Kini aktiviti menulis post di Facebook bukanlah suatu perkara yang pelik bagi masyarakat Malaysia, tetapi ia telah menjadi aktiviti rutin setiap hari dalam hidup kita. Maka sebaiknya kita mencari jalan untuk menulis dengan lebih baik, lebih bermanfaat dan disayangi para pembaca.
Walaupun kita sudah menulis sesuatu yang baik, tetap akan ada orang yang akan meluat, sakit hati, benci dan memandang sinis hasil tulisan kita. Jika ada manusia begini, kita abaikan sahaja kewujudan dirinya. Teruskan usaha memperbaiki diri dengan lebih baik.
Berikut di senaraikan beberapa panduan yang mungkin sesuai untuk kita praktikkan:
1 – Gunakan ‘Kita’ Bukan ‘Saya’
Penulisan kita akan disayangi pembaca apabila perkara yang kita tulis itu melibatkan semua orang, bukan untuk diri sendiri sahaja. Sebagai contoh:
Salah: Saya tidak suka orang mengumpat. Dia ingat dia baik sangat ke nak umpat orang?
Betul: Kita tidak suka mendengar orang mengumpat, kerana kita belum tentu baik berbanding dirinya di sisi Allah.
2 – Tukarkan ‘Mengata’ Kepada ‘Berpesan’
Elakkan menggunakan ayat-ayat mengata, menuduh, ayat sinis dan seumpamanya tetapi tukarkan ia menjadi ayat pesanan. Contoh:
Salah: Engkau ingat ko buat macam tu aku nak ikut cakap ko ke? Boleh blah la!
Betul: Apabila ingin memberikan arahan kepada orang, elakkan perkara yang membuatkan seseorang itu terasa dirinya menerima arahan, sebaliknya berikan dorongan supaya mereka bersemangat untuk menurut arahan tanpa mereka sedar.
3 – Jaga Bahasa
Bahasa jiwa bangsa. Semua orang mungkin pernah dengar kenyataan itu. Ia memang benar. Bahasa yang baik disukai setiap orang. Tulisan yang baik tidak akan menggunakan bahasa atau tulisan singkat yang menyukarkan orang untuk memahaminya.
4 – Tulis Komen Dan Padam
Kadang-kadang post kita akan dicemari dengan komen-komen negatif dari pembaca. Ada orang yang tidak suka dengan kenyataan yang kita keluarkan dan membantah keras dalam komennya. Abaikan sahaja orang begini, kita boleh tulis komen balas kepadanya tetapi jangan sesekali post komen kita itu. Selepas tulis padamkan kembali. Tulisan itu sekadar luahan untuk menenangkan hati, sebaiknya jangan dipedulikan langsung kerana ia hanya akan membazirkan masa. Jika ada pendapatnya yang baik, kita ambil, kita tidak, abaikan sahaja.
5 – Jangan Membalas Komen Negatif Tetapi Tulis Post Baru.
Satu lagi cara untuk membalas komen negatif adalah dengan menulisnya di wall kita. Bukan di bawah komen negatif tersebut. Sebagai contoh:
Seseorang menulis komen: Saya tidak setuju dengan pendapat anda, kenyataan anda seolah-olah anda bagus sangat. Jika benar-benar hebat, buktikan.
Komen balas yang perlu kita tulis di wall: Kita tidak kisah malah bersyukur jika ada orang tidak sependapat dengan kita, kerana dari situ kita akan mendapat percambahan idea yang lebih baik. Namun luahkanlah pendapat yang berbeza itu dengan cara baik dan membina. Bukan dengan tomahan dan kritikan yang tidak enak di dengar.
6 – Berikan Pandangan Dan Nasihat Bukan Arahan
Apabila kita melihat sesuatu perkara yang tidak menepati kehendak kita, kita akan cenderung untuk mengarahkan supaya perkara itu diperbetulkan. Sebagai medan perkongsian umum, tidak ramai orang yang akan endahkan kita seandainya kita mengeluarkan kenyataan berbentuk arahan. Oleh itu, tukarkan ia kepada ayat-ayat nasihat dan pandangan. Contoh:
Salah:
- Jangan membuat kenyataan sesuka hati, nilai diri terlebih dahulu.
- Jika anda tidak suka membaca tulisan saya, sila keluar dari wall saya.
- Jangan sesekali post gambar anda yang tidak menutup aurat. Tambah dosa dan menyakitkan mata sahaja.
- Apabila ingin mengeluarkan sesuatu kenyataan, eloklah kenyataan itu dinilai terlebih dahulu baik buruknya.
- Saya menulis di wall perkara-perkara yang saya rasa sesuai, jika ada yang tidak elok, sila abaikannya.
- Dengan meletakkan gambar yang tidak menutup aurat, kita akan menerima dosa setiap saat apabila lelaki ajnabi melihatnya.
7 – Rujuk Facebook Individu Berpengaruh
Antara cara untuk mendapatkan idea dan info berguna untuk menulis post ialah dengan merujuk Facebook individu-individu berpengaruh. Contoh individu yang boleh kita jadikan rujukan ialah para ustaz, pakar motivasi, usahawan yang suka berkongsi ilmu, penulis blog yang baik, orang-orang berjawatan tinggi yang punyai personaliti yang baik dan sebagainya.
8 – Berikan Pendapat, Bukan Berdebat Atau Bersembang Kosong
Perkara yang sering berlaku di Facebook antaranya adalah debat. Di Facebook jarang sekali seseorang individu itu akan menerima pendapat orang lain kerana mereka mudah menulis dan menyatakan apa sahaja yang mereka suka. Sikap mereka berbeza jika tertemu dan bertentangan mata.
Oleh itu, cukuplah dengan memberi satu dua pendapat. Jika mereka masih membalas komen untuk mencari siapa betul dan siapa salah, tinggalkan sahaja komen tersebut. Ada banyak lagi perkara baik yang kita boleh buat untuk menambah pahala dari sibuk mencari pemenang dalam debat kosong itu.
Antara keburukan jika berdebat di Facebook:
- Orang yang kalah debat akan merasa sakit hati.
- Pembaca akan melihat bahawa kita mudah melenting.
- Menghabiskan masa dengan sia-sia.
- Di Facebook jarang sekali orang akan mengaku kita betul apabila beliau memberikan pendapat yang berbeza.
- Perdebatan kita menjadi bahan bacaan para pembaca untuk menilai diri kita.
Jika mahu berdiskusi, sebaiknya lakukan perbincangan secara ilmiah. Dari situ barulah kita boleh berbincang panjang lebar tentang isu yang dikemukakan.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua. InsyaAllah…
Wallahualam..
Its true – perkara2 yang tidak mendatangkan kebaikan adalah elok di abaikan – dari kecil hati lebih baik mencegah.
well-said…