Aktiviti membaca akhbar, majalah, blog gosip dan menonton rancangan TV tentang gosip artis adalah antara aktiviti paling digemari rakyat Malaysia. Buktinya boleh dilihat pada blog-blog gosip, jarang sekali blog gosip mempunyai jumlah pembaca yang sedikit. Bahkan blog seumpama inilah antara blog yang paling popular di negara kita. Begitu juga dengan majalah. Majalah-majalah gosip sentiasa laku bagaikan pisang panas.
Namun apakah tabiat ini baik untuk diamalkan? Tidak. Hampir semua orang tahu bahawa gosip itu ialah mengumpat. Menceritakan keburukan artis. Jika bukan keburukkan pun ia sentiasa menceritakan topik-topik hangat tentang artis di mana artis itu sendiri tidak menyukai hal-hal dirinya diceritakan dan didedahkan kepada masyarakat. Jika gosip itu benar, maka pembaca telah terlibat memiliki dosa mengumpat, jika gosip itu salah, pembaca terlibat pula dengan dosa fitnah.
Rasulullah menjelaskan, tatkala ditanya oleh seorang sahabat, “Wahai Rasulullah, apakah itu ghibah?” Lalu jawab Baginda, “Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya!” Kemudian Baginda ditanya lagi, “Bagaimana sekiranya apa yang disebutkan ltu benar?” jawab Baginda, “Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika sekiranya perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar).” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tarmizi).
Jarang sekali seorang pembaca, peminat atau sesiapa sahaja yang mengikuti gosip artis tidak akan bercerita kembali hal artis tersebut kepada kenalannya.
Ghibah (menyebut keburukan orang lain walaupun benar) amat buruk, apalagi buhtan (memfitnah dan mengada-adakan keburukan seseorang). Orang yang mendengar ucapan ghibah juga turut memikul dosa ghibah, kerana dia masuk dalam ghibah itu sendiri. Kecuali dia mengingkarinya dengan lidah, atau menerima dengan hatinya. Bila ada kesempatan maka lebih utama baginya mengalihkan ghibah tersebut dengan pembicaraan lain yang lebih bermanfaat.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Seseorang hamba yang membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya), akan dilempar ke neraka sejauh antara timur dan barat.” (Riwayat Muslim)
Adakala kita terlupa bahawa artis itu juga manusia biasa seperti kita. Kerana diri mereka artis, kita menganggap hal berkaitan diri mereka adalah untuk tatapan umum. Apa sahaja perjalanan hidup mereka merupakan cerita yang boleh kita semua ikuti samada baik atau buruk. Ideologi seperti ini tidak pernah diajar dalam Islam. Sebaliknya Islam menentang keras orang-orang yang mengaibkan orang lain, menceritakan keburukkan orang dan apatah lagi mereka-reka cerita yang diragui kesahihannya.
“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi maha Pengasihani”. ~ Al-Hujuraat ayat 12.
Mungkin sejak zaman remaja hinggalah ke hari ini kita masih mengikuti gosip artis. Seharusnya kita sedar bahawa perbuatan tersebut tidak membawa apa-apa kebaikan pun kepada kita. Ia tidak menyebabkan ilmu kita bertambah, ia tidak membuatkan kita lebih dekat dengan artis tersebut, ia tidak juga menjadikan kita seorang artis dan seumpamanya. Maka apakah faedahnya kita terus dengan perbuatan sia-sia ini? Ia tiada faedah langsung. Oleh itu marilah sama-sama kita mengelakkan dosa yang tidak disangka-sangka ini. InsyaAllah…
pernah baca blog2 mcmni dan akhirnya rasa berdosa dan membuang masa. pernah menghantar emel kepada pemilik blog supaya membuang terus blog mereka kerana dikhuatiri mendatangkan dosa, tapi malangnya emel tidak ada respon dan blog masih aktif seperti biasa. semoga mereka mendapat hidayah untuk membuang akaun blog gosip mereka.
sudah lama saya berfikir tentang ne..
tp syukur Alhamdulilla…saya mmg tidak Berminat dgn Gosip2 artis skrg ne…emmmmm