Pahala Syahid Dengan Bersabar dan Tawakal
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الطَّاعُونِ فَأَخْبَرَنِي أَنَّهُ عَذَابٌ يَبْعَثُهُ اللَّهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ وَأَنَّ اللَّهَ جَعَلَهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ لَيْسَ مِنْ أَحَدٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ فَيَمْكُثُ فِي بَلَدِهِ صَابِرًا مُحْتَسِبًا يَعْلَمُ أَنَّهُ لَا يُصِيبُهُ إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ إِلَّا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ شَهِيدٍ.
Daripada ‘Aisyah RA, isteri Nabi SAW berkata; “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang penyakit ta’un lalu baginda menceritakan kepadaku bahawa penyakit itu adalah sejenis siksaan yang Allah turunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan sesungguhnya Allah menjadikan hal itu sebagai rahmat bagi orang yang beriman. Seseorang yang ketika berjangkit penyakit itu, tetap dalam negerinya dengan sabar dan tulus kerana Allah, yakin bahawa tidak akan mengenainya selain apa yang telah ditentukan Allah baginya, maka untuk orang itu pahala seperti pahala orang yang mati syahid”. (HR Bukhari No: 3474) Status: Hadis Sahih.
Pengajaran:
1. Setiap yang berlaku adalah ketentuan Allah.
2. Apa jua musibah seperti penyakit yang menular ke sesuatu tempat adalah suatu siksaan yang Allah turunkan kepada sesiapa yang Allah kehendaki.
3. Sesungguhnya musibah dan penyakit bagi orang mukmin adalah rahmah kerana ia menjadikan kita sentiasa sentiasa mendekatkan diri dengan Allah, sentiasa bermunajat dan berdoa serta melatih diri untuk bersabar diatas kepayahan dan kesulitan.
4. Bagi orang beriman, kita sentiasa yakin terhadap qada dan qadar yang telah ditentukan Allah. Kita yakin bahawa penyakit seperti Covid 19 tidak akan mengenai kita selain apa yang telah ditentukan Allah. Namun usaha dan ikhtiar perlu dilakukan antaranya usaha pencegahan dengan kuarantin di rumah dan menjaga kebersihan diri.
5. Pahala mati syahid bagi orang beriman yang sabar dan tulus kerana Allah. Oleh itu terus kekal di rumah semasa penularan wabak penyakit dalam tempoh perintah kawalan pergerakan oleh pihak berkuasa.
cnp