jelas berlaku di zaman kita ini, dan apa yang disebut oleh Nabi turut mengingatkan strategi Syaitan kepada orang Muslim yang solat. Apabila tidak mampu dimurtadkan keseluruhannya, lalu dihasut agar bermusuhan dan membenci antara satu sama lain dengan bersangatan lalu berpecahan, bersangka buruk yang dahsyat dan banyak lagi. Maka ramai agamawan yang kelihatan bercakaran sesama sendiri dengan sebab pelbagai jenis isu & sebab yang sentiasa cuba dijustifikasikan..
Justeru itu, kiranya kita melihat diri atau rakan taulan yang kelihatan berlebih-lebihan menghasut kebencian sesama muslim, ketahuilah dia sedang dibelit tipudaya Syaitan…wal’iadzubillah.
Nabi salla allahu ‘alaihi wasallam turut memberi ingatan :
إن أبغضَ الرجالِ إلى اللهِ الألدُّ الخَصِمُ
Ertinya : Sesungguhnya seseorang lelaki yang paling dibenci Allah SWT adalah yang sangat suka perdebatan dan amat keras dalam bahasa dan perdebatannya (Riwayat al-Bukhari )
Ibn Hajar mengulas mungkin yang dimaksud dengan (الأَلَدُّ الْخَصِمُ) adalah (الشَدِيْدُ الخُّصُوْمَةُ), kerana (الْخَصِمُ) merupakan bentuk muballaghah sehingga menghasilkan makna sangat keras dan makna banyak/sering”. Al-Nawawi ulas katanya “pintar bersengketa” iaitu bijak bermain kata-kata yang keras dan hujjahnya menjustifikasikan kebatilannya..agar kelihatan semakin indah dan melata permusuhan.
Semoga kita semua beringat..pesanan baginda Nabi ini TIDAK HANYA TERHAD di tanah Arab tetapi teknik tipudaya Syaitan ini merangkumi kepada semua yang bertitle muslim sama ada di tanah arab atau dimana-mana jua…
#DrZaharuddinAbdRahman
#SekadarMuhasabahDiridanYangSudi