Pelaku Rasuah Dilaknat Allah dan Rasul
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:”Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah” (HR Tirmizi : No 1337) Status: Hasan Sahih
Pengajaran:
1. Amalan memberi dan menerima rasuah adalah perbuatan keji dan pelakunya dilaknat oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.
2. Rasuah merupakan sesuatu yang diberikan untuk membatalkan kebenaran atau untuk menegakkan kebatilan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 22/219)
3. Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun dan sebagainya.
4. Setiap pemberian atau penerimaan sesuatu dengan jalan yang batil atau salah adalah dosa besar dan dilarang. Firman Allah SWT:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (al-Baqarah: 188)
Jangan sekali-kali terlibat dengan Rasuah yang mengakibatkan kita dilaknat oleh Allah dan Rasul.
Putuskan Rantaian Rasuah
cnp